Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Yang Berhormat Tuan Mazwan Johar telah mengenalpasti beberapa isu besar yang melanda kawasan Sungai Ramal selepas banjir besar melanda kawasan tersebut tahun lalu. Menyedari masalah longgokan sampah yang banyak akibat pengumpulan barang-barang kerosakan semasa banjir, Mazwan telah mengagihkan sumbangan tong sampah beroda buat penduduk sekitarnya.
Keprihatinan Mazwan lebih jelas apabila beliau sendiri melihat sampah yang banyak sekitar Kampung Bangi manakala masyarakat sedang sibuk melakukan proses pembersihan dan pemulihan rumah masing-masing. Maka Mazwan yang juga Bendahari AMANAH Selangor itu turun sendiri mengagihkan sumbangan tong sampah beroda tersebut kepada setiap rumah yang ada di Kampung Bangi 9 Januari lalu.
Mazwan bersama-sama Pegawai Khas beliau serta Ahli Majlis kawasan tersebut turun mengagihkan sumbangan berjumlah 150 buah Tong Sampah Beroda. Harapan beliau agar sumbangan ini mampu mengurangkan sampah-sampah bertebaran sekitar kawasan Kampung Bangi dan kembali cantik dan bersih seperti sebelum banjir melanda.