Percaya atau tidak, PPD yang paling menjulang dasar ‘government of the day’ lah PPD yang paling lambat dan daif pengurusannya.
- Dalam dunia pendidikan, selain isu kelemahan pelaksanaan PdPR, terkini isu jumlah guru yang ingin bersara awal bertambah dengan begitu besar. Menjadi perhatian umum apabila isu ini tersebar luas sama ada di media massa atau di media sosial. KPM seperti berhadapan isu-isu sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan mengkaji dan menilai punca sebenar masalah tersebut. Adakah guru-guru ini benar-benar sudah tidak berminat untuk menjadi guru? Adakah tekanan lain yang menyebabkan keputusan sesukar ini dilakukan oleh guru-guru? Jika murid menjadi punca mereka berundur, bukankah karenah murid-murid sudah menjadi risiko yang mereka perlu dihadapi setelah berikrar sebagai guru?
Sistem Masyarakat
- Persoalan-persoalan ini mendasar ke bibir masyarakat setelah isu guru bersara awal ditularkan. Namun penulis ada pandangan sendiri mengapa situasi ini berlaku. Bagi penulis, masyarakat sudah melihat guru berada pada kerjaya paling bawah sekali. Sistem masyarakat kita pada hari ini meletakkan sikap sangka buruk kepada guru walau apa yang terjadi. Buktinya ibubapa hari ini meletakkan satu standard layanan yang tinggi guru-guru perlu berikan kepada anak mereka. Umpama guru adalah tukang magic yang mampu mengubah anak-anak mereka dari mundur menjadi berjaya.
- Peralihan zaman telah mengubah standard ini, guru harus menghormati kehendak ibubapa selaku pelanggan mereka. Manakala anak-anak mereka yang dijaga dengan rapi agar mudharat tidak berlaku kepada anak mereka biarpun kebodohan, ketempangan ilmu dan kerosakan pemikiran akan berlaku kepada anak mereka. Elak dari menentang arus, guru mengolah pandangan mereka dari peka membangun sesebuah insan, berubah menjadi hanya menyampaikan maklumat sekadar ada kepada murid. Dengan gaya itu, guru tidak akan mewujudkan masalah dengan ibubapa. Inilah satu perhambaan yang berlaku kepada guru-guru demi menduduki standard masyarakat hari ini.
Sistem Pendidikan
- Beralih pula kepada sistem pendidikan yang menjadi gelanggang pertempuran guru-guru. Jika sistem masyarakat adalah aspek sokongan yang menekan para guru, sistem pendidikan pula tekanan dalaman yang dihadapi oleh guru-guru kita. Umum mengetahui 2022 masih ada berbaki dalam 20% lagi guru-guru yang masih mengajar di sekolah walaupun mereka sudah mula mengajar sejak tahun 80an. Ini fakta yang kita kena terima, guru-guru ini melihat sendiri ahli-ahli politik mempermainkan sistem pendidikan demi agenda mereka sejak 80an sehingga sekarang. Kebanyakan guru generasi itu, menyatakan bahawa tahun 80an merupakan tahun kepuasan mereka berkhidmat sebagai guru kerana ketika itu, guru hanya diminta mengajar dan memimpin anak murid. Masuk ke tahun 90an dan abad ke-20, ledakan penyusunan maklumat dalam bentuk fail telah mengucar-ngacirkan fokus guru. Persoalannya, apakah yang membantu murid menjadi cemerlang apabila ledakan fail perlu disediakan oleh setiap guru? Adakah guru dinilai mengajar apabila mereka berjaya menyediakan fail mereka berbanding membentuk kemenjadian murid? Disini jelas percanggahan dalam objektif pendidikan.
