- UMNO bagai harimau yang bangkit semula setelah cedera dalam tempoh tertentu memandangkan mereka berjaya memenangi dua Pilihan Raya Negeri dengan bergaya. Keterujuaan pemimpin UMNO untuk memerintah semula kembali setelah mereka dikalahkan oleh kuasa rakyat pada tahun 2018. Dalam sejarah akan terus kekal tercatat bahawa UMNO pernah dikalahkan dalam Pilihan Raya. Fakta itu tidak boleh diubah meski UMNO memerintah semula. Namun UMNO mampu melenyapkan imej buruk kekalahannya jika mereka berjaya memenangi PRU yang akan datang.
- Penganalisis poilitik meramalkan bahawa PRN Johor menjadi permulaan kepada penaklukan semula UMNO di Malaysia ini. Namun apa yang berlaku semasa sambutan kemenangan BN dalam PRN Johor boleh menyerlahkan sesuatu yang tidak terjangka kelak. Ianya adalah bagaiman Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO dilayan ketika acara tersebut. Semasa beliau masuk ke dewan, penyokong BN melaungkan ungkapan ‘Bubar Parlimen’. Sedangkan sebelum itu setiap pemimpin yang masuk tidak pula dilaungkan sedemikian. Sedarkah para penyokong BN bahawa Ismail Sabri belum cukup setahun menjadi PM, bukan semudah itu untuk beliau membubarkan Parlimen yang pastinya selepas itu jika UMNO menang sekalipun, bukan beliau PMnya.
- Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka seolah-olah adalah kejayaan mutlak Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Najib Razak sahaja. Menggambarkan bawah Ismail Sabri tidak memberi nilai tambah kepada kejayaan UMNO. Ini amat mendukacitakan. Adakah kerana Ismail Sabri dan menteri kabinet yang lain lebih cenderung kepada PN menyebabkan pemimpin utama UMNO memboikot mereka? Bukankah dengan Ismail menjadi PM, ia sebenarnya telah memudahkan UMNO kembali berkuasa? Mengapa hendak ditentang?
- Tidak lain dan tidak bukan kerana keterdesakan pemimpin UMNO yang mahu memerintah semula secara kuasa penuh. Sekarang BN terpaksa berkongsi kuasa bersama PN, golongan pengkhianat politik. Setiap langkah kerajaan terpaksa ditimbang tara kerana masing-masing mempunyai kuasa untuk menubuh atau meruntuhkan kerajaan sekarang, maka ini menyebabkan UMNO tidak selesa. Selama 60 tahun memerintah, tidak pernah UMNO berkongsi kuasa secara sama rata, yang ada hanya kongsi kuasa tetapi mereka lebih besar berbanding MIC dan MCA serta parti-parti komponen BN sebelum ini. Oleh itu UMNO mahu diadakan PRU segera untuk kembali memerintah.
- Mengapa sekarang? Dengan kejayaan PRN Melaka dan Johor, pemimpin dan pasukan pemikir UMNO berkeyakinan bahawa mereka mampu memenangi PRU secara total jika diadakan sekarang. Ini masa terbaik mereka mahu memperoleh undi asas BN memandangkan pengundi atas pagar berasa jemu dengan politik manakala Undi 18 yang didakwa akan menyokong pembangkang masih samar-samar dalam menyertai pesta demokrasi ini. Maka peluang yang ada digunakan UMNO untuk memerintah semula.
- Namun adakah Ismail sanggup membubarkan Parlimen sekarang? Sudah terlunaskah amanahnya sebagai PM? Persoalan ini sahaja yang sedang menyekatkan kemaraan UMNO. Ismail dan pemimpin PN dilihat tidak bersedia melakukan PRU sekarang memandangkan kesannya kepada Ismail telah dinyatakan diawal tadi, manakala kesan pada PN ialah mereka akan turut kalah dalam PRU akan datang. Petunjuk PRN Johor menjelaskan, meski PN mendapat undi melayu namun PN tetal gagal mencapai kemenangan kerana undi bukan melayu tetap kepada PH. Gerakan yang menjadi komponen bukan melayu dalam PN tidak bermaya untuk mencabar kekuatan DAP.
- Persoalan seterusnya, tiadakah jalan untuk Ismail mengelak dari membubarkan parlimen. Sebenarnya ada. Jika Ismail menolak keputusan Perhimpunan Agung UMNO Mac ini (akan ada risiko apabila Ismail membelakangkan keputusan parti), pemimpin UMNO yang mahu diadakan PRU pasti akan menarik semula sokongan mereka kepada Ismail, dengan cara itu Ismail hilang majoriti dan YDP Agong akan membubarkan Parlimen. Namun, PH selaku blok kedua yang sedang memerhati drama politik melayu ini boleh mempertahankan Ismail dengan cara memberikan sokongan mereka kepada Ismail. Pastinya PH bersetuju untuk memberikan sokongan kerana jika PRU diadakan sekarang PH juga akan tersungkur sama.
- Kata Anthony Loke semasa berbahas di Parlimen minggu lalu, menyatakan bahawa PH bersedia melanjutkan MOU bersama kerajaan untuk mengelakkan PRU diadakan dalam tempoh terdekat. Ini bererti PH boleh memberikan sokongan kepada Ismail sebagai PM. Meski PH dilihat tertipu dengan MOU tersebut khususnya pembentangan RUU Akta Lompa Parti dan beberapa perincian lain, tetapi ini sahaja cara yang PH ada supaya parlimen boleh bertahan sehingga tamat tempoh. Ia suatu yang sukar tetapi boleh dipertimbangkan.
- Kini bola ditangan Ismail sama ada tunduk kepada desakan pimpinan UMNO yang ghairah untuk berkuasa atau berpaut kepada kekuatan PH selaku blok pembangkang terkuat sejak Malaysia merdeka. Ismail yang dilihat tersepit cuba menarik kekuatan sebanyak boleh dalam UMNO kepadanya atas kuasa sebagai PM. Terbaru Ismail mengumumkan bahawa pencarum boleh mengeluarkan pengeluaran khas seperti yang dituntut sebelum ini. Namun pemimpin UMNO kebanyakan mengucapkan terima kasih kepada Najib, Zahid dan Asyraf sahaja bukannya Ismail.
- Benarlah bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang diakan mulai 16 Mac ini mungkin menjadi tragedi yang benar epik untuk ditonton oleh pemerhati politik. Ia seolah-olah seperti drama maghrib yang ditayangkan di tv swasta dimana kemuncaknya sangat mendebarkan. Siapa menang dalam pertarungan kali ini? Sama-sama kita saksikan.
Oleh,
Cikgu Syazmir HN