
BANGKOK, 29 Mei 2025 – Malaysia dan Thailand bertekad memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian serantau, termasuk meneroka teknologi pertanian digital serta pengurusan sumber air yang mampan demi menjamin keterjaminan makanan dan masa depan pertanian yang lestari.
Perkara itu dimuktamadkan dalam pertemuan rasmi antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu dan rakan sejawatannya, Dr. Narumon Pinyosinwat, Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, yang berlangsung di ibu negara Thailand hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua menteri bersetuju untuk memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada, selain menyelaras semula protokol import dan eksport agar lebih efisien dan memberi manfaat bersama.
“Kami turut meneliti potensi besar teknologi pertanian digital dan kaedah pengurusan air secara lestari, yang boleh menjadi pemacu pertanian moden dan mampan bagi kedua-dua negara,” ujar Mohamad Sabu.
Satu lagi isu utama yang dibangkitkan ialah logistik penghantaran hasil pertanian menerusi ASEAN Express, serta cabaran eksport produk seperti udang, ayam, ternakan dan produk offal ke pasaran Thailand. Dalam semangat diplomasi serantau, kedua-dua pihak berikrar untuk mencari penyelesaian yang praktikal dan saling menguntungkan.
Nilai dagangan dua hala dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Thailand mencatatkan jumlah sebanyak RM20.96 bilion pada tahun 2024 – angka yang membuktikan kekukuhan dan kepercayaan antara kedua-dua negara jiran.

Mohamad Sabu optimis bahawa dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan, kesejahteraan dan daya saing, sektor pertanian negara akan terus bergerak maju ke hadapan secara inklusif dan berdaya tahan.
“Semoga hubungan erat Malaysia–Thailand terus diperkukuh dalam semangat ASEAN yang bersatu dan membawa kebaikan bersama,” katanya.