- Kesemua parti-parti yang berada di Malaysia buat masa ini sedang mencatur kedudukan masing-masing menuju PRU akan datang. Setelah kecelaruan yang berlaku dalam negara akibat politik Langkah Sheraton, kesemua parti sedang berada dalam keadaan tidak selesa umpah telur di hujung tanduk.
- BN sendiri yang sedang mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen sesegera mungkin juga hakikatnya sedang berada dalam persimpangan untuk menawan semula Putrajaya. BN hanya mengharapkan keputusan sama berlaku seperti di Melaka dan Johor di mana peratusan keluar mengundi adalah sedikit. Ini bermaksud, BN mampu menang hanya dengan sokongan tidak sampai 50% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
- PN pula masih mencari ruang-ruang yang mampu mereka manipulasikan dalam politik Malaysia setelah mereka sendiri yang merenyukkan kepercayaan mereka ketika Langkah Sheraton. Manakala PAS kononnya anak dara sunti yang diidamkan oleh UMNO atau BERSATU akan ketinggalan jauh akibat hilangnya nilai amanah dan kejujuran dalam berpolitik. Pimpinan perlu bertanggungjawab.
- Gabungan parti yang menyandang kemenangan mutlak dalam PRU 2018, iaitu Pakatan Harapan pula kini dilihat sedang berada dalam persimpangan yang sulit memandangkan mereka perlu menelurkan sebuah formula yang terbaik bagi mengembalikan semula mandat yang telah dicuri februari 2020.
- Selain menilai adakah PH berjaya menawan kembali Putrajaya, kedudukan PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga menjadi persoalan yang perlu diteliti. Adakah PH dengan kehilangan BERSATU mampu bertahan di negeri-negeri yang mereka perintah. Apakah faktor yang boleh menggugat kedudukan mereka di sana? Dan adakah rakyat di negeri tersebut mahu menukar kerajaan sedia ada kembali ke BN ataupun PN?
- Bagi penulis ada satu sahaja kekuatan yang PH perlu dan kekalkan demi bertahan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Ianya tidak lain dan tidak bukan ialah ‘Kesatuan dan kesepaduan antara parti komponen PH’. Kekuatan ini telah penulis nyatakan berkali-kali dalam tulisan sebelum ini. Sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Sama ada bertahan mahupun menawan, kesemuanya bertongkatkan kekuatan PH itu tadi ‘ Kesatuan dan kesepaduan antara parti komponen PH’.
- Pastinya semua mengakuinya. Rakyat hilang kepercayaan kepada PH kerana hilangnya kekuatan PH sebagai sebuah gabungan yang bersatu padu dan setia kawan. Maka langkah PH untuk kehadapan hanyalah bersatu dan berpadu. Namun barang diingat, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mampu terlepas ke tangan pesaing PH jika dua faktor yang akan saya nyatakan tidak mampu diatasi menuju PRU akan datang.
Faktor Dalaman
- PH merupakan gabungan yang paling kuat di Parlimen. PH mempunyai kerusi paling banyak berbanding BN dan PN. Namun semuanya boleh terlerai jika kekuatan atau faktor dalaman tidak mampu dibaiki secepat mungkin. Kekuatan PH boleh menjadi titik lemah apabila mereka gagal bersepakat membuat keputusan. Lebih malang lagi gagal membentuk sebuah keputusan hanya kerana kepentingan dan ego parti masing-masing. Bagaimana PH mahu dilihat berpadu di depan rakyat sedang ada parti dalam PH merasakan merekalah parti yang terkuat dan terhebat sehingga menganggu proses membentuk keputusan bersama. Jika keangkuhan itu tidak mengganggu pembentukan keputusan dan perjalanan parti mungkin ia boleh dibiarkan. Namun jika ia mengganggu, itulah yang akan melemahkan PH.
- Bukankah sikap ego dan ‘keakuan’ dalam PH sebenarnya akan meranapkan sebuah harapan rakyat marhaen kepada mereka. Hanya semata-mata kepentingan kedudukan, wang dan kuasa kesepakatan PH diletakkan kebelakang yang akhirnya memudahkan golongan kleptokrasi kembali berkuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang?
- Melaka dan Johor menjadi saksi bahawa sikap keangkuhan semasa parti dalam PH hanya menipiskan pelaung PH memenangi sebanyak mungkin kerusi. Sikap obsesi ahli merupakan resam biasa dalam politik, namun pemimpin atasan yang bersikap waras dan berpengalaman wajar meluruskan pemikiran ahli dengan membimbing mereka mencatur keputusan secara obsesi atau strategi. Nak menang atau hanya nak hebat bersorak sahaja?
Faktor Luaran
- Selain sikap dalam parti-parti yang ada dalam PH, faktor luaran seperti strategi bersama rakan-rakan pembangkan juga mampu menggoyahkan posisi PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Walau apa pun istilahnya, isu ‘Khemah Besar’ atau ‘United Front’ mesti ditangani sebaik mungkin dan sesegera mungkin. Kegagalan menguruskan isu ini hanya akan merapuhkan kepercayaan antara satu sama lain dalam PH.
- Jika sifir strategis PH bersetuju bahawa satu lawan satu bersama BN lebih berkesan untuk PH kembali berkuasa, maka keputusan itu harus diumumkan segera dan langkah mengerakkan gambungan pembangkang terbesar perlu dilakukan. Sebaliknya jika semua pimpinan PH bersepakat mahukan hanya 4 parti dalam PH bergerak sebagai satu pasukan PH menuju PRU akan datang, maka umum dan dokonglah keputusan itu secepat mungkin.
- Kita sedar banyak rundingan sedang berjalan menyebabkan masa yang diambil menjadi panjang, namun kegagalan mengurus isu ini menimbulkan persepsi lemah terhadap PH. Tidak selesai lagikah isu khemah besar ni? PH sekarang nak bergerak macam mana? Ini semua persoalan yang bermain di minda rakyat.
- Tambahan lagi, situasi diluar mahupun di media sosial gagal sekali menyebelahi PH apabila sering kali pertelingkahan antara kem Tun M dan kem Anwar dilakukan secara terbuka. Pertelingkahan ini boleh memecah belahkan PH. Adat berunding ‘orang berbudi kita berbahasa’. Malah menunggu keputusan sama ada khemah besar diwujudkan atau tidak akan melambatkan proses persiapan menuju PRU dan akhirnya PH gagal memenangi sebanyak kerusi.
- Ini adalah pandangan penulis sebagai pemerhati luar yang tidak terlibat langsung dengan pembentukan keputusan parti dan PH diperingkat nasional. Namun penulis perlu menyatakan dengan penuh rendah diri dan peringkatan agar PH sentiasa bermuhasabah diri dan kekal relevan pada rakyat.
- Ingat, rakyat tidak menyokong regim lama yang pernah memerintah, malah rakyat tidak seronok dibawah kepimpinan mandat yang dicuri. Rakyat mahukan PH kembali memerintah. Kerajaan PH yang tertegak banyak memberi kejayaan dan kemudahan kepada rakyat biasa. Ini satu kejayaan yang diakui semua. Namun kepercayaan itu perlulah disertakan dengan keyakinan dan kesepaduan PH sebagai satu pasukan mara menjelang PRU akan datang.
- Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah negeri PAKATAN HARAPAN, bukan negeri KEADILAN, negeri AMANAH atau negeri DAP. Jika wujud unsur ini kerajaan parti tertentu, selamat jalan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Oleh
Cikgu Syazmir HN