Semalam telah diadakan Konvensyen Barisan Nasional(BN) Negeri Selangor yang menghimpunkan ramai pemidato-pemidato luar mahkamah yang hebat. Berbagai naratif dan teori dikemukakan oleh pembentang untuk membulatkan tekad mereka untuk menawan Selangor daripada Pakatan Harapan. Lebih mengujakan, bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak diberikan ruang untuk membakar semangat para ahli dan pimpinan BN Selangor.
Dalam ucapannya, Najib Tun Razak mengatakan bahawa kemajuan yang dikecapi oleh rakyat Selangor hari ini adalah hasil titik peluh BN. Malah dakwa beliau dibawah pimpinan Pakatan Harapan mahupun Pakatan Rakyat, prestasi ekonomi Selangor berkembang lebih perlahan berbanding semasa BN memerintah. Soalnya, jika benar hanya BN sahajalah pemerintah yang telah membangunkan Selangor, mengapa rakyat Selangor sanggup menurunkan BN pada 2008? Pastinya kerana ketika itu, BN mungkin telah terpesong jauh yang mampu membawa Selangor hanyut, oleh itu, rakyat membuat keputusan untuk memberi peluang kepada parti anti-BN memerintah.
Kedua, jika benar prestasi ekonomi Selangor dibawah PH bergerak perlahan, mengapa rakyat masih mengundi parti anti-BN sebagai kerajaan? Malah majoriti kerusinya semakin bertambah. Ini menunjukkan rakyat selesa dibawah PH meski kononya ekonomi dibawah PH bergerak perlahan. Adakah rakyat Selangor tidak pedulikan keadaan ekonomi? Tidak. Tetapi rakyat Selangor merasai sendiri nikmat ekonomi baik yang dikecapi oleh PH dengan pelbagai inisiatif untuk rakyat. Oleh itu, perkembangan ekonomi mungkin menjadi satu faktor penilaian pengundi, tetapi lebih penting pengundi merasai kekayaan yang ada di negeri Selangor bersama-sama.
Dalam ucapan Pengerusi BN Selangor pula, Noh Omar menegaskan bahawa BN sudah serik dan perit menjadi pembangkang. Jika 2008, BN hanya menjadi pembangkang di lima buah negeri termasuk Selangor, namun pada tahun 2018, BN turut menjadi pembangkang di peringkat Pusat. Ini benar-benar memeritkan keadaan BN itu sendiri. Namun disebalik keperitan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri telah melantik Noh Omar sebagai Menteri khusus untuk membantu BN menawan semula Selangor. Teori ini mengujakan namun pada tahun 2018, Noh Omar sedang bergelar menteri tetapi tetap gagal menawan Selangor dan turut terlepasnya Putrajaya.
Apa yang penulis boleh ulas daripada Konvensyen BN Selangor yang diadakan semalam, antaranya penulis melihat BN benar-benar mahukan Selangor kembali ke tangan mereka. Tekad dan usaha ini mesti diambil kira secara terperinci oleh pimpinan PH Selangor. Dengan adanya kesilapan yang kecil tetapi dirangkum akan menjadi besar, mampu mengoyahkan kedudukan PH di Selangor.
Kedua, jika benar sekalipun BN berada dalam keadaan perit semasa menjadi pembangkang, mengapa rakyat Selangor pula perlu menukar kerajaan sedia ada, sedangkan rakyat Selangor sedang dalam keadaan bahagia? Buktinya, di Gombak semalam, Jelajah Selangor Penyayang telah diadakan secara besar-besaran. Edisi yang diadakan di seluruh 56 DUN Selangor itu diadakan bagi mendedahkan kepada rakyat serta melibatkan rakyat dalam inisiatif kerajaan Selangor membantu rakyat. Dato Menteri Besar Selangor semalam juga telah menyerahkan Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2022 berjumlah lebih RM1.83 juta kepada 10 buah sekolah di Daerah Gombak. Antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San Yuk dan Kheow Bin serta SJK Tamil Batu Caves dan Taman Melawati.
Dalam jelajah kali ini, kerajaan negeri mengfokuskan kepada kluster pendidikan dimana 8 inisiatif pendidikan yang telah diusahakan oleh kerajaan Negeri. Antaranya mengembalikan semula Pusat Tuisyen Rakyat dengan penjenamaan baharu. Kedua, memberikan insentif RM1,000 kepada rakyat Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT. Seterusnya, kerajaan negeri turut membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan kewangan termasuk taska di Selangor. Melalui Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor dan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) ia dapat membantu institusi pendidikan di Selangor. Seterusnya kerajaan negeri terus membantu mahasiswa yang berada dalam keadaan sukar dengan skim Peduli Siswa dan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS). Akhirnya latihan kemahiran mengikut keperluan industri juga diwujudkan di Selangor serta Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (ASUH PINTAR) untuk keluarga yang memerlukan.
Terbukti di Selangor, rakyat Selangor sendiri menikmati segala hasil negeri yang dikecapi bersama-sama. Malah rakyat Selangor merasai segala inisiatif yang dilakukan oleh Pakatan Harapan tanpa sebarang isu perkauman sempit. Itu baru penulis nyatakan inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam kluster pendidikan, belum lagi kluster-kluster lain yang merangkumi berpuluh-puluh inisiatif. Maka rakyat tidak perlu dilibatkan dalam keperitan BN di Selangor. Teruslah rakyat duduk dibawah kemakmuran PH Selangor.
Akhirnya penulis juga berpandangan, Konvensyen BN Selangor gagal melengkapkan barisan tempurnya untuk menentang PH apabila tidak ada tokoh yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar Selangor jika BN kembali memerintah. Tambahan pula, sebelum ini ada cadangan untuk meletakkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul selaku ‘Poster Boy’ BN di Selangor, namun sehingga konvensyen selesai, tidak ada pengumuman dilakukan melainkan melantik Tengku Zafrul selaku Bendahari BN Selangor.