Pilihan Raya Umum dan Negeri edisi ke-15 mendatang pelbagai kesan kepada negara termasuk pembentukan masyarakat Malaysia. Permainan persepsi dan fahaman politik masing-masing telah membentuk satu perbezaan pemikiran dalam masyarakat terutamanya anak muda.
Namun, sepatutnya selepas Pilihan Raya berakhir, tumpuan dan keutamaan utama semua parti adalah menguruskan kemenangan masing-masing dengan mula menjalankan khidmat mereka kepada masyarakat. Asasnya janji yang mereka tawarkan dalam Pilihan Raya menjadi aspek utama selain keperluan sampingan yang berbentuk pembangunan masyarakat itu sendiri.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional(PN) Tan Sri Mahiaddin Yassin seolah-olah tidak meletakkan titik nokhtah dalam berkempen meskipun keputusan telah jelas diketahui bahawa PN kekal di 3 Negeri mereka dan PERPADUAN kekal di negeri mereka sebelum ini. Desakan supaya PM Anwar Ibrahim dan TPMnya Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan umpama mahu memanjangkan lagi pertempuran politik yang sedia ada panjang dan berlebihan.
Jumlah keluar mengundi yang amat rendah membuktikan bahawa pertempuran politik ini harus segera dihentikan. Malah keinginan PN yang mahu memanipulasi keputusan PRN baru-baru ini agar mampu menduduki semula kerusi empuk di Putrajaya perlu dilupakan sehingga PRU 16 tiba. Rimas dan lemas masyarakat dengan sentimen pertukaran kerajaan persekutuan dalam tempoh 9 bulan ini perlu diredakan dengan tumpuan kepada pembangunan masyarakat dan pemulihan negara.
Bagaimana ahli-ahli politik PERPADUAN iaitu HARAPAN dan BN mahu menangkis permainan PN yang masih belum puas lagi ini? Hanya satu yang perlu diadaptasikan dalam semua gerak kerja mereka bermula hari ini. Iaitu mengangkat semula aspirasi Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun lalu. Tekad baginda untuk melihat ahli politik mendahulukan kecintaan kepada negara berbanding parti masing-masing perlu diterjemahkan dalam politik pemimpin-pemimpin PERPADUAN.
Bangkitkan semangat akan cintakan pada negara memandangkan perayaan Hari Kebangsaan bakal tiba 2 minggu sahaja lagi. Pemimpin PERPADUAN boleh menyebarkan naratif patriotisme kepada Malaysia melalui anjuran program kawasan termasuk pengisian dalam Media Sosial masing-masing. Bina program merentas parti agar penyokong pembangkang juga bersama PERPADUAN demi negara. Bentuk komuniti pelbagai kaum dan agama agar doktrinasi kaum yang dimainkan dalam PRN baru-baru ini dipecahkan.
PERPADUAN sudah pun menang di 3 buah negeri, malah mengekalkan pentadbiran 7 negeri lain termasuk kerajaan persekutuan. Oleh itu, tidak perlu lagi kita berlebih-lebihan menangkis dakwaan PN yang berbagai. Cukup dengan elemen patriotisme ini untuk merapatkan semula saf masyarakat dalam 1 negara ini berdaulat ini.
Biarkan pembangkang terus bermain dengan sentimen tukar kerajaan dan perkauman sempit tanpa sebarang layanan dari PERPADUAN. Pentingnya adalah semua ahli politik PERPADUAN dan agensi Kerajaan Perpaduan melakukan kempen besar-besaran tentang patriotisme kepada negara. Biar naratif ini membumi ke akar umbi, dan aspirasi penubuhan Kerajaan Perpaduan kembali terpahat dalam pemikiran rakyat.
Proses memuhasabah diri dan pembaikan dalam parti PERPADUAN boleh diteruskan secara dalam dan tersusun tanpa menggugat keutuhan Kerajaan Perpaduan ini. Kerana PERPADUAN adalah lambang kebangkitan Malaysia yang perlukan masa, kesabaran, keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain.
Yakinlah ahli politik PERPADUAN mampu lakukannya!!
Cikgu Syazmir H