SelangorToday

MB, EXCO DAN ADN SELANGOR POTONG GAJI BANTU MANGSA TRAGEDI PUTRA HEIGHTS

Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan memotong sebahagian gaji susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif turut disertai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penjawat awam negeri dari Gred 48 ke atas sebagai simbol solidariti bersama mangsa bencana.

Menurut beliau, pemotongan gaji itu akan disumbangkan ke Tabung Prihatin Selangor yang diharap dapat membantu mengurangkan beban mereka yang terjejas.

“Exco Selangor akan menyumbang RM1,000 setiap seorang, manakala ADUN pula menyumbang RM200, manakala Ahli Majlis RM100 serta penjawat awam pula menyumbang RM50.

“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050.

“Setakat ini, Tabung Prihatin Selangor berjaya kumpul lebih RM500,000 daripada pelbagai pihak untuk mangsa,” katanya dalam sidang media di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam.

Ditanya sumbangan itu turut membabitkan ADUN pembangkang, Amirudin menjelaskan, jumlah itu turut merangkumi semua wakil rakyat di negeri ini.

“Kalau ada ADUN yang tak mahu menyumbang, maklumkan dan kita akan potong juga sumbangan itu daripada mereka, kecualilah mereka tak nak mengaku jadi ADUN,” katanya.

Tabung Prihatin Selangor diwujudkan kerajaan negeri bagi menyokong proses pemulihan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam tragedi tersebut termasuk pemberian bantuan tunai, baik pulih rumah dan penempatan sementara.

Beliau memberitahu, lebih 1,000 sukarelawan juga digerakkan hujung minggu ini untuk membantu proses pembersihan di kawasan terjejas. -Sinar Harian

Exit mobile version