SelangorToday

MEJA PENGARANG | POLITIK 3R, PN-PAS BAKAL TERPERANGKAP DI KUALA KUBU BHARU

Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu menjadi PRK yang amat penting kepada PN. Setelah PN mengalami kelesuan akibat gagal menumbangkan kerajaan MADANI, berlakunya lompatan 6 Ahli Parlimen BERSATU serta seorang ADUN di Selangor dan terdesaknya pembangkang untuk menuntut peruntukan secara terus daripada kerajaan, kini PN mahu memastikan kemenangan yang akan tercipta di kawasan N.06 itu bakal menaikkan semula momentum dan sokongan ahli dan rakyat kepada PN.

Melalui satu sumber daripada PN yang dipetik oleh portal Malaysiakini, sumber itu berkata berkemungkinan BERSATU akan meletakkan calon di PRK tersebut mewakili PN sekaligus mengenepikan kerusi yang diperuntukkan kepada GERAKAN PRN lalu. Sumber turut berkata, PN memerlukan kemenangan di KKB sebagai penerusan momentum sokongan rakyat serta mengusai keseluruhan Parlimen Hulu Selangor secara 4-0. Dalam kedudukan semasa, PN mengusai Parlimen Hulu Selangor sejak PRU ke-15 dan DUN Hulu Bernam serta Batang Kali sejak PRN Ogos tahun lalu. Manakala DAP-HARAPAN mewakili DUN Kuala Kubu Bharu.

Persoalannya jika benar kerusi KKB diserahkan kepada BERSATU, adakah peranan GERAKAN dalam PN diketepikan? Sedangkan dalam PRN lalu, calon GERAKAN mampu menyumbang undi yang tinggi di belakang calon HARAPAN. Tidakkah PN berani meletakkan sepenuh kepercayaan kepada GERAKAN sebagai parti yang lebih tua daripada BERSATU untuk menggempur kerusi DAP itu? GERAKAN sepatutnya mempertahankan kerusi tersebut untuk ditandingi oleh mereka sebagai bukti mereka juga berperanan dalam PN dan menjadi penyumbang kerusi kepada PN meskipun kini mereka hanya mempunyai beberapa ADUN dan ahli Dewan Negara sahaja.

Walaubagaimana pun apabila strategi PN meletakkan calon BERSATU sebagai calon di KKB, ia pastinya menarik minat pemerhati politik apakah naratif yang bakal dimainkan. Salah seorang pengarang akhbar terkemuka, Utusan Malaysia menulis, calon melayu bakal diletakkan oleh PN sebagai langkah menguasai undi melayu dan pengarang tersebut menyarankan DAP turut meletakkan calon melayu disitu bagi mengelakkan sebarang permainan kaum dalam PRK tersebut.

Dari satu sudut cadangan pengarang tersebut benar dan relevan, namun dalam keadaan sekarang, beranikah PN menggunakan semua hujah politik 3R atau naratif kaum demi memenangi PRK tersebut? Hal ini kerana gelanggang pertempuran itu di Negeri Selangor yang mana suhu politik kaumnya amat sederhana malah Seri Paduka Baginda Sultan Selangor sentiasa peka dan memberi titah teguran baginda kepada sesiapa sahaja yang memainkan isu 3R di Selangor. Keadaan ini akan memerangkap PN khususnya PAS jika elemen 3R dimainkan.

Demi meningkatkan sokonngan orang melayu, mahukah PAS memainkan isu kes Nik Elin lagi sedangkan ia mendapat teguran Baginda Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI. Malah kerajaan MADANI juga telah pun menubuhkan jawatankuasa yang akan meneliti segala  isu pertindihan antara kuasa negeri dan persekutuan.

Naratif politik 3R tidak mampu dijaja oleh PAS dan PN dalam PRK kali ini demi mendapatkan undi orang melayu memandangkan dalam bulan puasa tempoh hari, Baginda Sultan Selangor telah memberi titah peringatan kepada seluruh masyarakat untuk tidak mudah mengikuti pendapat dari mereka yang mengakui diri mereka sebagai ulamak dan menggunakan pendapat agama untuk mempengaruhi masyarakat. Mereka yang menggunakan kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan dan sanggup melihat umat Islam berpecah. Maka Baginda Sultan menasihatkan seluruh masyarakat supaya berwaspada dan bijak menilai siapa yang sebenarnya ulamal sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Mahu tidak mahu, PN terpaksa beradu kekuatan dasar dan fakta kepada HARAPAN. Rakyat Selangor yang lebih awal matang untuk berani berubah melalui PRU ke-12 lebih cermat memilih calon yang mereka kehendaki. Sentuhan ‘Kita Selangor’ yang digagaskan oleh kepimpinan Dato Menteri Besar Selangor sejak penggal lalu serta ditambah oleh keterbukaan pimpinan UMNO-BN dalam bersama menerajui Negeri Selangor menjadi faktor utama HARAPAN dan BN bertahan di Selangor dan kekal mendapat sokongan rakyat.

Istilah dasar perlindungan dan kebajikan dari rakyat Selangor yang baru lahir sehinggalah warga emas dan waris yang telah meninggal dunia telah merencatkan propaganda 3R yang selalu dimainkan oleh PN.

Kita dapat lihat PAS semakin peka kepada sensitiviti 3R yang dipertekankan oleh Negeri Selangor. Jika tidak, mengapa begitu pantas Pemuda PAS Selangor menjarakkan diri mereka dari bekas Exco mereka yang dikatakan merendahkan institusi monarki dalam entri FBnya. Ini pastinya satu signal bahawa PAS telah pun menghidu elemen anti-politik 3R di Selangor dan jika PAS dan PN mahu meneruskan permainan tersebut, mereka bakal terperangkap di Kuala Kubu Bharu.

Hanya meletakkan GERAKAN sebagai calon PN di KKB serta bertembung dengan kekuatan dasar masing-masing sahaja mampu menjadi PN sedikit relevan di Selangor itu pun jika dasar yang mereka gagaskan mampu mempengaruhi pengundi di KKB.

Sama-sama kita nantikan 27 April ini.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version