SelangorToday

MB SERU RAKYAT BERSATU PADU HADAPI CABARAN, RAIH PELUANG KUASAI EKONOMI

Negara mampu berdepan pelbagai dugaan termasuk cabaran sektor ekonomi sekiranya rakyat mengamalkan kesepakatan dan hidup bersatu padu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini semua negara cuba bersaing bagi menguasai ekonomi dan pelaburan serantau.

“Kalau lihat negara jiran dan serantau, mereka sedang memilih dan cari peluang supaya dapat kuasai ekonomi, kalau tidak pun landasan tanah.

“Hanya perpaduan di kalangan rakyat dapat mengukuhkan kita. Sempena berakhirnya pilihan raya negeri, ini masa kita bersatu sebab cabaran luar sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dekat sini, Amirudin berkata rakyat juga perlu menolak fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bagi memastikan negara terus kukuh.

Beliau turut meminta rakyat menjadikan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai contoh betapa buruknya kesan fitnah.

“Negara dan negeri menjadi punah dan ranap sebab fitnah. Marilah kita bersatu padu menolak fitnah yang bertebaran.

“Kita bawa kebenaran dan lahirkan masyarakat beradab, hormat agama Islam, pimpinan, raja berpelembagaan dan rukun negara. Rukun ini jadi paksi bawa perpaduan,” katanya.

Beliau memberi jaminan pentadbiran sedia ada akan meneruskan keharmonian selain menggembleng kemajuan dan ekonomi demi rakyat.

“Kita bawa perpaduan kepada rakyat dari Sabak ke Sepang, Rawang.. Hulu Selangor ke Petaling. Semua akan jadi warga Selangor kerana Kita Selangor,” katanya.

Exit mobile version