ISU UPSR dan PT3 bukan sekadar isu pemansuhannya sahaja. Isu yang lebih mendasar ialah, adakah kita sudah bersedia untuk berubah dari sistem pentaksiran pendidikan berasaskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan berasaskan pembelajaran.
Apakah kita sudah bersedia berubah dari ‘exam based assesment’ kepada ‘learning based assesment’?
Mengubah sistem pentaksiran dari peperiksaan kepada pentaksiran berasaskan sekolah – PBD (pentaksiran bilik darjah) memang usaha yang baik. Tidak dinafikan. Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) – PBD adalah pentaksiran yang lebih holistik dan seimbang berbanding peperiksaan. Orang yang faham konsep pentaksiran pendidikan memang tidak akan menolak pelaksanaan PBS-PBD. Itu juga amalan pentaksiran pendidikan di sebahagian negara maju.
Jadi, tidak timbul isu mana satu lebih baik, apakah amalan peperiksaan atau amalan pentaksiran berasaskan sekolah? Tentu – tentulah jawabnya PBS-PBD lebih baik. Jadi kalau nak teruskan PBS-PBD, silakan. Analogi mudah, anda nak beli kereta, tak timbul isu antara Kancil dan Ferrari mana lebih baik?
Yang jadi isu sama ada anda mampu atau tidak? Bersedia atau tidak? Kalau mampu dan bersedia, silakan. Tapi kalau anda tak sedia, tapi nafsu besar, nak juga beli Ferrari, anda tahu apa akan jadi? Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula habis berciciran. Tapi kalau nak teruskan juga, silakan.
Cuma, jawab dahulu beberapa persoalan berikut. Dan jelaskan juga sebaiknya kepada ibu bapa.
-Soalan 1-
Jika kita sudah bertekad mahu teruskan amalkan PBS-PBB yang dikatakan lebih holistik berbanding peperiksaan, mengapa pula dikekalkan juga UASA yang masih berorientasikan peperiksaan? Mengapa masih perlu pada UASA? Mengapa dibebankan guru-guru dan murid dengan dua amalan pentaksiran, UASA dan PBD? Bukankah kita juga yang kata PBD sudah cukup holistik? Jika hari ini kita ke sekolah, UASA sudah seperti ‘mini-UPSR’. Murid-murid tetap tertekan juga lalui UASA (ujian akhir sesi akademik) seperti amalan UPSR dulu.
-Soalan 2-
Dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah, murid-murid telah didedahkan dengan pentaksiran PBS-PBD. Mereka semakin mahir dengan amalan PBS-PBD.
Jadi mengapa pula di tahap paling kritikal pentaksiran persekolahan tingkatan lima, murid-murid perlu ‘kembali’ menghadapi peperiksaan SPM pula? Sedangkan dari awal murid-murid tidak pernah terdedah kepada peperiksaan besar (bila UPSR dan PT3 dimansuhkan), tiba -tiba di hujung alam persekolahan mereka terpaksa berhadapan dengan satu peperiksaan yang sangat penting untuk masa depan mereka.
Bayangkan, selama 11 tahun amalkan PBS-PBD, tiba-tiba mereka terpaksa membuat persediaan untuk menghadapi amalan peperiksaan besar yang tidak pernah mereka lalui sebelum itu. Tentulah ini memberi kelebihan pada anak-anak keluarga mampu yang hadir ke kelas tambahan dan tuisyen.
Bagaimana pula dengan anak-anak dari keluarga yang tidak mampu yang tidak ke tuisyen? Tanpa pengalaman menghadapi UPSR-PT3, siapa yang akan membantu murid-murid untuk membuat persiapan hadapi peperiksaan besar seperti SPM?
-Soalan 3-
Adakah selepas ini gred pencapaian PBS-PBD akan menentukan sepenuhnya kelayakan seseorang murid masuk ke asrama penuh atau MRSM? Tidak lagi bergantung pada keputusan UASA yang berasaskan peperiksaan? Jawabnya tentu tidak.
Sebab, peperiksaan UASA masih penting untuk memohon ke asrama penuh MRSM. Malah murid-murid juga perlu menduduki ujian/peperiksaan khusus untuk mendapat tempat di asrama penuh dan MRSM (tetap juga amalan peperiksaan).
Maksudnya, ‘pusing kanan, pusing kiri’, akhirnya gred peperiksaan juga yang akan menentukan kelayakan mendapat tempat di sekolah asrama penuh dan MRSM. Nak layak masuk universiti pun sama juga kisahnya.
-Soalan 4-
Apakah semua sekolah dan 430,000 guru seluruh negara sudah bersedia untuk melaksanakam PBS-PBD yang tekal, telus, berkualiti dan boleh dipercayai? Sudah wujudkah jawatankuasa penilai dan pasukan audit luar yang mengesahkan kualiti PBS-PBD? Adakah guru opsyen sudah mencukupi bagi setiap mata pelajaran untuk amalkan PBS-PBD? Adakah ibu bapa sudah faham dan menerima sepenuhnya amalan PBS-PBD?
-Soalan 5-
Adakah bilik darjah kita sudah mencapai tahap baik iaitu mempunyai maksimum 25 orang murid dalam setiap kelas seperti negara maju yang amalkan PBD ? Jika kelas masih 40-45 orang, apakah kita mempunyai modul khas pelaksanaan PBS-PBD untuk kelas ramai murid?
Di saat kita mahu meraikan amalan PBS-PBD, kita juga kena pastikan kesiapsediaan pelaksanaan PBS-PBD di tahap yang baik. Jangan berubah-ubah lagi. Jangan dicuba -cuba lagi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Kesian pada guru-guru sebagai pelaksana. Paling kesian, tentulah pada anak-anak kita.
Dr Anuar Ahmad
*Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara