SelangorToday

MEJA PENGARANG | KITA MEMBACA, NEGARA MERDEKA YANG HAKIKI

Sambutan Hari Kemerdekaan Tahun 2022 menjadi lebih bermakna dan menarik setelah 2 tahun negara tidak dapat menyambutnya secara besar-besaran akibat pandemik Covid-19. Tiap-tiap tahun juga setiap kali menjelang bulan Ogos, masyarakat umum akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda meraikan kemerdekaan tersebut. Setiap tahun juga, penulis-penulis ilmiah akan membicarakan perihal pengertian kemerdekaan meskipun sudah 67 tahun kita merdeka.

Hakikatnya adakah negara kita sudah mengecapi kemerdekaan sebenar? Atau kita masih dijajah daripada aspek yang pelbagai sehingga kita tetap membahaskan isu kemerdekaan berulang-ulang kali. Gagalkan Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan sukatan yang relevan untuk membuktikan pengertian kemerdekaan kepada generasi baru serta pengisian yang perlu oleh generasi baru bagi memastikan negara menikmati kemerdekaan sebenar. Bagi penulis, selagi kita berbicara soal pengertian sebenar kemerdekaan dan bagaimana mahu mengisi kemerdekaan tersebut, bererti kita masih gagal menikmati kemerdekaan negara yang hakiki.

Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang mampu membawa negara mereka sendiri kita satu tahap yang lebih baik dengan corak mereka sendiri. Selagi kita bersandar kepada corak orang asing kononnya demi menjadi setaraf mereka dipersada antarabangsa, sebenarnya kita masih dijajah. Tun Dr. Mahathir pernah mengimpikan negara ini mempunyai rakyat yang menjadi pencipta kepada alat pengguna, bukan hanya sekadar menjadi pengguna. Namun sehingga tahun wawasan yang disasarkan oleh Tun Dr. Mahathir telah pun pergi, kita masih duduk sebagai pengguna biasa. Pastinya bila kita hidup sebagai pengguna, kita masih terikat ataupun bergantung kepada orang luar. Merdekakah kita?

Penulis sebenarnya mahu menyatakan impian penulis tentang apa yang perlu kita ubah dan jana daripada sekarang untuk memastikan pada masa akan datang kita benar-benar merdeka. Budaya ilmu sering berjauhan dengan masyarakat umum. Sehinggakan hujah mahupun pendapat ilmuwan sering diabaikan sama ada golongan elit mahupun rakyat marhaen. Maka penulis melihat, amalan membaca yang perlu digerakkan secara besar-besaran dan bersepadu mampu mengeluarkan negara kita daripada kebergantgungan orang asing, membina negara dengan corak kita sendiri serta mengangkat kedudukan ilmu pada tempatnya.

Hari ini kita melihat, anak-anak muda membaca di laman sosial sahaja, malah buku dibaca apabila menjadi keperluan sebelum peperiksaan dan rujukan pantas ketika diberi tugasan. Ia seolah-oleh satu paksaan, sedangkan ia perlu menjadi amalan buat kita, ia perlu menjadi satu rutin wajib kita semua. Dengan amalan membaca yang lebih mesar dan dekat dihati masyarakat, kita sedang membentuk masyarakat yang bermaklumat dengan maklumat yang sahih, menelurkan budaya berfikir secara mendalam akan sesuatu fakta dan lebih penting, masyarakat kita meletakkan ilmu dihadapan berbanding sentimen lain.

Bukankah dengan segala kesan baik yang penulis katakan tadi, ia mampu memecahkan tembok perkauman yang sentiasa menghantui kita meski telah pun lama hidup bersama? Dengan meletakkan ilmu iaitu fakta serta hujahan didepan, kita berjaya duduk bersama tanpa ada sebarang sangka buruk kepada kaum lain. Bukankah dengan amalan membaca, pemikiran kritikal yang dibentuk mampu memacu negara yang lebih kehadapan dengan corak kita sendiri? Dengan sendirinya kita mampu menjadi pengeluar berbanding pengguna. Itu yang kita mahukan? Dan bukankah dengan berjaya menentukan fakta yang sahih atau palsu dengan banyaknya membaca, kita mampu memilih kepimpinan yang benar-benar ikhlas dan beridealisme untuk memimpin negara? Tidak sesekali tunduk kepada pemerintah yang terang-terangan merosakkan negara.

Kata guru penulis satu ketika dahulu, jika ingin berubah kearah kebaikan, buat sedikit demi sedikit atau kecilan demi kecilan, yang penting konsistensi atau istiqamah. Oleh itu, penulis lihat amalan membaca yang perlu disuburkan pada setiap segmen masyarakat adalah usaha yang paling ringan untuk kita memaknai kemerdekaan pada masa depan. Kecil namun kesanya besar.

Penulis mengharapkan, sambutan kemerdekaan kalin ini, mampu menjadi titik perubahan kepada diri kita semua khususnya pemerintah, pihak swasta, pemimpin pendidikan dan masyarakat untuk mengangkat amalan membaca sebagai usaha terbesar kearah kemerdekaan yang lebih hakiki.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version