- Sejak Langkah Sheraton, dunia politik menjadi panas dan terumbang-ambing sama seperti sebelum kejatuhan Barisan Nasional dan Najib Razak selepas PRU14. Namun kali ini sedikit berbeza apabila kehangatan politik hari ini tidak segah seperti sebelum-belum ini kerana Pakatan Harapan mahupun pembangkang, dilihat gagal bangkit semula setelah dicederakan oleh pengkhianat Langkah Sheraton. Sehingga hari ini PH dan pembangkang masih mencari formula terbaik bagi menyaingi BN dan Perikatan Nasional.
- Pertarungan demi pertarungan melibatkan PRN, undian di Dewan Rakyat serta perlumbaan mendapat sokongan majoriti sebagai kerajaan menghambat PH terkebelakang. BN pula mula merasa peluang untuk mereka memerintah Putrajaya semula dengan kuasa penuh akan menjadi kenyataan dengan ketempangan PH. Pengundi atas pagar yang memberi sokongan kepada PH semasa PRU14 pula mengambil sikap tidak keluar mengundi atas faktor kecewa kepada apa yang terjadi pada PH dan masih tidak menyokong BN.
- Hampir kesemua penganalisis politik menyatakan bahawa PH mengalami krisis kepimpinan setelah Tun M dan para pengkhianat meninggalkan PH. Sama niat penganalisis itu mahu memburukkan atau memang itu kenyataannya, PH wajar melihat akan permasalahan tersebut. Sekurang-kurangnya ada satu aspek yang telah diperbaiki oleh PH untuk kembali bangkit mencabar BN/PN.
- Soalnya sepanjang tempoh pasca Langkah Sheraton, tidak pernahkah sekalipun PH bermuhasabah diri untuk membina semula kekuatan? Tidak pernahkah pimpinan setiap parti dalam PH membaiki gaya dan strategi kepimpinannya akan kepimpinan mereka kekal relevan dan PH boleh diperkasakan? Sebenarnya ia tidak dilakukan banyak kali. Retreat PH di Port Dickson antara langkah yang diambil. Namun ia tidak menjadi kemana, kerana retreat sekadar retreat dan selepas itu pimpinan balik semula untuk bermimpi dengan mimpi masing-masing.
- Cabaran paling besar untuk memperkukuhkan ikatan dan langkah parti-parti komponen PH adalah keegoan atau ke ‘aku’an masing-masing yang melemahkan. Ada pula pimpinan dari parti dalam PH menyatakan kejayaan ini merupakan kejayaan parti tertentu semata-mata menyebabkan sifat sangka buruk dan tidak saling mempercayai wujud dalam PH. Akhirnya apa yang dituntaskan dalam retreat tidak berjaya dilaksanakan. Satu lagi adalah kisah silam PH dipimpin oleh Tun M dan kegagalan beliau bersama kabinetnya mempertahankan PH sebagai kerajaan menjadi asas kepada golongan ini yang sentiasa menolak prinsip keharmonian dalam PH. Mereka menggangap mereka yang masih berhubung dengan Tun M masih mahu menjadikan Tun sebagai PM sekali.
- Tidakkah kita sedar bahawa aspek ini yang sedang melemahkan kita. Tambahan pula, bersikap fanatik tak tentu arah lebih mengucar-ngacirkan keadaan. Bukankah gagal menyelesaikan isu logo merupakan tanda ke‘aku’an masing-masing masih menebal? Akhirnya PH jatuh sebagai gabungan nombor tiga dibelakang BN dan PN. Puncanya hanya ego antara parti khusunya strategi. PH mahu perkenalkan gabungan parti yang saksama, tiada abang long dalam PH, tetapi isu keegoan tak dapat dikendurkan. Maka apa guna kita saksama, lebih baik jadi BN yang UMNO memimpinya, atau PN yang PBBM memimpinnya.
- Maka penulis mahu menyatakan bahawa perkara diatas harus diatasi sesegera mungkin. Terduduk kita apabila Rafizi Ramli menyatakan bahawa PH hanya perlu fokus 80 kerusi untuk menjadi pembangkang terkuat dahulu berbanding ingin membentuk kerajaan PH. Sedangkan itulah hakikat yang perlu diterima dengan keadaan PH yang lemah. Berbalik kepada isu kepimpinan, penulis mencadangkan amatlah sukar untuk meminta Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng untuk berundur dikala PH sedang dirundung malang. Namun penulis mengharapkan tokoh yang perlu dikedepankan mestilah orang yang berbeza. Ibaratnya, Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng boleh kekal sebagai ketua pasukan dalam acara bola padang, namun peranan sebagai penyerang untuk menjaringkan gol perlu diserahkan kepada orang lain yang lebih segar dan muda.
