SelangorToday

Meja Pengarang | Citra Parti AMANAH di Bumi Sabah

Parti AMANAH Negara atau dikenali sebagai AMANAH merupakan parti yang ditubuhkan oleh sebahagian bekas pimpinan PAS pada tahun 2015. Konflik dalaman yang gagal dikawal oleh teraju utama PAS ketika itu menyebabkan PAS berpecah dua sehingga AMANAH diwujudkan melalui Parti Pekerja Malaysia.

Dimana sahaja wujudnya PAS ketika itu, mengalami perpecahan termasuk di Sabah. PAS yang mula bertapak aktif di Sabah sekitar 90an dan terus mengukuh melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat mengalami surut politik ketara apabila sebahagian aktivis mereka menubuhkan AMANAH Sabah.

Sehingga AMANAH berusia 10 tahun September ini, peneraju AMANAH Sabah silih berganti sehinggalah Tuan Lahirul Latigu yang sedang memimpin hari ini. Pun begitu percubaan AMANAH yang pertama menyertai Pilihan Raya di Sabah adalah pada PRU 2018. Di Peringkat parlimen, AMANAH bertanding di Batu Sapi melalui Pengerusinya, Hamzah Abdullah, manakala di peringkat DUN, AMANAH bertanding di DUN Merotai melalui Arbaani Akum.

Menyertai gelombang kebangkitan rakyat pasca Covid-19, AMANAH diperuntukkan satu kerusi Parlimen di Sipitang yang Lahirul sebagai calonnya pada PRU 2022. Sebelum itu pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Shafie Apdal atas krisis politik di sana pada tahun 2020 membolehkan AMANAH bertanding kerusi baru yang diwujudkan iaitu DUN Tanjung Keramat melalui Rosdy Wasli.

Kesemua calon PH bersepakat melakukan kerjasama dengan parti dominan di Sabah iaitu Parti Warisan Sabah membolehkan calon AMANAH menggunakan logo WARISAN dalam PRN tersebut. Ke semua senarai kerusi yang ditandingi ini melibatkan 2 kerusi parlimen serta 3 DUN itu, AMANAH tewas. Melainkan kerusi DUN Tanjung Keramat(PRN 2020) yang AMANAH berjaya merapatkan undi dengan ketinggalan 1,37 undi sahaja dibelakang pemenang, kerusi lain AMANAH tewas dengan jumlah undi yang sangat besar. Faktor penggunaan logo serta pakatan politik yang kemas menjadi penentu jumlah undi yang diperoleh AMANAH. Walau bagaimanapun,menjelang tarikh akhir pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah Oktober ini, bagaimanakah nasib AMANAH kali ini. Berapa jumlah kerusi yang disediakan buat AMANAH dan berjayakah AMANAH melahirkan wakil rakyat sulungnya di Sabah.

Persoalan itu pastinya sedang dinilai dan dicatur baik pimpinan utama AMANAH Sabah dan Nasional. Namun tumpuan yang menarik untuk dilihat, bagaimanakah AMANAH boleh beraksi di Negeri Dibawah Bayu itu. Seperti yang diketahui umum, AMANAH berbeza dengan PAS yang pernah dianggotai dahulu. Dalam tulisan sebelum ini, tumpuan kepada melihat perbezaan antara USNO, PAS dan AMANAH. Sebaliknya, AMANAH yang wujud hari ini membawa nilai atau pendekatan yang tak dapat diterjemahkan dalam PAS satu ketika dahulu menyebabkan AMANAH tertubuh.

Gagasan Islam sebagai Rahmat Untuk Sekalian Alam menjadi tunjang pendekatan yang AMANAH bawa. Inilah citra yang membezakan AMANAH dengan PAS mahupun dengan parti-parti politik yang lain. AMANAH mengangkat citra Islam itu sendiri sebagai citra partinya. Justeru sesuaikah ia bertapak dan berkembang di Sabah? Sebenarnya jika dilihat akan beberapa pendekatan yang AMANAH amal dan hayatikan, kita akan mendapat jawapan.

AMANAH sentiasa membawa pendekatan sederhana dalam setiap gerak kerjanya. Sabah sebagai negeri yang mempunyai etnik dan kaum yang sangat pelbagai mestilah diadaptasi dengan dasar serta politik yang bergerak dengan penuh hikmah dan toleransi. Perjuangan AMANAH untuk memastikan syiar Islam diangkat tinggi bermula dengan kefahaman yang jelas kepada tuntutan itu kepada umat Islam. Ini secara tidak langsung memberi maklumat kepada golongan bukan Islam. Umat Islam yang jauh kepada syiar Islam boleh kembali kepada tuntutan Islam, manakala golongan bukan Islam akan memahami dan menghormati agama Islam. Ini corak yang telah lama diamalkan di Sabah. Suhu kaum dan agamanya sangat rendah, oleh itu AMANAH sesuai berada dalam arus ini berbanding parti lain yang menganuti kefahaman yang sempit,ekstrem dan jumud.

