Sejak usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan UMNO Jun 2023 ini, tumpuan penganalisis politik tertumpu kepada pertarungan jawatan Naib Presiden UMNO.
Kehangatan semakin dirasakan apabila Khaled Nordin selaku penyandang jawatan no.3 UMNO itu akan mempertahankan jawatan tersebut, manakala bekas Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad yang mendakwa bahawa kepimpinan UMNO membuli beliau, akan mencabar kedudukan Naib Presiden UMNO. Selain Ismail Sabri dan Mahdhir Khalid masih berteka-teki untuk meneruskan pertarungan atau berundur.
Selain jawatan Naib Presiden UMNO yang bakal menjadi faktor kesepaduan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO juga berada pada tahap yang kritikal. Kem yang terbentuk antara UMNO yang mesra PN dan UMNO yang bersatu hati dengan Kerajaan Perpaduan bakal bertembung dalam pemilihan kali ini.
Pastinya proksi masing-masing akan ditempatkan dalam kepimpinan sayap UMNO demi memastikan arah tuju UMNO ditentukan dalam pemilihan kali ini.
Bagi Wanita UMNO yang dahulunya menjadi nadi kaum ibu bangsa melayu, pemilihan kali ini menjadi medan untuk menukar kepimpinan Noraini Ahmad yang dikatakan mesra kepada kerajaan PN sebelum ini. Meskipun Noraini tidak bersuara dan tidak terlibat dalam menandatangani surat menyokong Mahiaddin sebagai Perdana Menteri pasca PRU15, namun sejak usaha menyingkirkan tokoh-tokoh pro-PN dalam UMNO beberapa bulan yang lalu seperti KJ, Noh Omar dan Hishamuddin berlaku, tekad kepimpinan UMNO hari ini benar-benar mahu melihat sesiap sahaja yang pernah terlibat dengan kerajaan PN sebelum PRU15 lalu harus dilenyapkan dalam kepimpinan UMNO.
Noraini yang sebelum ini merupakan Menteri Pengajian Tinggi masih berteka-teki sama ada mahu mempertahankan jawatan ataupun berundur, sedang beliau masih ahli parlimen Parit Sulong. Sehingga tulisan ini dicatat, Noraini masih belum memberi sebarang komen terkait kedudukan dalam pemilihan nanti.
Sebaliknya, secara tiba-tiba beberapa kepimpinan Wanita UMNO bahagian dan Negeri mengeluarkan kenyataan menafikan adanya gerakan untuk meminta Noraini berundur daripada jawatan keramat itu. Masakan secara tiba-tiba sahaja cerita mempertahankan Noraini dikeluarkan jika tidak ada usaha daripada pihak tertentu untuk meminta Noraini berundur.
Ini membuktikan bahawa adanya gerakan secara tersembunyi untuk menyingkirkan Noraini dalam pemilihan UMNO yang paling penting bagi Kerajaan Perpaduan.
Persoalannya, jika Noraini mempertahankan jawatan sekalipun, pastikah beliau akan menang tanpa bertanding ataupun ada pencabar yang akan menggoyahkan kedudukan beliau?
Jika mengikut arus UMNO arus perdana, pastinya Noraini akan dicabar. Dengan sebab beliau pernah berada dalam kabinet Ismail dan Mahiaddin, memungkin kedudukan beliau berada dihujung tanduk.
Bagi menteri yang berkaliber dan berkarisma seperti Azlina Othman, antara tokoh yang sesuai diamanakah sebagai Ketua Wanita UMNO. Azlina mempunyai syarat lengkap untuk berada dikerusi tersebut memandangkan kepimpinannya pernah diuji dalam Puteri UMNO dan semasa UMNO menjadi pembangkang, manakala kedudukan beliau sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Intsitusi serta Ahli Parlimen Pengerang melayakkan beliau.
Jika beliau menjadi Ketua Wanita UMNO, Perdana Menteri tidak perlu melakukan rombakan kabinet sedang Azlina memang berada dibawah kabinet PM10 dan secara tak langsung, suara Wanita UMNO terus berkumandang dalam Kabinet ini.
Benar, Azlina lebih cenderung untuk mencabar tiga kerusi Naib Presiden, tetapi persaingannya sengit melibatkan pemimpin lelaki. Sebaliknya Azlina boleh berada pada kedudukan Naib Presiden daripada kouta Wanita UMNO memandangkan Ketua Wanita UMNO setaraf Naib Presiden UMNO.
Umum mengetahui hajat Azlina menyertai kepimpinan Wanita UMNO sejak 2004 lagi. Namun selepas tamat khidmat sebagai Ketua Puteri UMNO, keinginan beliau itu dipandang sepi oleh kepimpinan Wanita UMNO seperti Rafidah Aziz dan Shahrizat Jalil.
Oleh itu, hajat Azlina itu boleh dijadikan semula dalam keadaan sekarang yang pastinya memaksa Azlina bertanding salah satu jawatan utama dalam Kepimpinan UMNO demi kesepaduan Kerajaan Perpaduan.
Bagi Noraini pula, penilaian yang paling kritikal perlu dilakukan oleh beliau dan pasukan penasihatnya sama ada berundur atau bertahan sebagai Ketua Wanita UMNO kerana selain kedudukan UMNO yang kritikal, kedudukan Noraini juga sama kritikal.