PKR perlu memainkan peranan memberikan kebaikan dan khidmat kepada orang Melayu walaupun parti masih gagal mendapat sokongan mereka, kata Naib Presiden Amirudin Shari.
Beliau yang juga menteri besar Selangor, berkata kekuatan parti adalah menjulang Melayu dengan ilmu pengetahuan yang rasional, berbanding menarik perhatian dengan menggunakan sentimen.
“Jangan rasa bersalah ada arus Melayu tak sokong kita. Jangan gundah gulana, terus buat baik berikan kemakmuran. Kalau kita gagal hari ini kita tak akan gagal selamanya,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Amirudin membidas pihak yang mendakwa ‘Melayu hilang kuasa’ untuk menaik perhatian masyarakat.
“Kita nak julang Melayu bukan dengan ketakutan dan ugutan tapi nak angkat semua Melayu, Cina, India, Sabah, dan Sarawak dengan cara mereka berfikir,” katanya.
Beliau menegaskan ilmu pengetahuan adalah kekuatan untuk melawan ketakutan yang dibangkitkan pihak lawan.
“Kita kena berani melawan dengan ilmu,” katanya. – FMT