SelangorToday

MCA & MIC: Menyorot Kelangsungan Hidup Mati Parti Tradisi

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan Pakatan Harapan yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat melakukan kesepakatan politik dengan seteru politiknya Barisan Nasional untuk menubuhkan kerajaan. Namun yang lebih jelas, kesepakatan yang turut disertai oleh Gabungan Parti Sarawak, Gagasan Rakyat Sabah, Parti Warisan Sabah dan Parti MUDA bertitik-tolak daripada saranan Yang Dipertuan Agong selepas keputusan Pilihan Raya itu gagal menobatkan sebuah gabungan sebagai kerajaan bermajoriti mutlak.

Justeru dalam pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan, MIC dan MCA selaku komponen dalam BN tidak diberikan tempat walaupun satu jawatan. Apa yang dapat difahami, kecenderungan MIC dan MCA untuk bersama PN baik sebelum pilihan raya atau selepasnya telah memberi kesan kepada kedudukan parti pimpinan Wee Ka Siong dan Vigneswaran dalam Kerajaan Perpaduan. Kini setelah 3 tahun Kerajaan Perpaduan kekal utuh dan berfungsi, apakah hala tuju dan masa depan yang bakal dirempuhi oleh MIC dan MCA?

Umum mengetahui bahawa MIC dan MCA merupakan parti tertua yang mewakili suara kaum cina dan india satu ketika dahulu. Baik pelajar sekolah sehingga warga emas, mereka sedar akan kewujudan dua parti ini lebih-lebih lagi sebagai antara organisasi yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Peranan yang dimainkan oleh MIC dan MCA baik semasa dalam Perikatan mahupun BN menjadi penyumbang kepada kestabilan masyarakat yang majmuk serta mendorong kepada pembangunan. Suara MIC yang mewakili kaum india dan MCA kaum cina diangkat kepada pembuatan dasar sehingga memperlihatkan dua kaum selain melayu ini turut menyumbang kepada dasar negara. Namun pengaruh MIC dan MCA semakin merosot sejak 2008.

Melihat kepada data, bermula dengan kemenangan 19 kerusi atau 63% daripada jumlah kerusi yang ditandingi oleh MCA pada PRU 1959, bertambah kepada 90% pada PRU 1964, mengalami penurunan ketara pada PRU 1969 iaitu 43%, kembali meningkat menjadi 63% pada tahun 1974, 53% tahun 1978, 75% tahun 1982, 53% tahun 1986, 56% tahun 1990, kemenangan 100% pada PRU 1995, 93% tahun 1999 dan 2004. Pun begitu sejak 2008, jumlah kemenangan kerusi parlimen MCA merosot mendadak dan konsisten menjadi 45% PRU 2008, 17% PRU 2013, 2.4% PRU 2018 dan 4.5% PRU 2022.

Begitu  juga dengan MIC, meskipun bertanding dengan jumlah kerusi yang sedikit sejak dahulu lagi, namun sehingga 2004, MIC tidak pernah gagal mencipta prestasi yang cemerlang dengan kemenangan hampir mutlak dalam setiap siri pilihan raya. Pilihan Raya Umum tahun 1959 dan  1964, MIC berjaya mencatat kemenangan 100% kerusi parlimen. Tahun 1969, menang 2 kerusi daripada 3 kerusi yang ditandingi. Tahun 1974 hingga 2004, MIC mencatat kemenangan hampir 95% atau hanya tewas 1 kerusi daripada semua kerusi parlimen yang ditandingi. Bagaiamanapun, tahun 2008, MIC hanya menang 3 daripada 9 kerusi yang ditandingi. Tahun 2013, menang 4 kerusi daripada 9 kerusi manakala 2018, 2 kerusi daripada 9 kerusi. MIC mencapai titik terendah pada PRU 2022, selepas hanya berjaya memenangi 1 kerusi sahaja daripada 10 kerusi yang diperuntukkan oleh BN.

Krisis kepimpinan dalam MCA antara Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek mengheret MCA dalam konflik berpanjangan hingga terus rebah

Data ini menunjukkan bahawa MIC dan MCA ditolak secara konsisten selepas mereka mencapai kemenangan besar PRU 2004 atas nama BN. Apakah faktor yang mendorong kejatuhan sokongan rakyat kepada mereka? Secara alaminya, sokongan mereka telah beralih secara tuntas kepada DAP sejak 2004. Keyakinan mereka kepada parti yang bukan sahaja membela rakyat, namun bersifat sederhana dan tidak berunsur perkauman sempit telah membentuk jati diri kaum india dan cina menyokong DAP secara keseluruhan. KEADILAN pula wujud sebagai parti pelbagai kaum berjaya menambat sokongan kaum bukan melayu dikerusi-kerusi bandar dan separa bandar. Rakyat mula melihat MCA dan MIC jauh daripada rakyat, penguasaan mereka dalam kerajaan selama 60 tahun melebarkan jurang antara mereka dengan masyarakat terbawah.

Pengganti Tun Samy Vellu, iaitu G.Palanivel dan S. Subramaniam gagal mengurus konflik dalam parti.

