Namun, pucuk kepimpinan KPM dilihat tidak bersungguh-sungguh menyambut saranan ini.
- Baru-baru ini perayaan Hari Guru telah diadakan di seluruh Malaysia. Semua sekolah merayakannya untuk meraikan guru-guru yang telah mendedikasikan diri mereka untuk mendidik anak bangsa. Tidak dinafikan cabaran yang guru-guru hadapi pada era yang sangat merumitkan ini. Daripada era globalisasi sehinggalah era pasca pandemik Covid-19, guru-guru terpaksa menghadapinya dengan tenang.
- Maka pada Hari Guru, timbul pelbagai kisah-kisah yang menarik tentang pengalaman guru mengajar. Viral sebuah video guru dan murid terpaksa bersusah-payah meredah pelbagai mehnah untuk sampai ke sekolah yang terletak di pendalaman. Tahniah penulis ucapkan kepada mereka semua. Sesungguhnya takdir telah memilih anda sebagai guru atas kesediaan dan kecekalan anda untuk mengharunginya.
- Namun disebalik kisah-kisah pengalaman mencabar guru-guru ini, penulis memahami makna yang tersirat. Daripada keadaan tersebut, dapatlah kita ketahui bahawa keadaan negara kita masih belum maju dan bersedia untuk masuk ke era teknologi canggih dan hebat. Mana taknya, sudah 67 tahun kita merdeka, sudah 9 Perdana Menteri dilantik manakala jumlah rakyat Malaysia telah mencapai 30 juta, tetapi masih ada lagi kawasan yang tidak mempunyai jalan yang sempurna. Masih ada lagi sekolah yang daif dimana dinding sekolah daripada kayu, atap sekolah masih menggunakan atap lama. Murid pula perlu menghadapi laluan yang mencabar dan merbahaya sebelum sampai ke sekolah. Adakah negara kita khususnya pendidikan kita sudah maju?
- Akibat daripada cabaran ini, sedar atau tidak bahawa ramai murid akan tercicir daripada menerima pendidikan meski pada kadar yang minima. Cabaran besar ini membuat mereka memilih untuk tidak pergi ke sekolah dan pendidikan bukan lagi keutamaan mereka. Namun malangnya Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, sudah bertindakkah mengatasi masalah ini? Sedangkan inilah isu pokok untuk menentukan sama ada murid mendapat pendidikan secukupnya atau tidak.
- Dalam masa yang sama, Menteri Kanan Pendidikan melalui petikan media memuji dan berbangga dengan keupayaan guru-guru Malaysia. Penghargaan kepada guru-guru diberikan setinggi langit sedangkan bebanan kerja guru yang berlambak di sekolah masih belum selesai. Apa guna, guru dipuji semata-mata pada Hari Guru, sedangkan mereka masih dibebani tugas bukan mengajar yang banyak sehingga mereka gagal menjalankan fungsi sebenar guru untuk mengajar.
- Benar, guru merupakan tunjang utama sekolah sejahtera, tetapi dalam keadaan sekarang, bagaimana guru mahu memainkan peranannya mensejahterakan sekolah jika kerja warden lebih berat daripada mengajar, jumlah masa mengisi data pengkeranian lebih lama daripada mengajar dan tumpuan guru membuktikan mereka telah menjalankan tugas dengan baik melalui dokumentasi berbanding kemenjadian murid?
- Tidakkah pucuk pimpinan KPM sedar keadaan guru pencen awal, kes buli yang tidak boleh dikawal, jumlah murid tamat sekolah sebelum tingkatan 5 mencapai 22 000 orang dalam tempoh 2 tahun merupakan kesan daripada kedudukan guru yang diculaskan oleh kerja bukan mengajar? Petunjuk ini jelas bahawa sistem pendidikan sedang berada dalam keadaan tempang dan serabut. Kesanya generasi dalam tempoh 10 tahun ini menghadapi krisis pendidikan yang sukar digambarkan impak negatifnya pada negara kelak.
- Ramai pakar-pakar pendidikan yang tidak pun punyai kepentingan politik, menyeru KPM memulakan proses mereformasikan pendidikan. Namun, pucuk kepimpinan KPM dilihat tidak bersungguh-sungguh menyambut saranan ini. Apa yang dibuat adalah menjaja pada seluruh masyarakat, bahawa sistem pendidikan berada dilandasan yang betul, baik dan berkesan. Sedangkan hakikatnya kita terkebelakang berbanding negara lain.
- Adakah Menteri Kanan Pendidikan berkelakuan syok sendiri? Sepatutnya Menteri Kanan Pendidikan perlu berjiwa besar menjemput pakar pendidikan dan pemegang taruh yang ada untuk membentuk semula sistem pendidikan negara. Jatuh bangun negara ini terletak kepada tindakan Menteri Kanan Pendidikan mereformasikan sistem pendidikan negara.
SELAMAT HARI GURU
Oleh,
Cikgu Syazmir HN
#PulihPendidikan
#TintaSiyasah