SelangorToday

MEJA PENGARANG | POLITIK SUBSIDI DIESEL, YANG FAKTA DAN YANG AUTA

Gegak gempita politik Malaysia minggu ini dengan pengumuman Menteri Kewangan ke-2, Amir Hamzah berkaitan pengapungan semula harga diesel mulai Isnin 9 Jun 2024. Bagi rakyat marhaen, mereka tidak begitu cakna tentang hal ini memandangkan mereka tidak menggunakan diesel secara khusus melainkan, golongan petani, nelayan, mereka yang menggunakan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan logistik.

Sebaliknya yang paling hangat sama ada mempersoalkan keputusan kerajaan madani ini atau menentang keras adalah dari kalangan ahli politik. Setelah beberapa hari pengapungan harga diesel yang hanya melibatkan semenanjung Malaysia sahaja, jelas teguran mahupun maklum balas tentang penarikan subsidi diesel secara pukal bermotif politik.

Dari satu sudut, penarikan subsidi diesel menjadi senjata kepada pihak anti-kerajaan untuk menghentam kerajaan secukupnya. Selepas kekalahan pembangkang di Kuala Kubu Bharu, isu subsidi diesel merupakan isu lazat yang boleh dimainkan untuk memburukkan kerajaan. 

Sebaliknya, dari pihak kerajaan, ini merupakan satu tindakan yang berani apabila ia dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap. Kerajaan menyedari risiko kehilangan sokongan rakyat dengan penarikan subsidi diesel, tetapi mereka teruskan juga bagi mengelakkan defisit negara terus membengkak. Dalam keadaan parti dalam Kerajaan Perpaduan seperti KEADILAN, UMNO, DAP, MIC, AMANAH dan MCA semakin meningkat momentum sokogannya dan keserasian antara mereka terserlah di Kuala Kubu Bharu, kerajaan sanggup menerima kesan buruk akibat subsidi diesel.

Jelas disini bahawa kerajaan madani mempunyai tekad yang jelas sehingga menyegerakan dasar yang tidak populis dan boleh dimanipulasikan oleh pembangkang walau dalam keadaan akan bertarung di Pulau Pinang. Kerajaan tidak mengambil kira sokongan politik berbanding menyelamatkan hampir RM4 bilion duit kerajaan yang hangus akibat penyeludupan subsidi diesel dan penggunaan kepada kelompok yang tidak wajar mendapat subisidi.

Lebih melucukan, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional(PN), Muhyiddin Yassin menyatakan simpati kepada rakyat Malaysia atas penarikan subsidi diesel. Sedangkan ketika beliau memerintah, beliau juga menyatakan kesungguhan dan kewajarannya untuk melaksanakan subsidi bersasar. Namun beliau gagal melaksanakannya, sebaliknya Perdana Menteri ke-10 yang juga Pengerusi HARAPAN, Anwar Ibrahim berjaya menjadikan ia sebagai sebuah kenyataan.

Pukulan dan hentakan dimajukan sama ada oleh pimpinan pembangkang mahupun cytro mereka kepada kerajaan. Namun semuanya dihala tanpa menyemak inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan seiring dengan pelaksanaan subsidi diesel bersasar. Antaranya kepada rakyat B40 dan M40 mereka akan dibekalkan dengan subsidi diesel secara tunai RM200 sebulan melalui inisiatif Budi Individu. Bagi nelayan, petani dan penternak yang menggunakan diesel sebagai bahan api utama pengoperasian mereka, inisiatif Budi Agri-Komoditi merupakan inisiatif yang disediakan untuk mereka menerima subsid secara berterusan.

Ada pun kepada sejumlah pengangkutan awam dan perniagaan yang beroperasi menggunakan diesel, mereka dikecualikan daripada dasar apungan harga diesel melalui inisiatif ‘fleetcard’ yang disediakan. Ini semua langkah yang diambil kerajaan sebelum subsidi diesel secara pukal ditarik dengan harapan, ia tidak akan menaikkan kos yang membebankan rakyat. Namun momokan tersebut dimainkan untuk memburukkan imej kerajaan dalam keadaan penguatkuasa sedang giat memantau aktiviti pencatutan di negara kita.

Selain itu, ada juga cytro anti-kerajaan cuba merendahkan kewibawaan Anwar dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan menayang semula sedutan video ceramah mereka yang menentang kenaikan harga minyak dan diesel ketika dalam Pakatan Rakyat. Usaha memperbodohkan rakyat terus dimainkan sedangkan rakyat turut sedar bahawa pengapungan harga diesel memberikan manfaat kepada rakyat jelata apabila penjimatan daripada subsidi pukal boleh diagihkan kepada rakyat melalui bantuan tunai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah. Bezanya dulu penarikan subsidi dilakukan tanpa timbal balas yang boleh dinikmati oleh rakyat. Sebaliknya hari ini, rakyat dipasakkan dengan pelbagai bantuan bagi meredakan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi. 

Apapun pandangan berkaitan penarikan subsidi diesel, ia mesti dilihat dengan kaca mata yang rasional melalui fakta yang lengkap. Manakala sentimen emosi jauh sekali mampu membantu rakyat memahi keperluan subsidi diesel disasarkan kepada mereka yang memerlukan. 

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version