Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 pada 25 Julai ini.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata sidang dewan kali ini akan membincangkan Rancangan Selangor yang pertama, iaitu perancangan hala tuju dan pembangunan negeri.
“Rancangan Selangor pertama yang akan dibentang Dato’ Menteri Besar adalah perancangan rapi bagi tempoh lima ke 10 tahun negeri ini. Ia seperti Rancangan Malaysia tetapi bagi Selangor dalam konteksnya tersendiri.
“Ia membabitkan rancangan khusus bagi hala tuju pembangunan, sosio ekonomi, kebudayaan, pendidikan, pengurusan kewangan dan politik, supaya rakyat jelas bagaimana kita hendak bawa pembangunan di Selangor,” katanya.
Beliau ditemui selepas hadir di jamuan Aidilfitri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di kediaman rasminya di Seksyen 7 hari ini.
Tambah Suee Lim, beliau akan mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) dua minggu sebelum berlangsungnya Persidangan Dewan Negeri Selangor.