Cetusan pengarang dalam melihat kepentingan nilai Karamah Insaniah diutamakan dalam Sistem Pendidikan Negara dan pandangan pengarang bagaimana usaha tersebut perlu berjalan dan memberi kejayaan kepada pembangunan negara
- Seiring dengan perubahan kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh pelbagai part-parti politik di Malaysia, kesemua aspek pembangunan negara dijana semula melalui dasar baharu yang diperkenalkan termasuk Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara(NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
- Tidak ketinggalan bidang pendidikan memandangkan bidang tersebut akan menerajui aspek pembangunan generasi Malaysia akan datang. Maka Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan proses libat urus antara semua pemegang taruh dalam pendidikan dimulakan tahun 2024 untuk membentuk sebuah kurikulum baharu pada tahun 2027.
- Selain kewujudan kerajaan perpaduan yang menerajui kestabilan politik dan pemacuan pembangunan negara, antara sebab mengapa kurikulum baharu itu wajar diperkenalkan adalah kerana Malaysia berada dipersimpangan antara mengekalkan sistem penilaian berpusat seperti UPSR dan PMR ataupun bergerak kepada sistem penilaian berasaskan perkembangan keseluruhan murid(Pentaksiran Berasaskan Sekolah) yang telah pun diadakan secara tergesa-gesa pada tahun 2020.
- Maka dalam kurikulum yang bakal dibentuk nanti pastinya perkara yang sudah tidak relevan lagi dalam sistem penilaian berpusat dan kelemahan aspek pelaksanaan sistem penilaian berasaskan sekolah akan akan diisi dan diatasi.
- Namun perkara yang lebih besar dalam kurikulum baharu nanti adalah penekanan kepada aspek ‘karamah insaniah’ atau pun pembinaan sahsiah murid. Aspek ini terkandung dalam 7 teras Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) yang diumumkan beberapa bulan selepas Fadhlina memimpin KPM.
- Atas kapasiti latar belakang beliau sebagai pengamal undang-undang syariah dan pembangunan keluarga, beliau sedar akan pentingnya pembangunan sahsiah murid kepada negara, malah ia mampu menyelesaikan pelbagai masalah lain seperti jenayah, keruntuhan rumah tangga dan pecah amanah dalam kerjaya.
- Malaysia MADANI sebagai gagasan utama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga menekankan soal ‘Ihsan’ dalam pembangunan negara yang amat terkait dengan pembinaan sahsiah murid. Perihal sahsiah diri yang jelas dan tepat dibangunkan mampu menjentik sanubari dengan nilah ihsan dan rahmah. Ia menjadi pelengkap kepada dua unsur yang membentuk seorang manusia yang seimbang antara budi dan jiwa. Sesuailah misi yang diperkenalkan oleh ahli parlimen Nibong Tebal itu dengan gagasan Anwar Ibrahim.
- Sedar atau tidak satu istilah yang mula mengisi kepimpinan negara mahupun pengkaji setempat yang boleh menjadi salah satu arah tuju kepimpinan dan kajian. Ia disebut sebagai ‘pasca-normal’. Istilah ini masih berada pada tahap sederhana, namun telah mula dikenalkan pasti oleh kerajaan sebagai perkara yang perlu diambil perhatian.
- Zaman pasca-normal merupakan zaman serba kecelaruan, rumit dan mencabar untuk dihadapi. Atas faktor perubahan yang berlaku semakin pantas, kecakupan semakin luas, skala terkesan semakin mengakar ke akar umbi dan terlaksana secara serentak akan membentuk sebuah perubahan yang tidak terfikir dek akal dan penuh mencabar.
- Ia juga akan dihadapi oleh generasi masa depan termasuk pendidikan. Memang seharusnya pendidikan negara perlu berubah segera sekurang-kurangnya kita mampu bersedia untuk menghadapi zaman pasca-normal dengan kekuatan 50%.
- Kegagalan sistem pendidikan untuk menerapakan nilai karamah insaniah dalam aspek pendigitalan, dan kecerdasan buatan bukan sahaja akan meminggirkan rakyat Malaysia dalam pasaran pekerjaaan mendatang malah menghambat penyalahgunaan teknologi baru yang akan meruntuhkan moral dan negara.
- Bergerak kepada bagaimana aspek ‘karamah insaniah’ ini boleh diangkat dalam pendidikan negara agar kesemua alasan penulis tadi boleh ditangani, terdapat dua penekanan. Satu penekanan dalaman dan satu lagi penekanakan luaran.
- Bagi penekanan dalaman, semestinya elemen yang membentuk pendidikan wajar dijadikan batu asas perubahan tersebut. Memandangkan medan utama pembentukan seorang murid bergantung antaranya kepada guru, sistem dan sokongan.
- ‘Karamah Insaniah’ bukan satu teori pendidikan seperti matematik atau sains, ia adalah satu ilmu sosial yang dikembangkan melalui proses pembelajaran secara teori dan praktikal. Oleh itu seorang guru yang berperanan menjadi ‘role model’ kepada muridnya, seharusnya mempunyai keterampilan dan wibawa sebagai seorang pembimbing sahsiah murid. Kerana manusia itu akan mengikut apa yang dilihat berbanding apa yang didengari.
