Dalam sejarah diplomasi serantau Asia Tenggara, Malaysia sekali lagi muncul sebagai pemudah damai yang berwibawa. Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memainkan peranan amat penting dan sangat signifikan dalam memberhentikan perang dan mendamaikan ketegangan yang memuncak antara dua negara jiran iaitu Thailand dan Kemboja dalam tempoh yang luar biasa singkat.
Pertikaian sempadan dan isu pengaruh politik dalam wilayah berhampiran telah mencetuskan ketegangan diplomatik antara Thailand dan Kemboja. Walaupun hubungan dua hala antara kedua negara telah lama mengalami pasang surut, perkembangan mutakhir menunjukkan ketegangan yang boleh menjejaskan keselamatan serantau dan kestabilan ekonomi ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memikul tanggungjawab berat untuk memastikan keamanan dan kerjasama serantau kekal utuh. Malaysia telah bertindak secara proaktif, bukan sahaja melalui saluran diplomatik formal, tetapi juga melalui rundingan tertutup dan diplomasi senyap yang penuh hikmah.
Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim secara bijaksana telah memanfaatkan kredibiliti peribadi dan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara ASEAN untuk mendekati kedua-dua pihak secara adil dan berhemah. Beliau telah menjemput PM Kemboja dan Pemangku PM Thailand dalam tempoh singkat ke satu sidang khas yang dianjurkan di Kuala Lumpur yang turut dihadiri wakil negara besar iaitu US dan China sebagai pemerhati.
Hasil rundingan tersebut, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada 30 Ogos 2025 di Seri Perdana, Putrajaya di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia yang akhirnya memberhentikan peperangan dan mewujudkan gencatan senjata serta merta pada hari yang sama.

Perjanjian ini menjadi satu pencapaian diplomatik yang diiktiraf dunia, bukan sahaja kerana kandungannya tetapi kerana pantasnya ia dimeterai hanya dalam masa kurang sebulan dari ketegangan awal.
Usaha Malaysia dalam hal ini adalah selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Charter), khususnya dalam Artikel 2(3): Menyelesaikan pertikaian antarabangsa dengan cara damai supaya keamanan dan keselamatan antarabangsa tidak terancam, Artikel 33(1): Negara-negara yang berselisih wajib mencari penyelesaian melalui rundingan, pengantaraan (mediation), dan usaha damai lain. Selain itu, usaha ini juga mencerminkan prinsip “ASEAN Way” iaitu pendekatan tidak konfrontasi, menghormati kedaulatan, dan mencari jalan penyelesaian secara adil.

Beberapa negara seperti Jepun, Australia, dan Kesatuan Eropah termasuk Presiden Trump memuji kejayaan ini sebagai model rundingan damai serantau. Ia juga meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ASEAN sebagai zon stabil. Dalam konteks geopolitik yang semakin mencabar dengan ketegangan kuasa besar, peranan Malaysia dilihat memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai kuasa penstabil yang relevan.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN dan dengan kepimpinan berwawasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah membuktikan keupayaan negara dalam melaksanakan diplomasi berkesan. Rundingan damai antara Thailand dan Kemboja menjadi bukti bahawa melalui pendekatan bijaksana, diplomasi ikhlas, dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, keamanan serantau bukan sekadar ideal, tetapi satu realiti yang boleh dicapai. Buat sekali lagi negara kita semakin dipandang tinggi dan harum di persada dunia.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional