SelangorToday

MEJA PENGARANG | CELARUNYA ARAH TUJU PAS MENUJU PRU KE-15 ???

PAS merupakan parti pembangkang yang paling lama dan berpangalaman menempuh siri Pilihan Raya Umum yang banyak. Meski pun pada tahun 70 an PAS pernah berada dalam kerajaan persekutuan dan menubuhkan Barisan Nasional, namun imej PAS dilihat lebih sebagai parti pembangkang yang paling bermaya mencabar UMNO/BN.  Kini, dengan cara merampas mandat rakyat dalam PRU lalu, PAS berjaya menjadi sebahagian kerajaan persekutuan dengan memikul 3 kementerian.

Momentum PAS dilihat sangat menjadi dan mampu bersinar apabila mula melakukan aksi bermadu kasih dengan seteru sekian lamanya UMNO pasca PRU ke-14. Bersandarkan masa depan Ummah dengan nama Muafakat Nasional, PAS dan UMNO menjadi parti pilihan sandaran orang melayu ketika itu. Sama ada tragedi yang dibuat mahupun secara kebetulan, sentimen melayu Islam memuncak dan sokongan kepada MN mampu menumbangkan PH jika diadakan Pilihan Raya Umum ketika itu.

Malang, igauan sebahagian pimpinan PH melihat Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri menyebabkan pimpinan PH ini khianat dan bekerjasama dengan PAS dan UMNO serta parti-parti Sarawak menubuhkan kerajaan baru tanpa Pilihan Raya. Mungkin dengan jasa dan langkah berani BERSATU membentuk kerajaan baru yang menobatkan 3 YB PAS sebagai menteri dan 5 YB PAS sebagai timbalan menteri menyebabkan kasih PAS pada UMNO beralih kepada BERSATU. Sejak saat itu, bibit perpecahan Ummah yang dipelopori oleh PAS dan UMNO semakin ketara.

Sehingga hari ini, PAS dan UMNO saling beraksi bahawa bukan merekalah yang mahu MN terkubur sebaliknya rakan mereka itu sendiri yang menguburkannya. PAS yang sebelum ini pernah keluar daripada Pakatan Rakyat melalui satu usul di muktamarnya, dilihat mahu berpegang teguh memasuki PRU atas nama MN, manakala UMNO melalui kenyataan terkini Presidennya Ahmad Zahid Hamidi seolah sudah tawar hati dengan PAS yang didakwa mengkhianati kepercayaan UMNO pada mereka.

Lebih jelas, muktamar PAS yang diadakan di Kedah tidak dihadiri langsung oleh pimpinan UMNO pelbagai peringkat meskipun didakwa oleh PAS telah menjemput UMNO. Sebaliknya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yassin pula yang hadir menjadi tetamu kehormat dalam acara tahunan PAS itu. PAS seolah-olah berada dipersimpangan untuk menentukan hala tuju mereka bagi memasuki pertempuran bapa segala PRU seperti yang dikatakan oleh Presiden PAS, Haji Abdul hadi Awang.

Kenyataan demi kenyataan celaru yang dikeluarkan oleh pimpinan PAS. Beberapa bulan yang lalu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyeru PH bersama PAS menumbangkan BN di Pahang, sebaliknya di Selangor, PAS bersedia satu lawan satu bersama BERSATU dan UMNO bagi menumbangkan PH. Ini satu seruan yang melihatkan PAS keliru atau mereka akan berpaut dengan apa sahaja dahan yang boleh menobatkan mereka sebagai kerajaan.

Walhal, setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan sekalipun , pelbagai sarana dan teguran yang PAS lakukan semasa menjadi pembangkang, gagal diterjemahkan dalam pentadbiran mereka. Malah nada mereka kembali menjadi halus dan tidak bermaya. Mengapa PAS bersungguh-sungguh mahu bertahan sebagai kerajaan sehingga dilihat sangat celaru???

Lebih menambah kecelaruan PAS lagi adalah PAS seboleh-bolehnya membuka ruang dan mengatakan PAS akan terus berunding bersama UMNO sehingga hari penamaan calon. Malah Mursyidul Am PAS sendiri dilihat mahu kerjasama diantara PAS dan UMNO diteruskan. Namun, dengan satu kenyataan oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohammad Hassan bahawa tiada rundingan yang sedang berjalan antara UMNO dan PAS telah memadamkan sebarang petanda baik bahawa UMNO dan PAS akan bekerjasama dalam PRU akan datang.

Mantra PAS yang didakwa mahu mengukuhkan perpaduan umat Islam dengan menjadi perantara kasih antara UMNO dan BERSATU dilihat semakin menemui kegagalan. Jelas PAS sedang mencari sebarang strategi dan hala tuju yang paling sesuai untuk mereka kekal di relevan dalam PRU akan datang. Adakah PAS sanggup melakukan aksi pusingan U demi mengekalkan posisi mereka sebagai kerajaan? Sama- sama kita lihat langkah PAS seterusnya.

Exit mobile version