Lebih menambah resah dan kedukaan buat parti yang membina sejarah Malaysia ini apabila kemerosotan sokongan pengundi kepada mereka menyebabkan masing-masing mengalami krisis kepimpinan yang berlarutan sehingga meruntuhkan parti yang pernah megah satu ketika dahulu. Kalau dalam MCA perkelahian antara kepimpinan Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek mengheret MCA ke arah penolakkan rakyat secara total. MIC pula berlaku pertembungan antara Mendiang G.Palanivel dan S.Subramaniam menjurus ke arah kucar kacirnya kesepaduan parti kaum India. MIC dan MCA juga dilihat gagal memberi sebarang tindakan terhadap skandal dan kontroversi yang melanda kepimpinan UMNO sebagai tunjang BN ketika itu. Dua sahabat karib UMNO ini berpeluk tubuh atas pelbagai dakwaan yang mendorong rakyat memilih pembangkang berbanding mereka. Akibatnya MCA dan MIC hilang kepercayaan umum seperti yang dihadapi hari ini.

Kini MCA dan MIC berada dalam persimpangan untuk bergerak menjelang PRU ke-16. Mati dan hidup kedua-dua parti ini ditentukan dalam keputusan pilihan raya yang akan datang. Jika MCA dan MCA kekal atau gagal mendaoat sebarang kerusi pasca PRU16, kedua-dua parti ini akan hanyut dan lenyap dalam politik Malaysia. Sebaliknya jika MCA dan MIC berjaya mempertingkatkan jumlah kerusi kemenangan mereka misalnya MIC menjadi 3 kerusi dan MCA 10 kerusi itu sudah cukup untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam arus politik semasa.

—LOW LAY PHON/The Star

Pilihan yang ada dalam persimpangan MCA dan MIC ini ialah  kekal dengan keadaan sekarang dimana MCA dan MIC terus terpinggir dalam Kerajaan Perpaduan tetapi bakal mendapat ihsan kerusi dan sokongan daripada UMNO selaku komponen BN. Pilihan yang ada itu dijangka akan mengekalkan kerusi yang sedia ada dimenangi oleh MCA dan MIC sebelum ini pada PRU 16 termasuk Ayer Hitam, Tanjung Piai dan Tapah. DUMNO dijangka memberikan 3 hingga 6 kerusi kepada MIC dan MCA yang pernah ditandingi oleh UMNO semasa PRU15 untuk ditawan oleh mereka.

Pun begitu, jika MCA dan MIC memilih untuk menyertai pembangkang. Jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh mereka pastinya lebih banyak berbanding jika duduk di dalam BN. Hal ini kerana pakatan pembangkang lebih ingin mendominasi kerusi melayu membolehkan kerusi bukan melayu diagih secara sama rata antara MIC, MCA, Gerakan dan MIPP. Namun adakah apabila bersama pembangkang MIC dan MCA mampu menawan undi bukan melayu sedangkan semasa di dalam BN, MCA dan MIC menerima sokongan ihsan daripada UMNO semata-mata?

Pilihan-pilihan yang wujud ini mungkin mampu membantu mengekalkan prestasi MIC dan MCA dalam politik untuk jangka masa pendek, tetapi menuju jalan ke hadapan yang lebih jauh dan berliku untuk kekal sebagai parti yang relevan, MCA dan MIC seharusnya membuka ruang rombakan kepimpinan dan strategi yang lebih segar dan meninggalkan nostalgia yang sentiasa membebani parti-parti ini. Mungkin Ka Siong dan Vigneswaran merupakan wajah politik BN semasa skandal kepimpinan BN masih meledak, malah kedua-dua presiden parti ini merupakan pemimpin generasi pemuda BN dibawah kelolaan Hishammuddin Hussein satu ketika dahulu, ini benar-benar menjadi tembok yang menghalang mereka beraksi dalam Kerajaan Perpaduan.

Untuk menjadi lebih berkesan akan keberadaan dalam landskap politik baru Malaysia, pembawakan MIC dan MCA perlulah menjurus kepada gagasan atau idea yang lebih praktikal dalam membantu masyarakat merentas pelbagai kaum. Corak perkauman yang dibawa baik india dalam MIC serta cina dalam MCA dibawa dalam bentuk permasalahan atau isu yang bersifat universal bagi menyokong fungsi dua parti ini dalam arus semasa. Menongkat isu perkauman dengan sentimen hanya menjadikan rakyat terus menolak permainan MCA dan MIC kerana rakyat telah mula dan bersedia melihat isu berbanding sentimen kaum secara membabi buta.

Justeru itu, MCA dan MIC wajar melihat keperluan utama mereka untuk melangkah ke hadapan bagi memastikan mereka bukan hanya mampu hidup untuk penggal akan datang sahaja, tetapi ia juga mestilah membolehkan MCA dan MIC kekal dalam jangka masa panjang. Telah 4 penggal MCA dan MIC gagal melaksanakan reset secara menyeluruh untuk bangkit semula. Maka terpinggirnya mereka dari Kerajaan Perpaduan mungkin menjadi ruang untuk mereka melaksanakan reset menyeluruh sebelum PRU 16 tiba.

Exit mobile version