SelangorToday

MEJA PENGARANG | ADA TEMPATKAH MUAFAKAT NASIONAL DI HATI RAKYAT SELANGOR?

1. Gendang Pilihan Raya Umum seolah-olah telah dipalu apabila hampir semua parti-parti yang tertubuh di Malaysia ini mula melakukan persiapan mereka. Perang yang semakin meruncing pasca perubahan kerajaan pada tahun 2018 menjadikan aksi yang akan dipaparkan selepas PRU nanti semakin mencabar.

2. Di Selangor, Pakatan Anti-Barisan Nasional telah memerintah lebih 14 tahun sebagai sebuah kerajaan negeri. PAS yang menjadi sebahagian kerajaan negeri daripada tahun 2008 sehingga 2018 dijangka akan beradu tenaga bersama Barisan Nasional atas nama Muafakat Nasional.

3. Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar sedar akan kekuatan yang telah dipacu oleh Pakatan Harapan(PH) sebagai pakatan terkini yang memerintah Selangor dengan berbagai inisiatif membantu rakyat.

4. Daripada segi startegi politik, berbagai taktikal telah dicuba untuk merempuh kubu PH ini. Melantik Presiden UMNO(ketika itu) Najib Razak sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sehinggalah kepada mengumpulkan kesemua bekas-bekas Menteri Besar Selangor untuk menyokong UMNO, kesemuanya gagal mengalihkan undi rakyat Selangor kepada Barisan Nasional.

5. Cuma pasca PRU 2018, BN merasakan strategi merempuh PH menggunakan MN bersama PAS menjadi strategi yang dirasakan mampu menggugat kedudukan PH di Selangor meski dengan hanya majoriti mudah.

6. PAS sebagai dara pingitan antara BN dan PN akan menjadi penentu kepada kelangsungan BN di Selangor. Oleh itu lah, Noh Omar sering kali cuba untuk menggambarkan bahawa MN masih wujud di Selangor sehinggalah dipangkah oleh Presiden UMNO sendiri bahawa MN ibarat nyawa-nyawa ikan. Khabar angin juga bertiup kencang bahawa Noh Omar sedang diperhatikan oleh golongan UMNO-BN yang yakin akan pertandingan BN secara solo mampu menawan semula Selangor.

7. Mungkin MN tidak akan berjaya diwujudkan di Selangor memandangkan beberapa hari ini, Noh Omar seolah-olah menerima keputusan parti untuk tidak bersama PAS di semua peringkat dalam PRU akan datang. Noh mengumumkan pembahagian kerusi dalam MN telah pun batal.

8. PAS pula melalui Pesuruhjayanya, Dr. Yunus Hairi cuba mempertahankan MN dengan menyatakan pembahagian kerusi antara parti dalam MN masih terpakai. Ia seolah-olah melihatkan bahawa PAS sedang meninggalkan BERSATU sebagai sekutunya dalam PN di Selangor.

9. Apa pun keadaan MN ia akan boleh berubah sekelip mata kerana dalam politik, apa sahaja yang mampu mendatangkan keuntungan akan dipaut seboleh yang mungkin. Tambahan pula, PAS begitu terdesak mahu menjadi kerajaan Selangor kembali selepas gagal menjadi ‘king marker’ di Selangor dengan 1 kerusi sahaja. UMNO-BN pula yang kehausan selama lebih 14 tahun mahu Selangor kembali ke tangan mereka. Bagi mereka, selain berjaya menawan Putrajaya, membentuk kerajaan di negeri paling kaya itu akan menjadi kejayaan yang lebih bermakna buat UMNO-BN dan PAS.

10. Namun persoalan yang ditimbulkan adalah, benarkah MN mampu menumbangkan PH di Selangor? Jika benar, apakah faktor yang mendorong mereka menawan hati rakyat Selangor?

11. Terus-terang daripada keyakinan pimpinan UMNO-BN di Selangor, mereka cukup yakin bahawa MN mampu menawan Selangor hanya kerana mendapat sokongan penuh orang melayu. Strateginya melayu perlu berada dibawah kesatuan umat yang membawa naratif melayu Islam untuk memerintah Selangor. Dengan cara itu kedudukan orang melayu akan dibela.

12. Dengan jangkaan mendapat sokongan penuh, Sejumlah kerusi DUN akan berjaya ditawan oleh MN yang akan memudahkan urusan pembentukan kerajaan negeri. Oleh itu cita-cita besar UMNO-BN dan PAS seperti yang penulis sebut tadi akan tercapai. Begitu?

13. Hakikatnya adakah ruang di negeri Selangor ini naratif perkauman dan kedudukan melayu ini dijaja? Adakah benar orang melayu di Selangor terpinggir setelah 14 tahun duduk di bawah PH?

14. Media massa dan media sosial hari ini kurang memaparkan kisah politik Selangor di pihak PH. Paling kurang adalah tentang perlumbaan pimpinan KEADILAN dalam pemilihan kali ini. Banyak yang diterbitkan adalah kedudukan MN di Selangor. Mengapa itu terjadi?

15. Jawapannya hanya satu, kerajaan negeri yang diterajui PH sedang menumpukan usaha kepada fasa pemulihan semula ekonomi negeri pasca Covid-19. Lebih penting lagi, hampir setiap hari akan ada inisiatif baru akan diumumkan oleh PH Selangor khusus untuk membantu rakyat.

16. Tiada ruang untuk PH Selangor berpolemik politik sehingga mencicirkan kepentingan rakyat. Sekali-sekala terpaksa menjawab beberapa isu politik yang disingguh oleh BN dan PAS walaupun mereka tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan. Kesannya rakyat sedang menikmati semua usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan PH Selangor, dan mereka tidak punyai banyak masa untuk melayan segala dakyah politik perkauman sedang mereka selasa berada di bawah PH.

17. Maka penilaian harus dilakukan semula, adakah MN benar-benar mampu menumbangkan PH di Selangor. Dalam masa yang sama, rakyat juga harus membuat sebuah keputusan yang jelas, adakah ruang permainan politik perkauman ini dalam diri mereka.

18. Buat PH, meski mereka sedang berusaha membantu rakyat, jangan sesekali leka dengan langkah politik masing-masing. Bagi rakyat Selangor, kerbesamaan antara KEADILAN, AMANAH dan DAP lah yang menstabilkan kepimpinan Selangor sehingga rakyat merasai kenikmatannya. Ini bukan kerajaan KEADILAN, bukan kerajaan AMANAH, bukan kerajaan DAP! Ini kerajaan PAKATAN HARAPAN SELANGOR.Oleh,Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version