Dato’ Menteri Besar mengajak semua untuk bersikap ihsan terutama terhadap golongan istimewa bagi membentuk masyarakat penyayang yang saling membantu sesama insan.
Disebalik polemik melibatkan orang kelainan upaya (OKU) yang berlaku di Kemaman baru-baru ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sifat itu bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW kepada umatnya supaya berkasih sayang.
“Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari (13)],” katanya di Facebook.
Amirudin turut berkongsi kesempatan beliau menyantuni pengasas #BikeIsAble Anak Syurga Luar Biasa Wira Sudepja Rabu ketika merasmikan acara kayuhan IJN Ride 4 Your Heart pagi tadi.
“Kisah saudara Wira Sudepja dan isteri Puan Murni Dona amat memberi inspirasi dan motivasi melihat kecekalan mereka bersama anakanda tercinta Nur Wadihan atau dikenali sebagai Dihan.
“Anakanda Dihan yang menghidapi Cerebral Palsy tidak pernah menggunakan itu sebagai alasan untuk tidak menyertai pelbagai acara riadah dan kemasyarakatan. Malah saya turut memberitahu saudara Wira Sudepja bahawa kami pernah bertemu di acara larian Rawang Bypass Half Marathon tahun lalu.
“Saya mendoakan agar saudara Wira Sudepja dan Puan Murni serta ibu bapa yang lain diberikan kekuatan dan kecekalan dalam perjuangan membesarkan anak syurga ini. Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu dan menyokong usaha murni ini, insya-Allah,” katanya.
Dalam kejadian Jumaat lepas di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, seorang OKU mental berusia 47 cedera dipukul oleh beberapa individu selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah gerai jualan hingga menyebabkan makanan tumpah. – SelangorKini