- Mengapa penulis katakan demikian, kini demografi pengundi bertambah rencam. Undi 18 masih belum ada petunjuk pihak mana yang akan dapat menguasai meski PRN Johor telah memulakannya. Tambahan pula, kisah silam dalam politik Malaysia seperti reformasi 1998 dan Wawasan 2020 serta legasi percaturan pimpinan UMNO menguasai Malaysia hampir tidak relevan kepada golongan muda. Pertikaian satu ketika dahulu mampu membentuk kisah politik hari ini. Maka ditimbulkan muka-muka baru yang kurang cerita politik dahulu kala boleh mengembalikan semula kecaknaan pengundi muda dan atas pagar.
- Kelesuaan politik akibat Langkah Sheraton membuatkan rakyat menghukum semua ahli politik. Episod politik zaman Tun dan Anwar serta watak-watak lain seangkatannya telah dilabelkan jemu oleh masyarakat biasa. Maka ia perlulah diganti. Penulis tidak berhendakkan sesiapa untuk menjadi penyerang setiap parti dalam PH. Ia boleh ditentukan oleh strategi mereka sendiri. Cuma penulis sengaja letakkan gambar Anthony Loke, Adly Zahari dan Rafizi Ramli menghiasi poster rencana ini kerana bagi penulis mereka antara yang layak serta punya ‘weight’ untuk menjadi penyerang pasukan. Namun tidak pula penulis membelakangkan Salahudin Ayub, Gobind Singh dan Saifudin Nasution. Mereka juga ada potensi.
- Cuma penulis nak katakan, pemain penyerang mestilah boleh mempengaruhi rakyat untuk mendengar langkah dan syarahnya. Jika ia berlaku itu baru menjaringkan gol. Situasi ini tidak berlaku dalam parti selain PH, kerana mereka kekal bergantung kepada pimpinan ‘heavyweigth’ mereka. Dialah kapten, dia juga penyerang. Najib, Mahiaddin, Hadi Awang, Wee Ka Siong, M. Saravanan, Dominic Lau, Syed Saddiq dan Tun Dr. Mahathir adalah parti yang bergantung sepenuhnya kepada pimpinan utama mereka untuk menjaringkan gol. Sedangkan muka mereka sudah tidak diterima masyarakat lagi. Oleh itu, PH perlu mengorakkan langkah.
- Dalam masa yang sama, pemain penyerang ini mesti diberikan tanggungjawab untuk menyatakan pendirian PH, diberikan ruang untuk terlibat sama dalam Majlis Presiden serta berhak sedikit sebanyak untuk mencatur gerak kerja parti dengan sokongan Presiden masing-masing. Dibawah Majlis Presiden PH, wujudkan Badan Induk Pelaksana yang memainkan peranan untuk mengelolakan strategi yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Maaf kalau saya ambil contoh PAS. Majlis Presiden semacam Majlis Syura PAS yang memandu arah tuju PH, manakala Badan Induk Pelaksana adalah Ahli Jawatankuasa Pusat didalam PAS.
- Berikan ruang untuk tokoh baru duduk didepan membawa PH kembalikan keyakinan rakyat. Mengapa tak diturunkan sahaja Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng, itu lebih mudah. Penulis sentiasa cuba memikirkan adakah jalan lain selain mereka turun dari kepimpinan, kerana bagi penulis sehingga hari ini masing-masing punya kekuatan untuk mengepung sebahagian undi. Mereka masih berkeupayaan untuk mengekalkan beberapa undi PH PRU lalu, namun bukan untuk tukang jaringkan gol. Penulis sedar, bahawa DAP perlu melipat gandakan usahanya apabila tokoh lagenda mereka Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya. Hal ini kerana Kit Siang masih punya kekuatan walaupun bukan duduk didepan memimpin PH. Samalah juga dengan Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng.
- Mungkin ini peluang terakhir Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng membantu membebaskan rakyat Malaysia dari cengkaman BN. Jika selepas PRU 15 masih tidak berjaya, transisi kepada golongan muda baru telah dibuat melalui Badan Induk Pelaksana yang telah dibentuk. Penulis bukan meletakkan kegagalan membentuk strategi PH kepada Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng, tetapi beri orang baru menyusun langkah PH dengan aspek baru seperti politik baru, undi 18 dan kaedah pemasaran baru yang lebih dekat dengan mereka. Dengan itu, PH lah gabungan parti yang paling segar berbanding BN dan PN.
- Mungkin tulisan penulis tidak akan dihiraukan oleh PH, kerana sebelum ini, ada 3 hingga 4 artikel yang penulis tulis untuk membetulkan keadaan PH. Namun, dengan lagak Najib Razak yang berlakon seolah-olah rakyat menerimanya boleh menghambat PH duduk dibawah, maka penulis terus menulis untuk memberikan cadangan. Lakukanlah apa yang terbaik untuk PH asalkan BN tidak kembali semula memerintah.
Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng kekal sebagai ketua pasukan tetapi pemain penyerang mesti orang baru. Kita cuba!
Oleh,
Cikgu Syazmir HN