Ketua Jentera Komunikasi parti komponen HARAPAN. Khalid Samad(AMANAH), Fahmi Fadzil(KEADILAN), Teo Nie Ching(DAP), Peter Jr. Naintin(UPKO).
- Perjalanan Kerajaan Perpaduan setelah melepasi tahun 2023 dianggap kukuh dan stabil menuju berakhirnya penggal ke-15. Desakan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan dari hari ke hari menemui kegagalan menyerlahkan pengukuhan kuasa kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Namun setelah kerajaan dijangka kekal sehingga PRU ke-16, tumpuan sekarang adalah meletakkan kesiapsiagaan semua parti dalam kerajaan perpaduan untuk membenam pembangkang dalam pertempuran akan datang selain memperkasakan dasar-dasar kerajaan.
- Perlu diakui bahawa kerajaan perpaduan digabungkan atas faktor tiada sebuah gabungan yang mempunyai jumlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. HARAPAN yang mendahului gabungan lain dalam PRU lalu bekerjasama dengan BN khususnya UMNO dan GPS dan GRS serta WARISAN membentuk kerajaan persekutuan berteraskan sikap mahu kestabilan negara, perkembangan ekonomi dan ketenangan politik.
- Siapakah yang boleh memberikan jaminan bahawa keputusan PRU akan datang lebih baik dari sekarang ataupun ia tetap sama seperti penggal kali ini? Bererti adakah kerajaan perpaduan berkeyakinan dengan keterserlahan kepimpinan kerajaan semata-mata mampu menambah sokongan pengundi kepada kerajaan? Atau parti-parti dalam kerajaan perpaduan sepatutnya memperkukuhkan aspirasi mereka kepada rakyat melalui jentera parti mereka sendiri. Bagi penulis, kejayaan kedua-dua segmen tadi harus dicapai oleh kerajaan perpaduan agar PRU akan datang kerajaan perpaduan lebih mendahului sokongan rakyat Malaysia.
- Hampir semua kepimpinan kerajaan perpaduan termasuk Mohamad Sabu dan Johari Ghani mengesahkan bahawa hasil kestabilan dan usaha kerajaan perpaduan di mulai tahun 2022 akan dirasai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini bermaksud, kerajaan perpaduan perlu diberi mandat memerintah sekurang-kurangnya 2 penggal. Adalah menjadi tanggungjawab semua parti khususnya gabungan HARAPAN untuk memperkasakan jentera mereka bagi melonjakkan kembali sokongan rakyat kepada mereka memandangkan mereka adalah parti pemerintah.
- Tunjang utama kerajaan perpaduan iaitu HARAPAN mesti menjadi contoh kepada parti lain agar semua parti berada dalam keadaan sedia dan padu untuk bertempur dalam PRU akan datang bagi mebolehkan mereka diobatkan sebagai pemerintah buat penggal kedua. HARAPAN perlu menambah sokongan yang mereka yang gagal diraih atau hilang dalam PRU lalu khususnya pengundi melayu. Kerusi-kerusi yang pernah dimenangi oleh HARAPAN khususnya KEADILAN dan AMANAH satu ketika dahulu mesti diambil semula dengan memperkasakan jentera komunikasi agar imej HARAPAN kekal dalam ingatan dan pilihan rakyat.
- Berbeza dengan UMNO-BN, mereka mempunyai jenteri komunikasi yang sistematik, jelas dan berkesan atas faktor mereka mempunyai pengalaman yang lama sebagai kerajaan, namun UMNO menghadapi desifisit kepercayaan rakyat sejak 2008. Sebaliknya HARAPAN mempunyai sokongan teras yang kukuh khususnya daripada bukan melayu, tetapi mempunyai kelemahan terutamanya aspek jentera komunikasi sehingga peranan, kebaikan dan kejayaan yang dibuat oleh HARAPAN tidak disedari oleh rakyat.
- Setelah HARAPAN diberi peluang sebagai kerajaan, ruang dan komitmen yang lebih besar harus diberikan oleh kepimpinan HARAPAN bagi menumpukan pemerkasaan jentera komunikasi sebagai jentera utama pertempuran alaf baru ini dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi. HARAPAN telah pun bergabung sejak 2016, sepatutnya isu pentadbiran dan pengurusan pelbagai aspek dalam HARAPAN sudah ditangani. Hampir semua kerusi di 222 parlimen mempunyai penyandangnya sendiri setelah 2 kali pusingan PRU dijalankan, maka sepatutnya sebuah parti peneraju dan sokongan semua parti komponen HARAPAN dan perpaduan telah bergerak menyantuni perihal rakyat di kawasan masing-masing.
- Dari aspek jentera komunikasi, sebelum penstrukturan jentera dijalankan, adalah menjadi keutaaman ketua-ketua komunikasi di peringkat parti meletakkan satu aspirasi atau fokus utama untuk diprojekkan oleh jentera komunikasi dari atas ke bawah. Jika Malaysia MADANI dianggap sesuai untuk dijadikan simbolik utama HARAPAN, ia wajar digunakan dalam setiap gerak kerja parti masing-masing. Minda rakyat perlu didoktrinkan bahawa kerajaan perpaduan hari ini membawa aspirasi Malaysia MADANI dan parti dalam HARAPAN antara yang mendokong aspirasi tersebut.
