SelangorToday

MALAYSIA RANCANG GABUNG TEKNOLOGI KUANTUM DALAM STRATEGI PERTAHANAN

Kerajaan merancang menggabungkan teknologi kuantum dalam strategi pertahanan negara, bertujuan melindungi keselamatan siber negara dalam jangka panjang.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, penggabungan teknologi kuantum juga dapat meningkatkan kemampanan ketenteraan dan keselamatan siber di negara ini.

Pada masa sama, Adly berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga penting untuk memastikan pembangunan teknologi kuantum, sejajar dengan keutamaan keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi.

Teknologi kuantum menawarkan potensi transformatif untuk komunikasi dan pengawasan yang selamat, tetapi ia mungkin mengganggu keselamatan global, katanya.

Negara-negara, khususnya Asean, mesti membangunkan strategi yang mantap, rangka kerja keselamatan yang berdaya tahan dan memupuk kerjasama antarabangsa untuk mengurus peralihan kuasa teknologi kelak.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan dokumen kontrak ‘Perolehan Network Convergence’ antara Kementerian Pertahanan, diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Mohd Bakhari Ismail, dan Naib Presiden Perniagaan Kerajaan TM One Mohamed Faizal Naina Mohamed.

Program bertaraf antarabangsa, Siber Siaga 2024 dan pameran Cyber Digital Service Defence and Security Asia 2024 (Cyber DSA 2024), berlangsung dari 6 hingga 8 Ogos di KLCC.

Siber Siaga 2024, terbuka kepada masyarakat awam, mempamerkan produk keselamatan siber daripada 200 syarikat selain menyediakan peluang interaksi melibatkan 1,000 orang ahli profesional, 18 universiti tempatan, agensi kerajaan serta warga tentera.

Program itu diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam memperkasa kawal selia ekosistem pertahanan siber negara agar sentiasa terjamin dan terpelihara.

Siber Siaga bertemakan pendedahan impak teknologi yang tersembunyi dalam alam siber yang boleh mempengaruhi operasi ketenteraan dan kestabilan serantau dengan ketara, selain pendedahan insiden siber yang tidak pernah didedahkan kepada umum. – FMT

Exit mobile version