SelangorToday

MAT SABU, TPM ANTARA YANG DIPANGGIL PM ANWAR, BINCANG TINDAKAN IRAN

Presiden Parti AMANAH Negara, Mohamad bin Sabu antara anggota pentadbiran kerajaan yang dipanggil oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk membincangkan keadaan terkini yang sedang berlaku di rantau Timur Tengah. Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merupakan salah seorang menteri kabinet yang lantang dalam membela pembebasan negara Palestin setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Malah perjuangan Mohamad itu merupakan kesinambungan peranan yang dimainkan oleh beliau ketika menjadi pembangkang sejak era 80an lagi. Selain Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi HARAPAN, turut dipanggil oleh Anwar  adalah Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Anwar berkata serangan yang dilancarkan oleh Republik Islam Iran itu merupakan tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis              Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria yang berlaku baru-baru ini. Anwar menegaskan tindakan Zionis Israel jelas melanggar hukum dan undang-undang antarabangsa. Selain itu, Pengerusi HARAPAN itu juga memaklumkan bahawa kerajaan sedang memantau rapat perkembangan terkini termasuk kedudukan pasaran kewangan, jangkaan kesan kepada Malaysia serta mengambil langkah bijaksana dalam memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

Anwar menegaskan pendirian Malaysia bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat. Malah beliau menyeru semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan tersebut. Sebarang jalur penyelesaian tidak akan berjaya sekiranya keganasan sedang berlaku tidak ditamatkan. Namun Malaysia kekal teguh untuk bersama warga Palestin yang menanggung derita kemelut ini. Kini masanya untuk menamatkan ketegangan. – SelangorToday

Exit mobile version