Islam juga bersifat inklusif atau terangkum. Begitulah AMANAH memilih keinklusiviti berbanding eksklusiviti. Keadaan Sabah yang unik punyai pelbagai etnik, kelas sosial dan perbezaan geografi meletakkan jurang yang besar antara masyarakat Sabah. AMANAH berpegang kepada pendekatan inklusif iaini setiap tindakan atau dasar mengambil kira semua pihak serta memberi manfaat untuk semua lapisan. Meskipun AMANAH membawa jalur Islam, ia tidak bermakna kelompok lain dikesampingkan hanya kerana ia bukan beragama Islam. Asalkan proses berjalan secara betul dan telus, mempunyai keupayaan dan kelayakan maka ia berhak menerima apa-apa usaha yang telah dilakukan baik Islam mahupun bukan Islam.

Boleh kita mengambil contoh daripada apa yang diusahakan oleh Presiden AMANAH itu sendiri selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia. Hj Mohamad Sabu melalui kementeriannya telah memperuntukkan RM33.6 juta buat Sabah khususnya melibatkan projek pembangunan agromakanan seperti pembinaan 23 pusat pengumpulan hasil tani, pembinaan kilang kopi dan pemulihan sawah padi terbiar dengan keluasan melebihi 500 hektar. Selain itu, melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM), Sabah menerima RM22 juta daripada agensi pimpinan Faiz Fadzil itu. Peruntukan ditumpukan untuk elaun nelayan, pembinaan jeti serta baik pulih rumah nelayan. Adakah peruntukan ini hanya dinikmati oleh orang Islam sahaja? Tidak. Ia dinikmati oleh semua kelompok yang layak. Atas nama kerajaan tetapi beraspirasikan pendekatan dalam parti, wakil-wakil AMANAH menyantuni rakyat sewajarnya.

Paling nyata, kerajaan MADANI mempunyai keazaman yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan Sabah baik dari sudut fizikal dan sosial. AMANAH pula parti yang meraikan kemajuan dan pembangunan seiring tertegaknya syiar Islam.Ia membuktikan AMANAH menolak kejumudan dalam kehidupan dan beragama. Justeru keberadaan AMANAH di Sabah boleh menjadi agen perubahan atau pemangkin pembangunan negeri Sabah. Pendekatan progresif yang AMANAH hayati membantu mempercepatkan kemajuan Sabah seiring dengan kehendak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Bagaimanakah pendekatan yang tersenarai di atas sesuai dengan corak kehidupan dan politik di Sabah benar-benar dilaksanakan atau ia hanyalah janji politik? Rujuk kepada akar utama yang mewujudkan AMANAH. Melalui nilai beramanah, pelopor parti AMANAH mempunyai tuntutan dalam melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas. Malah sikap yang semakin terhakis dikalangan ahli politik sejak AMANAH ditubuhkan satu ketika dahulu itu dipegang seerat mungkin dalam kepimpinan baik ketika melaksanakan dasar serta perjuangan menegakkan syiar Islam. Ia secara tersinggung memperlihatkan sikap AMANAH yang kekal berprinsip dan setiakawan. Ketidakstabilan politik pasca Langkah Sheraton membuktikan sikap itu kepada Parti AMANAH. Sikap ini yang diperlukan di Sabah setelah Sabah mengalami ketidakstabilan politik yang ketara. Beramanah, berprinsip serta setiakawan bakal mengharmonikan keadaan politik di Sabah.

AMANAH mempunyai citranya yang tersendiri diyakini sesuai dengan politik Sabah. Meskipun penganalisis politik seperti Musli Oli berpandangan sukar untuk AMANAH menembusi satu kerusi di Sabah, cabaran ini perlu dilihat secara positif melalui gerakkerja yang lebih rancak serta merakyat di Sabah. Peluang AMANAH memasuki usia satu dekad ini wajar dijadikan ruang untuk memacakkan panji AMANAH di Sabah. Baik kalah atau menang(hadiah ulang tahun penubuhan AMANAH 1 Dekad) AMANAH wajar berusaha sehingga ke titisan juang terakhir.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version