SelangorToday

MB SELANGOR BAKAL UMUM PERUNTUKAN TAMBAH PERALATAN, PETUGAS HADAPI BANJIR

Dato’ Menteri Besar bakal mengumumkan peruntukan khas minggu depan sebagai persediaan negeri ini menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu digunakan bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas bagi berdepan Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.

Amirudin Shari melihat keadaan longkang ketika meninjau projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang

“Kerajaan Negeri akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu hadapan,” katanya menerusi Twitter.

Tambah beliau, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah juga diminta untuk memantau keadaan longkang dan sungai.

“KDEB Waste Management (KDEBWM) juga telah dimaklum untuk bersedia terima aduan sekiranya ada longkang yang tersumbat untuk dibersihkan.

“Beberapa projek tebatan juga dalam perhatian,” katanya lagi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenarai sebagai ‘hotspot’ ialah Hulu Selangor.

Exit mobile version