Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal berkata lebih banyak inisiatif dan program kebajikan untuk pekerja p-panggilan akan dilaksana sekirannya beliau terus diberi mandat.
Mazwan Johar berkata golongan berkenaan sudahpun menikmati kemudahan Pit Stop Rahmah di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, di sini yang siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 25 Julai dengan kos RM40,000 bawah dana Projek Selangor Penyayang.
“Kebanyakan golongan belia di DUN Sungai Ramal ini bekerja dalam bidang p-panggilan untuk menambah pendapatan mereka. Jadi penting untuk kita menjaga kebajikan mereka.
“Insya-Allah jika menang pada Sabtu ini, kita akan usahakan untuk terus bela kebajikan pekerja p-panggilan” katanya ketika ditemu pada program Jualan Ehsan Rahmah di Pekan Bangi di sini hari ini.
Mazwan berkata kemudahan rumah rehat itu adalah permulaan yang baik buat pekerja p-panggilan sekali gus dapat merancakkan ekonomi setempat.