- Setelah bahan utama HARAPAN difokuskan selain aspirasi parti masing-masing seperti KEADILAN, AMANAH, DAP dan UPKO, proses jentera komunikasi dalam parti dan antara parti dalam HARAPAN mesti dinilai dan dikemaskini semula. Bagaimanakah ucapan dasar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sentiasa mendokong perlembagaan persekutuan sebagai teras perjalanan kerajaan hendak disampaikan dan diketahui oleh masyarakat akar umbi? Itulah satu testimoni yang perlu dibincangkan dan ditentukan prosesnya. Bukankah jaminan DAP itu akan meredakan ketakutan orang melayu kepada DAP dan kerajaan perpaduan? Ia pasti memberi nilai tambah kepada HARAPAN.
- Perkara yang perlu diberikan perhatian juga, jentera komunikasi parti dan HARAPAN perlu mengadakan hubungan kerjasama baik dengan pengamal media, benar liputan kepada setiap gerak-geri perhimpunan parti dalam perpaduan telah menjadi tumpuan pengamal media arus perdana, namun itu semua disebabkan kerana parti tersebut adalah pemerintah. Mereka hadir untuk membuat liputan atas faktor sebagai parti pemerintah dan pemilihan parti, bukannya atas faktor kewibawaan parti tersebut. Oleh sebab itu, hubungan baik bersama media perlu dijalinkan bagi memastikan pengamal media akan memberikan perhatian kepada parti dan HARAPAN. Menguasai pandangan media arus perdana secara tidak langsung mengusai pandangan massa.
- Dalam masa yang sama, HARAPAN tidak boleh meminggirkan aktivis parti yang menjalankan peranan sebagai tentera siber tidak berbayar kepada HARAPAN. Mereka menjalankan minat mereka akan faktor perjuangan dan mahu menempatkan kepimpinan dalam kerajaan, tidak bolehkah kepimpinan HARAPAN dan setiap komponen masing-masing menyantuni aktivis mereka sendiri. Mereka adalah nadi utama menyampaikan pencapaian parti dalam kerajaan dan aspirasi parti masing-masing kepada masyarakat melalui medan media alam maya. Mereka juga antara yang mampu mempengeruhi generasi baharu dengan jawapan mereka untuk mempertahankan tohmahan lawan kepada kepimpinan. Seharusnya kepimpinan parti dan HARAPAN memberikan tumpuan kepada mereka setelah pembangkang melaburkan banyak komitmen kewangan kepada tentera siber mereka untuk menyerang kerajaan.
- Dunia telah semakin mencabar, maka setiap kepimpinan HARAPAN yang bergelar Yang Berhormat perlu mempunyai seorang pegawai media sekurang-kurangnya yang berperanan mengenalpasti isu yang berlegar dalam massa, persepsi masyarakat kepada majikannya, membina naratif dan imej(terkait dengan portfolio kerajaan yang dipegang serta aspirasi parti) majikan serta memberikan input dalam ucapan majikannya akan ia benar-benar memberi impak positif setiap keberadaan kepimpinan HARAPAN dalam masyarakat.
- Akhirnya kepimpinan parti dalam HARAPAN serta HARAPAN itu sendiri mempunyai kesedaran akan kepentingan jenteri komunikasi dalam masa yang sama bersedia untuk mempertaruhkan komitmen dari segi kewangan, perubahan diri serta ruang kepada jentera komunikasi untuk memastikan jentera komunikasi boleh bergerak dengan lancar dan berkesan.
- Hari ini kita boleh berlengah atau meremehkan peranan jentera komunikasi sehinggalah sebulan sebelum PRU bermula, semasa itu jika kita memberikan komitmen 100% sekali pun dengan peruntukan kewangan yang besar dan ruang yang luas untuk jentera komunikasi memprojekkan imej HARAPAN dan kepimpinan belum tentu boleh menjamin kemenangan buat mereka. Hal ini demikian kerana, persepsi dibentuk bukan sehari dua, tetapi makan masa yang lama dan konsisten.
- Adakah kepimpinan parti dan HARAPAN mahu perpaduan gagal membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-16 diumumkan setelah kekalahan aspek pertempuran komunikasi yang gagal meningkatkan sokongan pengundi kepada HARAPAN? Setelah itu, kerajaan dipimpin oleh anti-perpaduan yang merencatkan semua tatakelola, dasar baik dan usaha yang telah dilakukan sejak 2022. Rakyat kembali terbelengu dengan kecelaruan politik serta melemahkan perjalanan negara. HARAPAN pula perlu kembali bermula dari bawah dan menyantuni jentera komunikasi setelah dinobatkan kembali sebagai pembangkang. Adakah itu yang ingin dicapai selepas PRU nanti?
Cikgu Syazmir HN