Apakah era baru yang ingin dibawa oleh AMANAH? Era bagaimana yang ingin Pemuda AMANAH perlihatkan kepada masyarakat? Baca tulisan Ketua Pengarang portal Selangortoday di Slot meja Pengarang.
- Selesai Pemilihan Pemuda AMANAH di peringkat kawasan dan Nasional hujung tahun lalu telah memperlihatkan kesepaduan semula sayap kanan Parti AMANAH Negara dalam arena politik Malaysia. AMANAH merupakan parti termuda dalam HARAPAN kurang mendapat pubsiti media setelah HARAPAN jatuh akibat Langkah Sheraton. Namun sejak perlantikan Mohamad Sabu dan Almarhum Salahuddin Ayub sebagai menteri kabinet kerajaan perpaduan dan proses pemilihan parti pada tahun 2023, telah meningkatkan populariti parti progresif Islam itu.
- Dalam pemilihan lalu, sayap pemuda bertembung idea dua penjuru antara pihak penyandang Ketua Pemuda Senator Hasbie Muda dengan gagasan ‘Kita Pemuda’ manakala pihak pencabarnya Azhar Rahman melalui gagasan ‘Arah Baru’. Keputusan yang dibuat oleh perwakilan meletakkan hampir 70% barisan calon yang menang selaku Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merupakan kelompok gagasan ‘Kita Pemuda’. Ia juga dipengaruhi oleh sokongan terbuka Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga, Shah Alam bersama pasukannya bersedia bekerjasama dengan Hasbie Muda.
- Sebaliknya tidak kurang daripada 5 calon dari kelompok ‘Arah Baru’ berjaya ditempatkan dalam 27 calon yang menang. Disinilah permulaan kepada keampuhan Pemuda AMANAH itu dinilai memandangkan ada sebilangan calon dari kem berbeza dalam kepimpinan Pemuda AMANAH. Walaubagaimana pun, Hasbie dalam ucapan penggulungan dan terima kasih kepada semua perwakilan yang memberikan mandat kepada beliau menyeru agar semua ahli Pemuda AMANAH kembali bersatu mendepani cabaran masa hadapan yang lebih rumit.
- Sejauh mana seruan Ketua Pemuda AMANAH itu akan dituruti oleh ahli Pemuda, kerana bagi penulis jika kepimpinan Pemuda AMANAH berjaya menggarap setiap ahli yang ada, mahir berunding dengan dua kelompok yang berbeza gagasan serta berupaya memaparkan wajah padu Pemuda AMANAH, itulah menjadi satu kejayaan utama yang dicapai oleh kepimpinan Pemuda AMANAH. Hal ini demikian kerana, Pemuda AMANAH telah ditubuhkan bertahun lamanya, namun masalah asas seperti pelbagai kelompok dan kem dalam Pemuda AMANAH telah merencatkan perkembangan penuh Pemuda AMANAH.
- Selepas berkisar soal meredakan perbezaan kelompok dan semua kelompok dalam Pemuda diberikan ruang peranan dalam kepimpinan, barulah perihal era baru yang ingin dicipta oleh Pemuda mudah dibahasakn serta relevan untuk dilaksanakan. Hanya dengan perpaduan antara ahli Pemuda akan membumikan era baru yang ingin dibawa. Apakah era baru yang ingin dibawa oleh AMANAH?
- Masih terlalu awal untuk memahami apakah pendekatan serta strategi yang bakal Pemuda AMANAH lakukan untuk membina sebuah era yang baru bagi organisasi tersebut, ia juga memandangkan penyusunan jentera sayap melalui jawatan-jawatan lantikan serta Ketua Pemuda AMANAH Negeri belum dilaksanakan. Tetapi apabila meneliti ucap tama dan ucapan penggulungan Hasbie di Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional tahun 2023, pastinya visi dan misi yang dirangka untuk penggal akan datang jelas kelihatan.
- Apa yang penulis lihat, keupayaan Hasbie terserlah setelah diberikan peranan sebagai Ahli Dewan Negara. Keupayaan tersebut tertumpu kepada kebolehan Hasbie mengolah sesuatu pandangan ilmu yang boleh digarap dalam dasar negara. Erti kata lain, nilai keilmuan yang ada pada Hasbie berupaya mendorong dan mencambahkan idea pada kerajaan agar dasar-dasar sedia ada dikemaskini dan dibentuk dengan lebih berimpak dan relevan.
- Penuntut di Universiti Malaya dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu mempunyai buah fikir yang baik dalam setiap dasar yang kerajaan perkenalkan. Beliau mempunyai pengetahuan untuk mengulas dan menambah baik dasar yang kerajaan Perpaduan gagaskan. Ini peluang terbaik untuk Pemuda AMANAH mengangkat posisi Pemuda AMANAH itu sebagai sebuah organisasi pemikir dan keiilmuan yang membumikan nilai politik dasar kepada masyarakat. Medan politik hari ini telah memerangkap masyarakat dalam sentimen kebobrokan. Maka perlunya pemuda-pemuda yang punya keterampilan ilmu untuk mengekang amalan kebobrokan tersebut.
- Bagaimana nilai keilmuan atau politik dasar ini hendak disebarluasakan serta mampu mempengaruhi masyarakat? Disini Danial Al-Rashid Harun selaku Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional boleh memainkan peranan. Memadangkan Danial mempunyai nilai publisiti yang tinggi. Beliau diangkat kepada masyarakat setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Selangor. Beliau disedari keberadaannya atas faktor kejayaan beliau mengalahkan calon nasional, Rina Harun(bekas Menteri Persekutuan). Populariti beliau tinggi mungkin juga kerana beliau merupakan anak kepada seniman ternama Almarhum Harun Salim Bachik.
- Dengan adanya nilai publisiti itu, Danial mampu memperkenalkan idea-idea dasar yang diperkenalkan oleh Hasbie kepada masyarakat dengan lebih meluas. Kita sedar nilai kebobrokan itu berjaya mempengaruhi masyarakat akibat nilai publisiti yang tinggi. Maka keupayaan Danial yang mempunyai nilai populariti yang tinggi harus dimanfaatkan sehabis baik oleh Pemuda AMANAH. Dengan itu masyarakat akan mula merujuk Pemuda AMANAH sebagai badan yang memberikan idea dan pandangan terhadap pelbagai perihal.
- Ada banyak peranan yang Danial boleh mainkan termasuk penyusunan strategi politik Pemuda AMANAH memandangkan beliau mempunyai pasukan dan kemahiran yang terbukti sehingga memenangi DUN Batu Tiga Ogos tahun lalu. Tetapi peranan utama beliau memperlihatkan Pemuda AMANAH sebagai badan politik yang membawa naratif politik kependidikan yang mengangkat taraf hidup anak muda, yang memelihara citarasa anak muda serta mengukuhkan peranana anak muda dalam negara ini.
- Ini adalah cetusan idea penulis kepada era baru yang ingin Pemuda AMANAH bawa bagi penggal kali ini. Namun penulis percaya kepimpinan Pemuda AMANAH pastinya sudah mempunyai bahan dan perimeter mereka untuk memprojekkan imej Pemuda AMANAH. Penulis percaya era baru Pemuda AMANAH sudah pun bermula dan akan memacu tahap yang lebih baik jika aspek yang penulis kemukakan diawal tadi diatasi.
Cikgu Syazmir HN