SelangorToday

MALAYSIA TERUS TEGUH SOKONG PALESTIN

Malaysia tetap teguh sokong PalestinPerdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus menjalinkan hubungan baik dengan semua negara demi meningkatkan pelaburan namun pada masa sama, teguh mempertahankan sokongannya terhadap Palestin.

Bercakap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 2 di sini malam ini, beliau berkata hubungan baik itu adalah langkah Malaysia untuk membina kekuatan dalaman demi menjaga kepentingan, keselamatan dan masa depan negara.

“Saya tahu pendirian kita tentang Gaza tetapi harus ingat juga tentang kepentingan negara sebab itu saya sebut pada mesyuarat Jemaah Menteri soal Gaza ini kita masih zahirkan pendirian tegas kita, baik depan (Presiden Amerika Syarikat Joe) Biden, baik depan (Setiausaha Amerika Syarikat Antony) Blinken kerana saya ingat mereka (Israel) sudah langgar semua pertimbangan kemanusiaan,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata ketika ini antara negara yang berani bersuara serta bertindak menentang kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin ialah Turkiye dan Iran.

“Kita bicara tetapi kita lupa bahawa tanpa kekuatan dalaman, kita tidak mampu buat apa-apa. Jadi kita juga harus bina kekuatan dalaman,” katanya.

Beliau berkata pencerobohan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin semakin melampau serta tidak berperikemanusiaan hingga sanggup membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Menjijikkan, saya tengok hari-hari anak kecil dibunuh. Ini satu moral yang bankrap sebab itu saya kata tidak ada perasaan, tidak ada kemanusiaan,” katanya.- BERNAMA

Exit mobile version