Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor serta Wanita Berdaya Selangor telah melaksanakan Majlis Wanita Selangor (MANIS) 2022. Ia merupakan majlis yang pertama kali diadakan bagi menghimpunkan pemegang taruh berkaitan isu kewanitaan di seluruh Selangor untuk menjalankan libat urus awam. Ia diadakan bagi memperkemaskan dan menambahbaik Dasar Wanita Selangor yang menjadi rujukan utama dalam merangka dan melaksana inisiatif dan program pendayaupayaan wanita di negeri Selangor.
Exco yang berkenaan iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa aspek sokongan sosial kepada wanita berjaya menjadi isu keutamaan untuk diperbahaskan memandang jumlah wanita yang bekerjaya di Selangor meningkat. Tambah beliau, jika isu tersebut gagal dirungkai, maka ia boleh menghalang daripada golongan wanita terus bekerjaya yang pastinya merugikan negara.
Kebimbangan yang lebih besar, Naib Presiden AMANAH itu memaklumkan, bahawa kemungkinan berlakunya peningkatan mendadak bilangan ibu tunggal pasca pandemik yang disebabkan oleh kadar penceraian yang tinggi melalui tekanan ekonomi keluarga kesan daripada kehilangan mata pendapatan semasa pandemik. Oleh itu kata beliau, penganjuran MANIS bertemakan ‘Saksama Bersama : Mendepani Pasca Pandemik’ tepat pada masanya.