
Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia, susulan insiden kebakaran paip gas yang melibatkan 16 keluarga di Putra Heights.
Seramai 60 individu telah ditempatkan di PPS tersebut, dan segala keperluan asas telah disediakan dengan pantas serta teratur oleh petugas barisan hadapan, agensi berkaitan serta para sukarelawan.
Menurut YAB Dato’ Menteri Besar, kecekapan dan tindakan segera pihak terlibat jelas membuktikan kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengurus krisis serta menunjukkan semangat kemanusiaan yang tinggi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas dan sukarelawan yang telah bertungkus lumus menyantuni mangsa dengan penuh dedikasi dan profesionalisme. Usaha ini sangat dihargai dan membuktikan komitmen Selangor dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut menyampaikan ucapan terima kasih mewakili komuniti setempat atas pengorbanan dan kerjasama semua pihak.
“Dalam saat getir sebegini, keprihatinan dan kesungguhan yang ditunjukkan amatlah dihargai. Ia mencerminkan nilai kemanusiaan dan perpaduan yang wajar dicontohi oleh semua. Kami amat terhutang budi atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan,” kata beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang akan terus menyalurkan bantuan serta memastikan keperluan mangsa ditangani dengan segera.
Insiden kebakaran yang berlaku telah menguji kekuatan komuniti, namun kerjasama erat antara semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pasukan penyelamat dan sukarelawan membuktikan bahawa rakyat Selangor mampu bersatu hati dalam menghadapi cabaran.