Persoalannya, benarkah AMANAH memperjuangkan Islam? Apakah beza AMANAH dan PAS sehingga terbahagi kepada dua jemaah? Yang lebih penting adalah dimanakah Islamnya AMANAH untuk dipertontonkan kepada masyarakat.
- Meskipun mencecah usia 8 tahun pada 16 September 2023 ini, AMANAH merupakan parti junior dalam HARAPAN berbanding UPKO,DAP dan KEADILAN masih belum menjadi pilihan utama pengundi Melayu Islam. Adapun kemenangan calon-calon AMANAH dalam siri Pilihan Raya pasca Langkah Sheraton disebabkan beberapa faktor seperti kewibawaan calon, sokongan pengundi bukan melayu dan dan gelombang semasa. Amat tipis jika mahu mendapatkan jawapan pengundi memilih AMANAH kerana perjuangan Islam.
- Persoalannya, benarkah AMANAH memperjuangkan Islam? Apakah beza AMANAH dan PAS sehingga terbahagi kepada dua jemaah? Yang lebih penting adalah dimanakah Islamnya AMANAH untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Seperti tulisan penulis sebelum ini, mahu tidak mahu, AMANAH mesti menonjolkan keislamannya dari pelbagai sudut demi mendapat kepercayaan orang melayu Islam.
- Soal bagaimana imej AMANAH dibawa, ciri ahli dan pemimpin AMANAH serta dimanakah kedudukan agamawan dan ilmuwan dalam AMANAH telah penulis nukilkan dalam tulisan-tulisan penulis sebelum ini. Cuma kali ini, penulis yang bukan bertaraf agamawan mahu mempersembahkan kepada masyarakat dan memberi ulangkaji kepada penulis dan ahli-ahli AMANAH dimanakah nilai-nilai Islam yang dibawa oleh AMANAH.
- Mengapa AMANAH berhaluan berbeza daripada PAS, secara politik ia disebabkan oleh sebahagian pimpinan PAS mahu berseteru dengan DAP dan Pakatan Rakyat. Namun sebab yang lebih utama dan penting bagi AMANAH, mereka mahu melebarkan syiar Islam atas pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin, atau Islam Rahmat untuk sekalian alam. Benarkah Islam bergerak atas sifat itu, sering kali diucapkan oleh pimpinan AMANAH bahawa pendekatan ini seiring dengan pemilihan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman yang diturunkan buakn semata-mata untuk umat Islam, malah untuk umat sejagat melibatkan bukan Islam, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
- Dengan pendekatan itu, sifat RAHMAH menjadi tunjang atau asas pergerakan politik AMANAH di Malaysia. Ia menjadi pendekatan yang mampu mencapai kelangsungan Islam yang lebih segar dalam jangka masa panjang. Ertinya, melalui sifat RAHMAH AMANAH, Islam yang akan ditegakkan mampu dicapai dalam konteks Malaysia dan perlembagaannya. Buktinya bertahun-tahun perjuangan Islam berbentuk keras, namun masih tidak berjaya mendapat tempat dalam kepimpinan. Akhirnya impian menegakkan Islam menemui jalan buntu. Sebaliknya, pendekatan politik AMANAH lebih sederhana dan tenang bagi memungkinkan AMANAH mendapatkan sokongan pengundi melayu Islam dan bukan Islam seterusnya diberi tanggungjawab sebagai pentadbir. Maka dengan posisi itu, Islam boleh ditegakkan.
- AMANAH jelas berbeza dengan PAS walaupun matlamatnya tetap sama mahu menegakkan syiar Islam. Perbezaan yang lebih nyata, AMANAH bersifat moderat dan sederhana dalam memastikan matlamatnya tercapai berbanding PAS yang melangkah secara konservatif. Satu perbezaan yang nyata, dengan pendekatan Rahmatan Lil Alamin, AMANAH meraikan kepelbagaian.
- Perkaderan yang dilakukan oleh AMANAH kepada ahlinya menekankan kepada keseimbangan akhlak. Bagi AMANAH pembangunan secara holistik merangkumi akal, rohani, fizikal dan emosi menjadi keutamaan dalam melahirkan ahli AMANAH. Dengan cara itu, ahli AMANAH tidak mengikut secara melulu dan berlaku proses semak imbang atas segala tindakan kepimpinan politik AMANAH. Perjuangan Islam yang dibawa melalui pelbagai pendekatan yang dipilih oleh manusia, pemilihan manusia itu pastinya ada kekurangannya. Oleh demikian, semak imbang ini boleh menjadi penapis kepada pendekatan yang dibawa agar Islam yang sempurna itu sampai kepada masyarakat. Pendekatan dan kepimpinan yang ditegur, bukan Islam yang dikritik.
- Itulah AMANAH yang meraikan kepelbagaian demi mencapai mesej Islam yang sebenar. Apakah citra Islam yang terpahat dalam AMANAH. Antaranya pendekatan yang dibawa oleh AMANAH demi kelangsungan Islam adalah secara ansur-ansur. AMANAH tidak gopoh dalam melaksanakan sesuatu dasar tetapi gagal difahami baik buruknya oleh rakyat. Sebaiknya proses pendidikan sentiasa dijalankan agar rakyat benar-benar mengikuti sesuatu dasar atas faktor kesedaran dan bukannya paksaan. Ini bertepatan dengan sikap tabligh iaitu menyampaikan sehabis baik berbanding menghukum.
- Pendekatan yang dibawa oleh AMANAH demi Islam selari dengan pendekatan budaya nusantara. Kata pemikir Indonesia, Wali Songo melakukan strateginya untuk mengislamikan masyarakat mereka. Pertama secara bertahap, Islam dibawa dengan pendekatan satu persatu jauh sekali dengan cara mendadak. Ia bagi memastikan Islam itu diterima sepenuhnya dengan kefahaman dan kerelaan yang jelas. Kedua, tidak menyakiti. Islam akan tertegak tanpa sebarang paksaan malah budaya masing-masing yang pelbagai dikekalkan. Akhirnya, pendekatan yang sederhana sama dibawa oleh AMANAH dilakukan oleh wali di nusantara bagi memastikan Islam diperkasakan.
- Inilah citra Islam yang dibawa oleh AMANAH. Malah selama 22 bulan Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid dipilih sebagai pentadbir Islam era Kerajaaan Pakatan Harapan membuktikan AMANAH mampu memperkasakan Islam. Pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin menjadi kerangka besar pentadbiran Islam yang diperkenan oleh Raja-Raja Melayu. Gaya berfikir melalui Maqasid Syariah benar-benar membuka mata rakyat tentang pandangan mereka terhadap cara Islam bergerak. Akhirnya melalui Fiqh Malaysia, AMANAH membuktikan Islam akan terus tertegak meskipun adanya Perlembagaan Malaysia, ada kehidupan majmuk pelbagai kaum dan pasak demokrasi yang menjadi tiang pembentukan Malaysia.
- Sempena ulang tahun kelapan Parti Amanah Negara, penulis mengharapkan kedudukan AMANAH dalam Kerajaan Perpaduan akan memperhebatkan usaha AMANAH mencerdikkan rakyat tentang Islam dan ketamadunan Islam. Bukan sahaja ia dapat menambah sokongan pengundi Islam pada AMANAH malah ia mampu membentuk masyarakat madani sebagai yang dicita-citakan oleh AMANAH.
Cikgu Syazmir HN