SelangorToday

MAT SABU BIDAS NAIB PRESIDEN PPBM ISU BERAS DI DEWAN RAKYAT

Dewan Rakyat – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad bin Sabu membidas tohmahan Naib Presiden PPBM yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Dr. Radzi Jidin di Dewan Rakyat semalam berkaitan isu kekurangan beras dalam pasaran. Kata Mohamad, meskipun kerajaan madani mengambil masa yang lebih lama untuk membuat sebarang keputusan berkaitan langkah menangani kekurangan beras dalam pasaran, namun ia tindakan bagi menggelakkan kerajaan mengubah-ubah sesuatu keputusan setiap bulan. Beliau menjelaskan, kerajaan bukan lambat tetapi cermat dalam menguruskan hal tersebut.

Sebelum itu Dr. Radzi bangun mencelah sesi penggulungan Mohamad di Dewan Rakyat setelah 160 orang ahli dewan membahas usul menjunjung kasih Titah Diraja sempena pembukaan Parlimen bagi tahun ini. Dakwa Dr. Radzi, krisis bekalan beras putih tempatan telah pun menjangkau 7 bulan, namun kerajaan masih belum membuat sebarang langkah bagi mengatasi hal tersebut. Tegas Mohamad, kerajaan telah mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri untuk membuka tanah-tanah sawah padi yang baharu bagi menampung kekurangan beras dalam negara.

Selain itu, Presiden AMANAH itu juga menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir yang menyatakan permohonan petani untuk mendapatkan bantuan akibat tanah jerlus dikawasan pertanian mereka ditolak. Namun Mohamad berkata, kali ini peruntukan untuk kesan tanah jerlus kepada petani sudah pun ada dan memohon kepada petani yang terkesan membuat pemohonan sekali lagi. – SelangorToday

Exit mobile version