- Beralih pula masuk ke alam digitalisasi, kesemuanya berkehendakan teknologi. Kita faham tuntutan globalisasi menjadikan kita memerlukan teknologi. Namun kegagalan sang politikus yang memimpin KPM yang berubah ke satu zaman ke satu zaman tanpa menumpukan kepada latihan pengukuhan kepada guru yang menjadi aset utama perubahan pendidikan itu. Bagaimana pendidikan kita nak merasai perubahannya, jika guru yang menjadi pelaksana perubahan, tidak dilatih dengan baik? Guru yang mengajar dari 80an itu tadi mengalami 3 kali perubahan besar, dan beratus-ratus kali perubahan kecil, namun tiada satu pun perubahan itu berjaya membentuk kemenjadian pelajar. Maka guru hanya menjadi hamba kepada perubahan sistem separuh masak.
- Terkini guru-guru perlu mengisi dua kali borang dalam talian sebagai tanda mereka mengajar pada hari tersebut. Tugas mengisi borang dalam talian lebih mencabar berbanding mengajar. Oleh itu, apa fokus sebenar guru ikut kehendak KPM? Mengajar atau pengkeranian?
Politik PPD, JPN dan Sekolah
- Ini merupakan tekanan yang tidak kurang hebatnya kerana guru-guru kita berhadapan dengan tekananyang datangnya dari pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri. Setiap organisasi, pastinya ada permaianan politik. Itu lumrah. Namun politik dalam dunia pendidikan akan menatijahkan sesuatu kemunduran kepada pendidikan. Mainan politik PPD dan Jabatan yang pro kepada parti politik pemerintah menyebabkan sebahagian guru jadi tertekan. Mereka bukan pun menyokong parti anti-pemerintah, tetapi akibat sikap ampu PPD, Jabatan dan Pentadbir sekolah menyebabkan pendidikan dicatur mengikut kehendak politik. Percaya atau tidak, PPD yang paling menjulang dasar ‘government of the day’ lah PPD yang paling lambat dan daif pengurusannya. Itu politik negara, belum lagi lihat kepada politik pegawai atau pentadbir itu sendiri. Mana guru yang kerap menjamu makanan buat pentadbir, berkemungkinan dalam tempoh perkhidmatan boleh 3,4 kali menerima APC malah dinaikkan pangkat. Mana yang kerap mempersoalkan dan membantah, akan diisytiharkan musuk tegar mereka.
- Gaya kepimpinan juga mempengaruhi persembahan guru-guru kita. Yakinlah, bukan semua guru mampu memimpin, malah ada yang tidak boleh mengajar pun tetapi berjaya ditempatkan sebagai guru, inikan pula sebagai pemimpin? Apabila syarat mereka cukup untuk dinaikkan sebagai pentadbir, namun mereka tiada keupayaan terpaksa teruskan juga. Bila mula memimpin, mereka tak mampu mempengaruhi anak buah menjayakan idea mereka. Maka menjadi mangsa adalah guru yang mereka berjaya tundukan sahaja. Oleh itu, guru yang ditundukan itu sahaja dihimpit dengan pelbagai tugasan, manakala yang gagal dipujuk akan bebas tanpa sebarang beban. Bukankah itu satu ketidakadilan kerja?
- Oleh itu, ini faktor-faktor guru-guru dijadikan hamba dalam sistem yang bobrok. Dipusing ke A, guru kena, dipusing ke B guru tetap kena. Maka tidak mustahil guru-guru senior akan berpakat bersara awal. Bagi mereka sistem hari ini bukanlah sistem yang mampu mereka terokai. Bukan setakat guru senior, guru baru juga menerima tamparan, meski sistem baru lebih mesra dengan mereka, namun persepsi masyarakat pada kerjaya guru serta politik dalam pendidikan menyebabkan mereka teragak-agak. Akhirnya yang mampu adalah tukar ke sekolah yang lain dengan harapan mereka tidak jumpa lagi tekanan ini. Penulis faham, alasan karenah murid zaman ini juga turut menekan guru-guru, namun apakah peranan dan tanggungjawab KPM untuk menyelesaikan isu ini. Mengapa karenah itu menjadi-jadi? Mesti ada sebabnya. Justeru Senator Dato Dr. Radzi Jidin selaku Menteri Kanan Pendidikan bertindaklah bukan sekadar melihat. Antara populis dan mendidik, pak menteri perlu pilih mendidik berbanding populis.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN