SelangorToday

MBSA KELUARKAN KEBENARAN KERJA PEROBOHAN STADIUM SHAH ALAM PADA 22 DISEMBER

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengeluarkan kebenaran bagi kerja perobohan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari di laman X memaklumkan kebenaran dikeluarkan pada 22 Disember lalu.

“Baru dapat kebenaran MBSA semalam (22 Disember),” katanya menjawab soalan berkaitan perkembangan projek pembangunan semula KSSA pada 23 Disember.

Kerajaan Negeri bakal membina kompleks sukan baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Seksyen 13, Shah Alam yang rosak akibat banjir mulai 2006.

Bencana itu, termasuk pada 2013 dan 2021, mengakibatkan kerosakan padang, sistem pendawaian, bilik bekalan elektrik, bilik persalinan dan aras bawah stadium selain aspek keselamatan terjejas.

Pada 21 November ketika sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2024 dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, Amirudin memaklumkan pelan kebenaran merancang (PKM) bagi projek pembangunan KSSA telah dihantar pada 15 November dan proses perobohan stadium dijangka dilaksanakan bulan ini dengan anggaran kos RM30 juta hingga RM50 juta.

Projek KSSA di atas tanah seluas lebih 80 hektar meliputi pembinaan hotel, stesen perkhidmatan awam bersepadu, pusat teater dan kawasan komersial.

Ia juga bakal menampilkan stadium bercantum bertaraf antarabangsa dengan kapasiti 35,000 hingga 45,000 penonton selain menyedia tanah seluas 10 ekar bagi pembinaan projek tebatan banjir dan kolam tadahan. – SelangorKini

Exit mobile version