Site icon SelangorToday

MEJA PENGARANG | PERLUMBAAN PEMIMPIN PPBM – HAMZAH DAN RADZI MENDAHULUI AZMIN DAN FAIZAL?

photo1676433572

PRU ke-15 yang lalu menyaksikan laluan Azmin Ali sebagai pelopor penubuhan kerajaan pintu belakang tahun 2020 tersekat apabila beliau gagal mempertahankan kemenangan di kerusi Parlimen Gombak di tangan anak didiknya Amirudin Shari dengan ketinggalan 15 ribu undi.

Sejak itu, kita melibat pergerakan Azmin dihadapan umum semakin suram dan perlahan. Meskipun mengharapkan PN berjaya menubuhkan kerajaan pasca PRU ke-15 yang secara tidak langsung beliau mungkin ditabalkan sebagai ahli Dewan Negara, pengharapan itu gagal setelah YDP Agong menitahkan kerajaan perpaduan dibentuk.

Bagi penglipur lara PPBM/PN, Ahmad Faizal Azumu pula, apabila calon PM dari HARAPAN mengisytiharkan bahawa Anwar akan bertanding di Parlimen Tambun, masa depan politik Faizal sudah pun gelap. Mencuba dengan pelbagai propaganda seperti isu ‘Ayor’ dan ‘Ayer’ untuk meredakan kemaraan Anwar, tetapi tanggapan umum ketika itu sudah pun merasakan Faizal akan ketinggalan dalam penggal ke 15 Parlimen Malaysia ini.

Sebaliknya, kemenangan Radzi Jidin di Putrajaya dan pelantikan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang mewakili PN menjadi satu kejutan besar politik pembangkang.

Radzi gagal mencipta kemenangan pertama apabila kalah di Parlimen Ketereh pada PRU ke-14 dengan hilang wang pertaruhan, namun kembali menebus maruah masuk ke Parlimen melalui pintu depan dengan menumbangkan gergasi politik negara Tengku Adnan. Kemenangan Radzi itu telah melonjakkan nama beliau dalam PPBM/PN serta meletakkan beliau orang terkanan PBBM yang mempunyai kerusi Parlimen selepas Mahiaddin.

Penonjolan Radzi dalam PPBM dan PN seakan direstui oleh pimpinan apabila beliau dipilih menggantikan portfolio Azmin ketika menjadi kerajaan dahulu dengan memikul portfolio kewangan dan ekonomi dibawah kabinet bayangan.  Sama ada Radzi memang hebat sebagai pemikir ekonomi dan kewangan atau Radzi kelihatan gagal di sektor pendidikan menyebabkan pimpinan meletakkan beliau di situ. Hampir pasti kedudukan Azmin satu ketika dahulu diserahkan kepada Radzi.

Bagi pelantikan Hamzah pula, ia memberikan simbolik kepada PPBM dan PN bahawa apabila ketiadaan Mahiaddin kelak, Hamzahlah akan menggantikan tempat beliau. Ini memberikan kelebihan politik yang lebih kepada Hamzah berbanding Azmin dan Faizal.

Umum mesti memahami bahawa PPBM yang ada hari ini adalah hasil kocakan Politik Langkah Sheraton, maka kuasa dan kedudukan akan menjadi penentu kepimpinan PBBM/PN.

Oleh itu, dalam keadaan terkini, Hamzah dan Radzi menjadi tumpuan sebagai pelapis Mahiaddin yang dibentangkan permaidani merah oleh kepimpinan PN. Manakala Azmin dan Faizal ketinggal akibat tiadanya kedudukan yang setara untuk ditonjolkan.

Khabar angin yang mengatakan Azmin bakal menggempur Selangor dalam PRN yang bakal tiba adalah satu langkah politik beliau untuk memastikan beliau kekal dalam arena politik semasa. Sebaliknya jika beliau gagal menenangi sebarang kerusi DUN dan membentuk kerajaan di Selangor, kemungkinan perjalanan politiknya terhenti seketika.

Faizal pula masih mencari formula yang tepat untuk menonjolkan diri dihadapan umum dan sedaya upaya mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PPBM.

Ruang dan peluang Hamzah serta Radzi untuk naik setapak lagi ke atas menjadi terbuka.

Adakah perlumbaan antara Hamzah, Radzi dan Azmin serta Faizal bakal berlaku dalam kepimpinan PPBM akan datang? Kita nantikan..

Exit mobile version