Menjelang Pilihan Raya Kecil pertama untuk tahun 2024 dan pertama kalinya selepas Pilihan Raya Negeri Selangor berlangsung Ogos tahun lalu, Kuala Kubu Bharu(KKB) akan menjadi tumpuan segenap kelompok politik bagi mengukur tahap kepuasan dan prestasi kerajaan perpaduan baik di peringkat persekutuan mahupun Negeri Selangor.
Berakhirnya PRK Kemaman tahun lalu telah menamatkan spekulasi pertukaran kerajaan dan meredakan suhu politik negara untuk sementara waktu. Peralihan kepimpinan Seri Paduka Baginda Sultan Pahang kepada Sultan Johor bagi menerajui tampuk pemerintahan negara berlaku secara aman dan teratur memperlihatkan kestabilan kerajaan perpaduan untuk beberapa tempoh.
Namun PRK KKB akan berlangsung dalam keadaan negara yang sedang menerima satu ledakan isu perkauman yang hangat. Pastinya sikap dan cara kerajaan menangani isu sensitif ini mampu mempengaruhi keputusan PRK KKB akan datang. Pembawakan pembangkang juga turut diberikan tumpuan oleh pengundi KKB.
Buat masa ini, kesepaduan yang berlaku di peringkat persekutuan dan Negeri Selangor boleh memberikan kesan baik kepada PRK KKB tetapi ia masih belum cukup kuat dan jelas untuk digunakan sebagai asas kemenangan calon HARAPAN mewakili PERPADUAN. Meskipun UMNO-BN telah dilantik sebagai salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,namun ia belum mewajahkan keampuhan parti dalam PERPADUAN.
Bagi penulis, PRK KKB boleh dijadikan titik tolak kepada parti komponen BN untuk membuktikan komitmen mereka kepada PERPADUAN. MCA dan MIC secara hitam putihnya memang bersama PERPADUAN baik melalui sokongan kepada Perdana Menteri mahupun keberadaan mereka dalam mesyuarat bulanan parti komponen Kerajaan Perpaduan. Tetapi hakikatnya komitmen mereka secara jelas belum teruji memandangkan pertempuran pertama selepas PERPADUAN dibentuk melalui Pilihan Raya 6 buah Negeri tahun lalu tidak disertai oleh MCA dan MIC.
MCA kini jelas mempunyai sikap yang sedikit kritikal kepada Kerajaan Perpaduan walaupun beberapa teguran MCA kepada kerajaan mempunyai asasnya. Manakala MIC lebih berdiam diri dan menumpukan kepada proses pemilihan parti yang sedang berlangsung. Memandangkan PRK KKB akan diwakili oleh DAP yang sangat berpengaruh kepada pengundi bukan melayu khususnya kaum cina, MIC boleh turut berperanan dalam PRK kali ini untuk membantu memenangkan calon HARAPAN.
Hal ini demikian kerana, selama setahun PERPADUAN memerintah, figura yang ditempatkan untuk menjadi suara kaum India kepada kerajaan kurang menyerlah, malah satu-satunya menteri mewakili kaum India juga direhatkan dalam rombakan kabinet hujung tahun lalu. Ini pastinya menjadi modal utama pihak pembangkang yang haus undi bukan melayu. Pengundi india mewakili 18% daripada keseluruhan pengundi KKP, pengundi cina(30%), pengundi melayu(46%) dan lain-lain mewakili 5%.
UMNO yang umum sedia tahu mempunyai komitmen yang jelas kepada PERPADUAN boleh bergandingan dengan AMANAH dan kepimpinan Dato Menteri Besar Selangor untuk mengepung undi melayu, DAP pula sebagai pemain utama menumpukan usaha mempertahankan undi cina dan india. MIC boleh menjadi nilai tambah kepada sokongan secara jitu pengundi india kepada PERPADUAN.
Langkah ini boleh dijadikan medan ujikaji keyakinan pengundi kepada MIC pasca pemilihan parti mereka meskipun tiada perubahan besar berlaku. Ia juga memaksa MIC membina sebuah anjakan baru dari segi imej, pendekatan dan falsafah perjuangan mereka yang secara tidak langsung telah mereformasikan semula MIC sebagai antara parti tertua di Malaysia.
Legasi Tun S.Samy Vellu dan S.Subramaniam telah menjadi sejarah yang boleh dijadikan pengajaran dan sandaran, namun MIC perlu mencipta legasi baharu yang mampu mebawa era baharu kepada kaum india seiring cita-cita Anwar Ibrahim. Peluang ini perlu diambil oleh MIC bagi mengangkat peranan mereka memandangkan dalam kerajaan, tumpuan memperkasakan kaum india masih samar-samar walaupun telah diperteguhkan oleh kenyataan Anwar yang juga Pengerusi HARAPAN. Isu MITRA yang sering berubah-ubah dan kurangnya peranan yang dimainkan oleh Pengerusi MITRA dalam menangangi perihal kaum india menandakan MIC perlu kedepan bersama membantu kerajaan.
MIC usah menunggu dipujuk oleh kerajaan, sebaliknya MIC perlu menawarkan bantuan tersebut dengan sebuah janji yang lebih progresif kepada kerajaan demi membantu kaum india. Dengan cara itu, MIC sendiri akan kembali menjadi tumpuan dan rujukan kerajaan serta kaum india. Kesetiaan MIC itu akan diterjemahkan dalam kepimpinan kerajaan kelak. MIC perlu menamatkan persepsi mereka mengikut telunjuk MCA, sebaliknya bergerak atas pendirian serta komitmen mereka sendiri.
KKB yang berada dibawah Parlimen Hulu Selangor pernah menjadi kubu utama MIC memandangkan bekas ahli parlimen Hulu Selangor penggal 2010-2013 & 2013-2018 dari MIC iaitu bekas Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan. Maka tidak salah jika PRK KKB menjadi permulaan kepada komitmen MIC kepada PERAPADUAN.
Barang diingat, pembangkang akan menggunakan setiap segmen dan elemen untuk menambah nilai sokongan kepada mereka. Meskipun PRK KKB dilihat sukar bagi pembangkang, mereka akan terus memaksimumkan upaya mereka demi merampas kerusi yang disandang oleh Lee Kee Hiong(DAP) selama 3 penggal itu. Ini bagi meneruskan kempen anti kerajaan perpaduan yang mereka lakukan semenjak PERPADUAN terbentuk lagi.
Cikgu Syazmir HN