Mengenali Shafie, beliau merupakan orang yang terlibat sama dalam memperkukuhkan kedudukan UMNO di Sabah.
- Parti Warisan Sabah atau WARISAN merupakan parti berasaskan negeri Sabah yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum 2018 diadakan. Seiring dengan tindakan keluar daripada UMNO oleh Naib Presiden UMNO ketika itu Datuk Shafie Apdal, maka beliau menubuhkan WARISAN sebagai wadah baru beliau. Namun berbeza dengan Tun Dr. Mahathir, Mahiaddin dan Mukhriz, beliau menubuhkan sebuah parti berasaskan Negeri Sabah memandangkan beliau merupakan pemimpin UMNO daripada Sabah.
- Mengenali Shafie, beliau merupakan orang yang terlibat sama dalam memperkukuhkan kedudukan UMNO di Sabah. Zaman kepemudaan beliau diserahkan kepada pembangunan UMNO Sabah sehinggalah beliau menapak ke dalam Kabinet Persekutuan dan Naib Presiden UMNO. Boleh dikatakan beliau merupakan pemimpin pertama dari Sabah yang dari bawah naik ke atas puncak UMNO. Adapun tokoh-tokoh lain diimport daripada USNO sebuah parti Melayu-Sabah yang terawal di Sabah.
- Shafie berjaya menggembleng usahanya bersama WARISAN dan Pakatan Harapan menumbangkan kleptokrasi UMNO-BN dalam PRU 2018. Ganjarannya, beliau dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah, manakala 3 pemimpin kanan WARISAN dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet PH. Namun selepas kejatuhan kerajaan PH, WARISAN juga dilihat terumbang-ambing. Sikap putus saudara antara Tun Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim juga membuatkan Shafie dan WARISAN berada dalam persimpangan. Bersama Tun tidak mampu untuk memgembalikan kerajaan PH. Bersama Anwar akan melukai hati Tun.
- Tetapi dilema yang paling besar WARISAN hadapi adalah apabila beberapa ADUN WARISAN dicuri untuk cubaan menumbangkan kerajaan WARISAN di Sabah. Namun tindakan pantas WARISAN membubarkan DUN menggagalkan usaha tersebut. Malangnya, selepas PRN Sabah, WARISAN gagal membentuk kerajaan meskipun mereka adalah parti yang menang paling banyak kerusi tetapi tidak berjaya membentuk majoriti. GRS dan BN menubuhkan kerajaan di Sabah. Hakikatnya, walaupun WARISAN kehilangan Sabah, namun WARISAN adalah parti yang terkuat di Sabah berbanding UMNO, PBBM, UPKO, PBS dan lain-lain.
- Penulis mahu membangkitkan apakah gerakan yang akan dibawa oleh WARISAN menjelang PRU ke-15 ini setelah pelbagai cabaran jatuh bangun yang dihadapi oleh WARISAN. Tambahan pula, seorang demi seorang ADUN dan Ahli Parlimen WARISAN meninggalkan WARISAN dan menyokong kerajaan Pusat. Arah tuju WARISAN semakin dipersoal semenjak dua menjak ini memandangkan pelbagai usaha WARISAN untuk kekal relevan dalam politik Malaysia.
- Tindakan WARISAN melebarkan sayapnya di semenanjung Malaysia hanya akan memburukkan imej WARISAN dimata umum. Apakah WARISAN tidak mencatur keupayaannya apabila mereka masuk ke semenanjung? Lihat sahaja keputusan PRN Johor baru-baru ini, WARISAN yang bertanding 4 kerusi gagal mencapai kemenangan. Yang lebih buruk, WARISAN berjaya memecahkan sedikit undi PH sehingga menyebabkan BN berjaya memenangi 40 buah kerusi.
- Bagaimana situasinya jika ia berlaku dalam PRU? Pastinya corak yang sama akan berlaku dimana banyaknya parti pembangkang masuk bertanding akan memenangkan BN dalam PRU. Adakah WARISAN mahu membantu BN menang dan menjadi kerajaan berkuasa penuh dengan menjadi pemecah undi pembangkang? Sebab itu penulis katakan bahawa strategi WARISAN untuk turun ke semenanjung adalah merugikan mereka sendiri.
- Bukankah WARISAN sebuah parti yang masih kuat di Sabah? Sepatutnya WARISAN membantu pembangkang mengekalkan momentum pembangkang di Sabah. Mengepung undi di Sabah mampu membantu pembangkang menang di peringkat Pusat. Jika WARISAN telah mula bekerja di semenanjung, maka Sabah akan terabai.
- Buktinya, pimpinan utama WARISAN daripada Sabah, yang menyertai WARISAN di semenanjung adalah bekas pimpinan PH juga. Mahu tidak mahu, pemimpin WARISAN Sabah perlu turun ke semananjung. Natijahnya kubu WARISAN di Sabah jatuh ketangan pihak musuh. Adakah dengan langkah itu ia mampu membantu mengalahkan BN?
- Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Ini peribahasa yang bakal menimpa WARISAN jika terus kekal dengan strateginya. Apa kelebihan yang WARISAN bawa sehingga boleh memenangi hati pengundi semenanjung? Sedangkan PEJUANG, MUDA, PH dan PBM gagal menawan hati pengundi, inikan pula parti berasaskan Sabah.
- Tidakkah perkara ini disedari oleh pimpinan WARISAN? Tidakkah strategi ini sudah dipertimbangkan oleh WARISAN? Penulis yakin ia sudah menimbangkan perkara tersebut. Namun apa motivasi yang mendorong mereka mencuba nasib di semenanjung? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana arah tuju pembangkang yang dilihat gagal meruntuhkan kerajaan BN/PN. WARISAN melihat mereka perlu kedepan untuk menggantikan PH sebagai pembangkang. Kelemahan PH dijadikan asas untuk mereka terjun ke semenanjung.
- Tetapi hakikatnya mampukah mereka mengatasi kekuatan PH? Atau sekurang-kurangnya mereka bertapak kukuh di semenanjung? PRN Johor jelas membuktikan mereka mempunyai halangan besar untuk mara. PEJUANG yang dianggotai oleh bekas Perdana Menteri selama 24 tahun itupun tidak berjaya menawan hati pengundi atas pagar buat masa ini. Inikan pula WARISAN.
- Sebab itu penulis bertegas, antara WARISAN memilih kehendak nafsu atau kudratnya, lebih baik WARISAN kekal mempertahankan Sabah seiring dengan kudratnya, manakala nafsunya yang melonjak di semenanjung diserahkan kepada parti-parti pembangkang semenanjung. Dengan itu pembangkang akan meminimakan kerugianya dalam pertempuran. WARISAN akan kekal hebat bertahan di Sabah mengukuhkan borneo manakala pembangkang berpaduan di semenanjung mengalahkan UMNO-BN.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN