- Umum amat optimis tahun 2022 ini akan menjadi tahun kebangkitan semula kehidupan rakyat. Dari segi kebebasan pergerakan, kedudukan kewangan malah kelangsungan sosial masing-masing. Hampir 85% dijangka akan menerima dos penggalak menjelang hujung bulan Mac ini. Ini bermakna, masyarakat Malaysia hampir pasti mencapai imuniti kelompok. Dengan itu juga, rakyat Malaysi boleh kembali hidup hampir sama sebelum kemunculan Covid-19.
- Namun, melihat kepada sistem pendidikan negara, ia masih berada pada tahap yang membimbangkan. Jika kerajaan bersungguh-sungguh menaik taraf infrastruktur kesihatan di negara kita agar sistem kesihatan awam kita kembali pulih, namun tidak pada sistem pendidikan negara. Kerajaan menyuntik berbillion-billion wang untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara, bagaimana dengan sektor pendidikan kita?
- Sedarkah atau tidak, pandemik Covid-19 yang melanda dunia umpama garuda melanggar kota di sesuatu negeri. Atau umpama Bom yang jatuh menghancurkan keseluruhan bandar Hiroshima Jepun. Ia memusnahkan hingga lumpuh meski tak mampu dilihat dengan mata zahir. Tidakkah kita sedar, pelaksanaan PKP telah merencatkan perkembangan anak-anak kita dari pelbagai sudut. Mengapa tiada sebarang usaha untuk memulihkan keadaan? Adakah generasi yang telah terkandas itu akan dibiarkan membesar begitu sahaja tanpa sebarang intervensi pemulihan?
- Lebih menggusarkan lagi, Menteri Kanan Pendidikan telah menghadkan peranannya sebagai Menteri Pendidikan dengan hanya mengumumkan tutup dan buka sekolah sahaja berbanding lebih besar peranan seorang Menteri Pendidikan. Jika dulu, Dr. Maszlee diejek kerana isu dasar kasut hitam, tapi itulah hakiktanya bahawa Menteri Pendidikan harus lebih holistik, dinamik dan terperinci melihat masalah pelanggannya. Dalam konteks ini pelanggan paling utama Menteri Pendidikan adalah murid itu, diikuti guru, ibubapa, pemegang taruh yang lain dan seterusnya masyarakat.
- Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan jadual persekolah yang akan bermula pertengahan bulan Mac ini. Dimana pelajar sekolah menengah akan bersekolah secara PdPR sehingga SPM tamat, manakala murid sekolah rendah akan bersekolah secara fizikal mengikut giliran mulai sesi yang akan datang. Pertamanya jelas KPM gagal melihat takwim pendidikan secara menyeluruh, dimana sekolah terpaksa diadakan secara PdPR untuk pelajar sekolah menengah kerana kelas masih digunakan untuk peperiksaan SPM yang akan tamat 28 Mac ini. Mengapa tidak disusun secara sistematik agar calon SPM tahun 2022 boleh bersekolah secara fizikal mengikut jadual asal?
- Kedua, seiring dengan pengumuman itu, adakah masalah yang bertimbun-timbun akibat kelemahan pelaksanaan PdPR yang diluahkan sejak PKP 1.0 hingga kini telah selesai dibaik pulih oleh KPM. Apa rasionalnya KPM mengumumkan PdPR kembali tetapi masalah yang sama tetap ada? Sepanjang PdPR dilaksanakan dahulu, dari segenap manusia meluahkan masalah mereka. Ibubapa, guru, pemimpin masyarakat termasuk pemimpin politik juga meluahkan kelemahan PdPR. Namun apa tindakan KPM mengatasi masalah yang diluahkan? Adakah menjelang sesi sekolah bersemuka April nanti, isu PdPR ini akan senyap dan tidak perlu sebarang usaha kearah memulihkannya, begitu?
- Ketiga, Menteri Kanan Pendidikan sentiasa memberikan jaminan bahawa setiap masalah berbangkit, akan diselesaikan, namun hakikatnya? Isu beg berat contohnya, ini isu segera bukan boleh dilengahkan. Meski memerlukan masa untuk dirombak pelbagai aspek ia perlu dimulakan. Mengapa setelah berbulan-bulan dibangkit, baru KPM hendak memberi maklum balas. Itu baru maklum balas, belum tindakan. Murid yang akan hadir ke sekolah bergilir-gilir secara fizikal sesi 2022 ini masih perlu membawa buku yang banyak kerana tiada pengumuman khas tentang isu tersebut. Malah surat pekeliling yang dikeluarkan semasa PH memerintah bagi mengatasi masalah beg berat ini pun tiada lagi di laman sesawang KPM.
- Di Parlimen, baru-baru ini bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Teo Nie Ching mendak Menteri Kanan Pendidikan tidak cakna akan nasib kanak-kanak yang tidak bersekolah. Beliau mengadu tentang susahnya kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen untuk masuk ke sekolah. Sedangkan pelbagai karenah birokrasi yang menyebabkan dokumen tersebut gagal diperoleh. Dasar sifar penolakan kemasukan murid yang dilaksanakan semasa PH memerintah telah tidak terlaksana hari ini. Menyebabkan begitu ramai kanak-kanak tercicir. Maka apa Menteri Kanan Pendidikan buat? Inilah peranan menteri Pendidikan sebenarnya, memastikan kanak-kanak di Malaysia ini bersekolah dan berkembang kehidupannya. Tapi menteri hanya tahu umum tutup dan buka sekolah sahaja.
- Jelaslah disini bahawa tahun 2022 akan terus menjadi tahun yang kelam kepada sistem pendidikan negara. Lebih memburukkan keadaan, ibubapa sudah mula sangsi akan kewibawaan KPM untuk memimpin anak-anak mereka. Nasib anak-anak bangsa akan terus celaru sama seperti ketika pandemik mula-mula melanda negara. Mengharapkan sebuah keajaiban dari Perdana Menteri untuk memberikan momentum kepada sektor pendidikan belum pasti jadi nyata. 2 cohort SPM telah duduk terencat mengadap sistem pendidikan kita, adakah tahun 2022 ini ia masih kekal sama? Hanya yang benar-benar punya hati yang suci sahaja mampu melihat bahawa nasib anak bangsa kita terus kelam dan kabur. Menteri Kanan Pendidikan, ubahlah, ubah dari sekarang!!
Oleh,
Cikgu Syazmir HN