1. Kewujudan Gerakan Tanah Air yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin mempunyai kesan yang mendalam dalam politik Malaysia. Bayangkan pengasas gerakan ini bukanlah calang-calang, beliau adalah bekas Perdana Menteri yang telah memikul tugas tersebut sebanyak 2 kali. Malah semasa kali pertama menjadi PM, beliau memimpin Malaysia selama 22 tahun. Pastilah beliau amat masak dengan asam garam politik Malaysia yang beliau sendiri corakkan.
2. Sejak Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM kali ke-2, perhubungan Tun Dr. Mahathir dan HARAPAN dilihat dingin. Malah percubaan untuk menyatukan dua tokoh politik negara iaitu Tun dan Anwar Ibrahim buat kali ke-3 menemui kegagalan. Namun, bagi mendepani pihak kerajaan yang dibentuk melalui jalan curi mandat rakyat di Parlimen, Tun bersama partinya PEJUANG boleh duduk bersama HARAPAN dan WARISAN bagi membenamkan Keluarga Malaysia. Malangnya jumlah itu tidak mampu menumbangkan Keluarga Malaysia atau sebelum ini kerajaan PN. Banyak pusingan telah dicuba, namun gagal. Oleh itu, mungkin itu faktor yang mendorong Tun dan PEJUANG membuat haluan sendiri bagi mendepani PRU akan datang.
3. Untuk apakah Tun dan PEJUANG mewujudkan blok ke-4 yang dinamakan Gerakan Tanah Air(GTA) sebagai taruhan mereka dalam PRU akan datang. Mengapa pula Tun bersedia memikul amanah sebagai pemimpin gerakan yang bermotifkan melayu Islam sedangkan sebelum ini Tun merupakan pemimpin bagi blok yang diwakili oleh semua kaum di dalamnya iaitu BN dan HARAPAN? Adakah kewujudan GTA ini benar-benar mampu membantu melayu Islam menjadi lebih maju dan hebat?
4. Kita kena akui bahawa naratif bahawa melayu sedang berpecah-belah telah digunakan sejak dahulu lagi apabila UMNO dan PAS saling berseteru dalam PRU kecuali ketika PAS berada dalam BN. Sebaliknya bukanlah satu simbolik perpecahan, yang lebih penting adalah proses semak imbang antara parti melayu kerajaan (BN) dan parti melayu pembangkang (PAS). Dengan adanya seteru ini, proses menegur, memperbaiki dan sentiasa berusaha untuk memajukan rakyat diamalkan, jika tidak pihak lawan akan memerintah. Cuma ia kelihatan keruh apabila adanya pemimpin melayu yang menggunakan sentimen takfiri atau mengkafirkan dalam berpolitik, sedangkan perbezaan UMNO dan PAS adalah isu dasar, isu integriti dan kaedah perjuangan, mengapa dikaitkan dengan akidah? Kini, insan yang mengkafirkan pihak lain itu pun sedang bersama mereka yang dituduh.
5. Ini bermaksud, kewujudan parti melayu yang banyak bukanlah perpecahan, namun satu proses demokrasi yang patut diraikan. Sekarang, bukan setakat UMNO dan PAS sebagai parti melayu, malah AMANAH, BERSATU, PEJUANG, BERJASA dan PUTRA juga bermotifkan melayu Islam. Adakah melayu Islam berpecah dengan kewujudan banyak parti ini, tidak, ia satu proses demokrasi. Sebab itu apabila GTA mengabungkan parti-parti melayu dalam satu gerakan, apakah tujuan sebenarnya?
6. Jika GTA mengatakan bahawa mereka mahu membetulkan semula keadaan orang melayu, adakah dengan menubuhkan kerajaan GTA pasca PRU nanti akan membolehkan agenda melayu dilaksanakan? Jika itulah mekanismenya, adakah GTA akan bertanding ke semua 222 kerusi parlimen yang ada? Sebaliknya, jika GTA hanya bertanding sebahagian kerusi, mampukah dengan sebahagian kerusi itu menobatkan GTA sebagai kerajaan dalam melaksanakan misi murninya itu? Tentunya tidak, malah GTA perlu bekerjasama dengan pihak lain sama ada HARAPAN, BN mahupun PN. Bagaimana gerakan yang tidak mahu bekerjasama dengan HARAPAN, BN dan PN sebelum PRU dengan pelbagai tuduhan, boleh bekerjasama pula selepas PRU?Ppastinya pelaksanaan dasar memajukan melayu Islam akan terbantut!!!
7. Jika kita melihat atas keupayaan dan kebolehan GTA untuk memenangi PRU akan datang, diatas kertas pastinya GTA tidak mampu membentuk kerajaan bersendirian kerana kerusi yang mempunyai pengundi melayu lebih 90% tidak membolehkan GTA membentuk kerajaan meskipun dengan majoriti mudah.Pastinya sukar untuk GTA memenangi kerusi yang pengundi melayu kurang daripada 90% kerana GTA bergerak atas naratif melayu Islam semata-mata. Malah kerusi yang mempunyai 90% pengundi melayu belum pasti menjadi milik GTA disebabkan oleh pecahnya undi melayu antara BN, PN, HARAPAN dan GTA sendiri.
8. Maka melalui pandangan penulis, startegi yang digunakan oleh GTA sekarang untuk berhadapan dengan HARAPAN, BN dan PN hanya akan memenangkan BN secara minimal. Jika GTA bergerak solo sebagai blok ke-4, ia mungkin akan memudahkan BN untuk memenangi banyak kerusi atas sebab yang penulis katakan tadi. Satu persoalan yang perlu dijawab oleh GTA adalah, pengundi manakah yang menjadi sasaran beliau, adakah pengundi BN, HARAPAN mahupun PN? Jika GTA berjaya mencuri undi BN(hampir pasti sukar kerana ia dikalangan pengundi BN tegar!!),mungkin pandangan penulis akan meleset, HARAPAN mahupun PN akan membentuk kerajaan dengan sokongan GTA, malangnya jika GTA akan mengurangkan undi BERSATU dalam PN dan undi AMANAH dalam HARAPAN(yang kebanyakkan pengundi atas pagar), ia akan memudahkan BN kembali memerintah.
9. Maka penulis rasakan, mungkin formasi yang digunakan oleh GTA buat masa ini akan memerangkap pihak anti-BN dan negara duduk kembali ke cengkaman BN.