
Penjawat awam Selangor menerima tambahan setengah gaji melalui Insentif Rekod Hasil Negeri, menjadikan keseluruhan bantuan kewangan berjumlah sebulan setengah gaji.
Dato’ Menteri Besar memberitahu sumbangan yang disalur berperingkat mulai 25 Mac hingga sebelum 15 April bakal dinikmati lebih 18,000 kakitangan melibatkan kesan kewangan RM38.75 juta.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan insentif tambahan setengah bulan gaji itu berikutan pencapaian semasa prestasi negeri yang memberangsangkan dengan rekod terkini hampir RM700 juta.
“Akhir Februari lalu kita catat kutipan hasil sebanyak RM650 juta dan setakat hari ini sudah capai RM691 juta, hampir RM700 juta.
“Ini menunjukkan kita di landasan betul. Sebab itu saya umumkan beberapa insentif dengan keseluruhan ialah RM38.75 juta yang mana ia meliputi setengah bulan gaji atau minimum RM1,000,” katanya.
Ditemui selepas Majlis Mahabbah Ramadan Madani di sini, Amirudin berkata peruntukan berkenaan turut merangkumi pemberian RM250 kepada 50,000 kakitangan persekutuan yang berkhidmat di negeri ini dengan pendapatan RM3,000 ke bawah.
“Insentif juga dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, kampung bagan, penyelia Wanita Berdaya Selangor dan Penggerak Belia Selangor sebanyak setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.
“Petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 disumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,”katanya.
Sebelum ini, menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Amirudin mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang akan dibayar secara berperingkat.
BKK pertama dibayar pada 30 Disember lalu dan seterusnya pada 25 Mac ini sempena sambutan Aidilfitri.-SelangorKini