- Semestinya kelestarian dan kesejahteraan bakal guru dan guru menjadi keutamaan supaya mereka lebih berperanan dalam membangun sahsiah murid. Bebanan tugas guru yang tidak mempunyai kaitan dengan perkembangan murid wajar dimansuhkan atau dipermudahkan. Sukatan pelajaran yang dibina mestilah mempunyai hujah yang relevan diajar kepada murid dan bukan hanya mengikut zaman dan adat tanpa sebarang kesan kepada murid. Latihan dan kemahiran kepada guru perlu diperkasakan sama ada melalui pedagogi dalam kelas, aktiviti luar bilik darjah serta interaksi santai kerana pendidikan negara telah pun berubah daripada penekanan soal teori akademik 100% kepada pembangunan diri yang berteraskan praktikal, keyakinan diri dan kefahaman.
- Asasnya kini memang terbukti, masalah disiplin murid-murid gagal ditangani oleh guru sekolah akibat tumpuan guru lebih kepada menyelesaikan bebanan tugas mereka yang berekod berbanding membentuk dispilin murid. Ada guru yang luhur terus membantu, namun ia tidak mampu bergerak seorang selamanya selagi ia tidak disokong dan dibantu oleh rakan sekerja dan pentadbir mereka.
- Sistem pendidikan seperti aspek penilaian dan perjalanan murid di sekolah sehingga tamat belajar mestilah menjadi pengikat kepada mereka untuk dibetulkan mahupun memperbetulkan diri mereka. Minat murid ke sekolah sangat merosot wajar dijadikan pertimbangan agar mereka kembali ke sekolah. Penekanan sistem juga mestilah mengambil kira keutamaan kepada pembangunan diri yang berteraskan praktikal, keyakinan diri dan kefahaman, selain soal teori akademik. Semua arah pendidikan mestilah disandarkan kepada pembangunan diri termasuk visi dan misi pihak pentadbir sekolah, PPD DAN JPN.
- Manakala untuk penekanan luaran pula, kurikulum yang bakal dilaksanakan tahun 2027 dalam menekankan soal ‘karamah insaniah’ tidak boleh termaktub hanya kepada pelancaran dan pelaksanaan sebuah kurikulum baharu semata-mata, namun ia mesti menjadi agenda utama nasional yang melibatkan semua agensi kerajaan yang ada.
- Seperti Ekonomi Madani sebagai gagasan utama negara, kurikulum 2027 juga mesti menjadi game-changer utama kerajaan meliputi semua kementerian dengan KPM sebagai peneraju kementerian. Hal ini disebabkan oleh, mengakarkan nilai ‘karamah insaniah’ dalam diri murid tidak tertakluk hanya dalam pagar sekolah sahaja, lebih utama pendedahan yang murid terima sejak mereka lahir akan melakar imej mereka.
- Dengan kecelaruan sebuah keluarga, mampukah seorang murid menjadi lebih cemerlang meskipun guru-guru telah membentuknya? Ini peranan Kementerian Pembangunan Keluarga. Bolehkah seorang guru memastikan muridnya tidak menonton sebarang bahan siaran yan mendorong keganasan, kebencian dan pornografi selepas murid melepasi kawasan sekolah? Ini peranan Kementerian Komunikasi. Mampukah guru melarang pihak peniaga menjual bahan tembakau kepada muridnya? Ini peranan Kementerian Kesihatan.
- Berjayakah seorang pentadbir sekolah melarang muridnya menaiki motorsikal tanpa lesen diluar kawasan sekolah yang jelas melanggar undang-undang? Ini tugas Kementerian Pengangkutan. Berupayakah kaunselor sekolah membantu murid untuk hadir ke sekolah sedangkan muridnya perlu bekerja menyara keluarga yang miskin? Ini tanggungjawab Kementerian Ekonomi. Kesemua situasi ini membuktikan bahawa membina sahsiah murid tidak mungkin boleh dilaksanakan hanya dibawah KPM sahaja.
- Lebih utama adalah kerjasama semua agensi seperti yang ditekankan oleh Pejabat Perdana Menteri ketika mengumumkan Program Permukiman Jemaah Menteri kali ke-2 pada 17 dan 18 Januari 2024. PM mahu jemaah menteri bergerak sebagai sebuah kumpulan yang bersama dan dipertanggungjawabkan bersama untuk menjayakan misi negara. ‘Whole of Government’ dan ‘Whole Of Nation’ dalam Jemaah Menteri.
- Kesedaran masyarakat juga harus disemai bahawa kerajaan sedang melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan soal sahsiah murid, maka kerjasama pemimpin komuniti, keluarga dan organisasi lain untuk membantu menjayakan agenda ini. Pendidikan hari ini digambarkan hanya berada di dalam ruang sekolah sahaja, kerana sikap masyarakat yang sudah tidak berani lagi menjadi mata-mata dan penegur generasi muda. Kesannya masalah sahsiah lebih terserlah di luar sekolah berbanding di dalam sekolah.
- Namun jika semua bersatu hati mambantu KPM mengangkat nilai ‘karamah insaniah’ genarasi muda dengan masyarakat sendiri menjadi ‘role model’ dan penegur, ia akan memudahkan agenda ini dicapai. Usaha KPM sangat baik dan murni, namun biarkan ia dilaksanakan dengan sehabis baik dan benar-benar memberi kesan positif pelaksanaanya.
Cikgu Syazmir HN