Dato’ Menteri Besar hari ini menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara menerusi Anugerah Buku Negara 2023.
Bertempat di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Seri Amirudin Shari mengetuai senarai penerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Prolifik Dalam Memartabatkan Buku Negara menerusi buku berjudul G.R.E.A.T!.
Anwar turut menyampaikan trofi kepada Majlis Profesor Negara yang menerima Anugerah Khas Perdana Rakan Strategik Terbaik Dalam Memartabatkan Industri Buku Negara manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pula menerima Anugerah Khas Penggerak Industri Buku Negara.
Pada masa sama, Anwar turut meluncurkan buku Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains & Teknologi dalam al-Quran tulisan Dr Muhammad Nazir Mohamed Khalid bersama pengarah jabatan pendidikan Perak dan Wilayah persekutuan Kuala Lumpur.
Selain mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk Yayasan Pembangunan Buku Negara, Anwar turut memaklumkan telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembangunan di UPSI yang perlu bermula dalam masa terdekat. – SelangorKini