SelangorToday

MB SERU PENGUNDI BUAT PILIHAN RASIONAL BERPANDU PRESTASI 15 TAHUN NEGERI

Rakyat Selangor diseru menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan tindakan tersebut penting untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri dan masa depan rakyat secara keseluruhan.

Beliau juga meminta pengundi untuk membuat pilihan terbaik, diyakini membawa kebaikan kepada masyarakat selain mempunyai rekod pencapaian cemerlang sepanjang mentadbir.

“Saya tawarkan apa yang kita buat berdasarkan data dan fakta, bukan petik dalam mimpi. Harapnya rakyat pilih secara rasional, yang terbaik dan diyakini bawa kebaikan kepada mereka.

“Pilih (yang kena) dengan selera dan keinginan tetapi bandingkan juga rekod pencapaian yang Kerajaan Negeri buktikan selama 15 tahun, bukannya setahun,” katanya.

Bercakap dalam sesi sembang malam di TikTok SelangorTV malam tadi, Amirudin menambah rekod pencapaian setiap pentadbiran harus dilihat dalam tempoh yang munasabah.

Mengambil contoh kerajaan perpaduan di Putrajaya, beliau berkata banyak pembaharuan dibuat dalam tempoh beberapa bulan dengan pelaksanaan program yang lebih rancak dan tersusun.

“Sebenarnya apa yang berlaku di persekutuan ketika ini jauh lebih rancak dan tersusun berbanding pengalaman kita mentadbir Selangor dalam tempoh dua tahun pertama.

“Selepas tiga hingga empat tahun baru kita nampak realiti pengurusan. Kestabilan itu penting, kalau tidak jaga, akhirnya akan cipta sesuatu yang tidak pasti, jelas dan kabur,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri pada 23 Jun untuk membenarkan PRN diadakan.

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran selaras peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Exit mobile version