Sejak turunnya Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Julai 2021, kedudukan Perikatan Nasional dalam politik Malaysia terkontang-kanting. Nama kerajaan itu sendiri telah mengambarkan bahawa Perikatan Nasional itu sudah tamat riwayatnya apabila Ismail Sabri selaku Perdana Menteri ke-9 menamakan Keluarga Malaysia menggantikan kerajaan Perikatan Nasional.
Meskipun pemimpin PN menduduki kerusi-kerusi kanan dalam kabinet seperti Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dalam Negeri, Pendidikan dan Pertanian, namun ia tidak mampu mewajahkan kerajaan yang memerintah sekarang ini masih sebahagiannya adalah PN. Jika nak diharapkan kepada menteri PAS, ia lagi tidak kelihatan sedang PAS sendiri dilema sama ada bersama Muafakat Nasional bersama UMNO atau perteguh PN bersama BERSATU menyebabkan ia tetap PAS berbanding dilihat PN.
Kuasa seorang Pengerusi MPN
Kini Mahiaddin Md Yassin diberikan peranan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) khas memulihkan semula kedudukan negara yang jatuh terlentang semasa beliau sendiri menjadi PM. Tugasan itu lebih mencabar berbanding mantan-mantan PM sebelumnya yang diberikan peranan yang agak ringan seperti Pengerusi IKIM dan sebagainya. Mungkin ada perjanjian antara PM ke-9 dengan Mahiaddin semasa Mahiaddin melepaskan jawatan sebagai PM itu menyebabkan beliau diberikan posisi tersebut.
Malangnya, walaupun peranan ini bagi mengekalkan Mahiaddin kekal relevan sebagai pemimpin nasional, ia tidak menjadi kenyataan setelah cadangan Mahiaddin untuk membuka sempadan negara seperti dalam keputusan mesyuarat Mahiaddin bersama MPN beberapa bulan lalu tidak mendapat sambutan dari pihak pimpinan negara. Lebih menghairankan menteri yang hadir sama dalam mesyuarat MPN tersebut juga tidak memberikan komen positif selepas keputusan itu diumumkan kepada umum. Situasi itu memberikan impak negatif kepada imej Mahiaddin selaku mantan PM yang tidak diikuti pandangannya.
Peperangan di Johor
Kini, Mahiaddin begitu cergas bersama pimpinan PN yang lain berkempen di Johor bagi memastikan PN mempunyai tempat disana. Ada dua gambaran jika PN berjaya memenangi PRN Johor kali ini. Pertama PN akan mendabik dada yang PN berjaya menawan kubu kuat UMNO-BN iaitu di Johor. Kedua, PN akan mengatakan bahawa PN sudah tiada hutang lagi dengan PH kerana BERSATU khususnya menang di Johor dalam PRU ke-14 atas logo PKR dan jenama PH. Sebaliknya, jika PN kalah di Johor sama ada sama seperti di Melaka atau lebih teruk, ia akan menghapuskan kelangsungan PN dalam politik Malaysia.
Strategi PN sekarang adalah menjauhkan diri dari bersekongkol bersama kluster mahkamah atau pemimpin BN yang mempunyai kes yang sedang berlangsung di mahkamah. Kata PN, mereka tak akan biarkan negara ini kembali ke tangan kluster mahkamah. Persoalannya, siapakah gerangan yang berkerjasama dengan kluster mahkamah untuk meruntuhkan kerajaan PH dan membentuk kerajaan baru? Disaat kluster mahkamah sedang tersepit duduk dikerusi pembangkang, siapa yang telah memberikan ruang kepada mereka berpindah ke kerusi kerajaan? Umum tahu jawapanya, maka untuk PN keluar dari imej buruk kluster mahkamah adalah sukar.
Selain itu, PN mahu melondehkan kerosakan yang sedang berlaku dalam kerajaan sama ada dari segi kedudukan kewangan mahupun pentadbiran. Tidakkah PN sedar bahawa PM ke-9 baru memerintah hampir 5 bulan, jika kemerosotan prestasi kerajaan sekarang pastinya juga terpalit dari kepimpinan Mahiaddin sebagai PM dahulu. Janji PN juga yang mahu meningkatkan kualiti pendidikan semasa berkempen di Johor juga menjadi lebih sinis apabila kucar-kacir sistem pendidikan sekarang adalah berada dibawah kepimpinan Menteri Kanan Pendidikan yang asal dari BERSATU-PN.
Parti Bangsa Malaysia
Penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga telah meledakkan gelora dalam BERSATU sebagai tunjang PN. Dikatakan beberapa kenalan rapat Zuraida Kamaruddin yang menubuhkan PBM. Ada dikalangan mereka sebelum ini adalah pimpinan BERSATU dan PN. Sedang Zuraida itu juga pimpinan BERSATU selepas membuat lompatan kijang dari PKR. Apa tujuan bekas ahli BERSATU menubuhkan parti pelbagai kaum itu sedangkan setiap komponen dalam PN seperti BERSATU, PAS dan GERAKAN telah pun mewakili pelbagai kelompok kaum di Malaysia?
Bukankah keluarnya bekas ahli BERSATU menubuhkan PBM merugikan BERSATU-PN? Lebih mengujakan jika PBM ditubuhkan untuk menjadi parti yang mesra BN. Ia benar-benar melumpuhkan PN yang sedang berseteru secara diam-diam di Persekutuan dan terang-terangan di Johor/Melaka. Itulah persoalan yang berbangkit berkaitan PBM sama ada kewujudannya mengukuhkan PN ataupun melemahkan.
Halatuju pelompat politik
Diakui lompat politik berlaku sejak dahulu lagi, namun selepas tsunami politik Malaysia 2008, ia lebih kerap terjadi. Akhirnya, aksi lompatan tahun 2020 berjaya meruntuhkan sebuah kerajaan mandat rakyat. Walau digambar baik atas prinsip demokrasi dan undang-undang. Namun hakikatnya dari segi moral, ia tetap buruk. Apakah nasib mereka selepas ini, setelah BN berjaya menawan semula kerajaan persekutuan walaupun bukan sepenuhnya? Adakah pelompat politik sedang berpuas hati dengan keadaan semasa semata-mata tidak mahu melihat Anwar Ibrahim menjadi PM?
Pastinya, pelompat politik sedang memikirkan apakah langkah seterusnya untuk mereka meneruskan kelangsungan politik di Malaysia. Jika pernah sekali tinggalkan kawan untuk menyelamatkan diri, tidak mustahil mereka akan melakukan lompatan seterusnya jika melihat PN hampir lumpuh di langgar BN kawan yang dibantunya dahulu.
Akhirnya mampukah PN kekal sebagai parti politik di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang ini. Sekarang ia mampu bertahankan kerana masih menjadi pimpinan kerajaan dan punya kewangan yang mencukupi. Namun pada masa akan datang, ia belum pasti. Sama-sama kita lihat.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN