- Sedar bahawa pelantikan Anwar Ibrahim sebagai PM10 memberi sinar yang begitu cerah buat rakyat Malaysia, malah sebulan pertama keberadaan beliau di Seri Perdana sering menjadi perhatian umum dalam dan luar negara. Namun, apabila jemaah menteri diumumkan, rakyat menjadi kembali bingung dan risau akan kedudukan Anwar Ibrahim, barangkali rakyat melihat kegagalan menteri lantikan beliau akan memberi kesan buruk pada reputasi Anwar itu sendiri.
- Bagi Fadhlina Sidek yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen serta pertama kali memikul amanah sebagai Ketua Wanita KEADILAN, tugas sebagai menteri pendidikan menjadi untung nasib beliau dalam arena politik.
- Hal ini kerana episod pertama politik beliau mula dicatat sebagai menteri pendidikan bukannya jawatan sebelum ini sebagai ahli Dewan Negara(P.Pinang) dan Biro Guaman Wanita KEADILAN. Jika beliau besara dalam politik 40 tahun lagi, sejarah beliau menyertai KEADILAN dan dipilih sebagai ahli Dewan Negara menjadi episod kecil dalam biografi beliau, tetapi episod beliau menjadi Menteri Pendidikan akan tercatat sebagai episod utama.
- Selain itu juga, harus difahami bahawa posisi sebagai Menteri Pendidikan bukanlah kepalang, ia posisi yang mempunyai nilai tersendiri, aura serta kewibawaannya apabila seorang politikus berada di kerusi tersebut.
- Bagi UMNO, kerusi Menteri Pendidikan merupakan salah satu posisi idaman mereka termasuk Menteri Kewangan. Bukan hanya faktor kewangan, namun posisi tersebut menjadi posisi yang boleh memasarkan imej politikus itu secara tak langsung.
- Bayangkan sampai satu ketika dahulu, pemerhati politik (juga terikut oleh politikus UMNO) berpendapat, jika mahu menjadi Perdana Menteri, maka perlu duduk sebagai Menteri Pendidikan dahulu. Itu syarat menjadi PM kelak. Ertinya, posisi menteri pendidikan bukan untuk politik yang berkarisma semata-mata, namun politikus yang berada diposisi itu akan membentuk karisma mereka dek tugas yang mencabar di KPM.
- Faktor lain adalah, menteri pendidikan yang memimpin sektor pendidikan mengusai peratusan terbesar dari segi peruntukan bajet negara, ia juga memimpin golongan penjawat awam teramai iaitu guru serta urusannya melibatkan generasi sejak kanak-kanak sehinggalah menjadi belia bawah 21 tahun.
- Peranan ini menunjukkan bahawa Menteri Pendidikan itu mempunyai tanggungjawab yang besar mencorak kedudukan kewangan negara yang berupaya memberi impak kepada pendidikan. Ia juga menjadi pemimpin kepada guru yang dianggap arkitek pembangunan negara. berjaya menteri memimpin KPM, maka guru-guru ini akan menyokong dan mendorong anak-anak murid menyokong menteri tersebut. Ia juga diberi peluang mencorak masa depan negara yang dibentuk sekarang oleh generasi bawah 21 tahun. Baik buruk negara ini, salah satunya ditentukan oleh menteri pendidikan.
- Nama-nama yang pernah duduk di kerusi menteri pendidikan bukannya politikus biasa, mereka menjadi nama besar selepas memikul amanah tersebut. Antaranya Tun Abd Razak, Rahman Talib, Tun Mahathir, Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Anwar Ibrahim, Sulaiman Daud serta Mazslee Malik.
- Oleh itu penulis berharap agar peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Fadhlina memandangkan inilah ruang utama beliau boleh menunjukkan kewibawaannya. Sampai masa beliau memanfaatkan ruang ini bagi memperoleh ‘kemenangan politik’ sedang nama beliau sepatutnya perlu meniti dibibir guru, murid dan ibubapa. Meski angin mampu membawa Fadhlina kepuncak wibawa dalam KPM, namun beliau sendiri harus memparkan usaha dan daya beliau duduk dipuncak kewibawaan KPM. Politik adalah perang persepsi, jangan terlepas peluang.
- Masa untuk meninjau keadaan akar umbi boleh diteruskn, namun dalam masa yang sama, KPM perlulah mengumumkan langkah awal mahupun inisiatif awal yang memberikan impak kepada kedudukan sistem pendidikan negara. Bagaimana Antony Loke, Hannah Yeoh dan Mohamad Sabu mengumumkan pelbagai inisiatif awal yang memperlihatkan keprihatinan mereka kepada rakyat, maka Fadhlina juga perlu melakukan sedemikian. Ingat, buat rakyat sayang akan kerajaan ini.
- Ada banyak isu kritikal dalam pendidikan yang boleh dijadikan asas pembentukan inisiatif awal beliau, daripada isu PBS-UPSR/PT3, moratorium sewa kantin, pengambilan guru one-off, serta pemerkasaan sekolah-sekolah TVET boleh dijadikan sandaran isu beliau.
- Sepatutnya kini, Fadhlina dan pasukannya telah mengumumkan senarai inisiatif yang telah dilakukan selama sebulan memimpin KPM. Ada berapa sekolah daif telah dibaiki? Berapa jumlah guru one-off yang telah selesai menjalani kursus induksi sebagai guru? Apa langkah bagi mengatasi kekangan yang wujud untuk melaksanakan PBS? Ini semua jawapan yang boleh dijawab oleh Fadhlina serta pasukannya, dengan itu keprihatinan dan kewibawaan menteri pendidikan kerajaan perpaduan terselah. Pasukan media Fadhlina juga perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mendahului sentimen kerajaan memandangkan ramai guru merupakan penyokong jelas PN.
- Dulu semasa PH pembangkang, ada banyak teguran yang kita sampaikan kepada Radzi Jidin selama 2/3 tahun beliau memimpin KPM. Ternyata ia berimpak malah PH menjadi salah satu pihak semak imbang perjalanan KPM.
- Usah takut di tohmah dan di ‘troll’ apabila mengeluarkan kenyataan, sedang ketika menteri dan timbalan menteri pendidikan senyap, ia memberikan lebih banyak ruang fitnah dan penipuaan orang awam kepada prestasi anda. Biarlah anda dibahan sekali-sekala, yang penting anda dilihat sedang berusaha untuk meringankan masalah rakyat melalui sistem pendidikan.
- Saya sendiri mengharapkan ruang kebebasan memimpin Fadhlina dalam KPM akan menatijahkan satu impak besar dalam sistem pendidikan dengan syarat, aspirasi pendidikan yang dibawa oleh PH sejak semasa pembangkang perlu diambil kira dan bersedia mendengar semua pandangan.
- Tidak sabar mahu mendengar pandangan umum bahawa Fadhlina adalah menteri wanita pertama menjadi pendidikan dan berjaya membina sistem pendidikan yang berkualiti buat Malaysia. Insya Allah
Cikgu Syazmir HN