Namun penulis tertarik dengan dakwaan pembangkang yang menyatakan bahawa jika PRN Johor ini dimenangi oleh BN, maka kumpulan yang sedang berhadapan dengan dakwaan salah laku di mahkamah akan selamat.
- Pelbagai teori telah bertebaran untuk menjawab mengapa PRN Johor diadakan. Bagi pihak penyandang kerajaan Johor, ia diadakan bagi mendapat mandat baru dan mengukuhkan kedudukan kerajaan BN Johor itu jika menang PRN kali ini. Manakala pihak pembangkang pula mendakwa PRN ini diadakan bagi menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) dari duduk bersama BN di Johor.
- Namun penulis tertarik dengan dakwaan pembangkang yang menyatakan bahawa jika PRN Johor ini dimenangi oleh BN, maka kumpulan yang sedang berhadapan dengan dakwaan salah laku di mahkamah akan selamat. Ini menarik untuk dilihat memandangkang Najib Razak antara tokoh UMNO yang sedang berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah begitu agresif dan maksima berkempen di Johor. Seolah-oleh PRN kali ini menjadi penentu kedudukan politiknya. Benarkah?
Najib Razak diasak segenap penjuru
- Lebih mengukuhkan dakwaan tersebut ialah kesemua musuh-musuh Najib Razak menyerang beliau di Johor melalui peluru yang sama. Mahiaddin Yassin berkali-kali bertikam lidah dengan Najib Razak tentang salah laku Najib semasa memerintah dahulu. Terkini Mahiaddin mendakwa ramai orang mahu berjumpa Najib sebab nak melihat siapa penyamun duit rakyat. Manakala Dr. Mahathir juga yang terpaksi turun berkempen di Johor setelah di larang oleh Doktor perubatan mendakwa begitulah perangai Najib, hutang duit tak mahu dibayar.
- Anwar Ibrahim pula bukan setakat menyerang Najib di Johor. Malah Anwar membawa isu ini sehingga ke parlimen dengan menyentuhnya dalam Ucapan Perbahasan menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda merasmikan pembukaan Sidang Parlimen bagi sesi kali ini. Selain itu, Anwar juga membawa satu usul kecurangan yang berlaku pada aset negara dibahaskan di dewan yang mulia itu. Ia diluluskan oleh Tuan Yang Dipertua Dewan, namun dibahaskan di Kamar Khas sahaja yang menghadkan penglibatan ahli Dewan serta liputan media.
Keyakinan UMNO Johor
- Setelah diserang pelbagai penjuru, Najib Razak tidak membiarkan tohmahan itu bertebaran lama, ia segera menjawab memandangkan kempen PRN Johor sedang berjalan. Najib hampir setiap hari menjawab setiap dakwaan yang diberikan sama ada dari Mahiaddin, Dr. Mahathir dan Anwar. Jawapan Najib Razak itu seolah-olah menunjukkan bahawa Najib berada dalam kedudukan yang yakin untuk kembali semula memerintah negara. Ia mewajahkan bahawa ketirisan yang berlaku semasa beliau memerintah adalah dakwaan palsu serta rakyat rugi kehilangan pemerintah sepertinya.
- Setelah berjaya memenangi majoriti 3 per 4 DUN Melaka, UMNO kini seolah-olah yakin yang mereka mampu memenangi PRN Johor sama seperti Melaka. Gaya pemimpin UMNO berkempen di Johor menjelaskan bahawa mereka sudah bersedia membentuk kerajaan yang baru di Johor.
Benarkah UMNO akan menang di Johor?
- Namun barang diingat, bahawa PRN kali ini berbeza dengan PRN Melaka dan Sarawak. Memandangkan PRN kali ini melibatkan undi anak-anak muda selepas berumur 18 tahun. Kita sedar bahawa tiada satu parti pun yang mampu meramalkan apakah yang akan dipilih oleh pengundi muda ini? Namun, ia tidak juga tidak memihak kepada UMNO. Sedang UMNO itu dipimpin oleh pemimpin yang jauh beza dengan umur merak yang baru tamat sekolah. Persepsi yang sedang dihadapi oleh kluster mahkamah sejak sebelum PRU 2018 sehingga sekarang berjaya membentuk stigma pada anak-anak muda yang UMNO di pimpin oleh mereka yang punya salah laku di mahkamah.
- Melainkan UMNO dipimpin oleh pimpinan baru yang berbeza daripada pimpinan sebelum PRU 2018, ia mampu mengembalikan keyakinan pada UMNO. Wajah-wajah pimpinan pemuda dalam UMNO juga seakan-akan tidak dikenali oleh anak-anak muda kecuali Khairy Jamaludin yang popular semasa memimpin KBS dan kini KKM. Sebaliknya di pihak pembangkang, ada beberapa figura yang berjaya masuk dalam pasaran anak muda ini seperti Dr. Maszlee Malik, Nurul Izzah dan Syed Saddiq.
- Selain itu, kewujudan parti-parti melayu dalam PRN kali ini mampu mengurangkan jumlah undi UMNO. PEJUANG, PN dan PUTRA mampu menggugat UMNO jika strategi mereka mengharapkan jumlah keluar mengundi sedikit dan UMNO peroleh sejumlah undi melayu.
Apa selepas ini?
- Apa yang perlu difahami adalah, apa seterusnya jika UMNO menang di Johor dan apa seterusnya jika UMNO kalah disana? Benarkah jika UMNO menang di Johor, kluster mahkamah dalam UMNO akan mara setapak lagi mendesak PM Ismail Sabri membubarkan Parlimen untuk diadakan PRU umum pula. Yang lebih menarik jika UMNO menang dalam PRN Johor, dan UMNO akan mendesak diadakan PRU, adakah itu kestabilan yang UMNO jaja kepada rakyat Johor? Mahukah rakyat Johor keluar mengundi lagi jika UMNO mahu PRU diadakan jika mereka menang di Johor.
- Mengapa UMNO begitu terdesak mahukan Johor secara mutlak tidak dapat dijawab. Tetapi kita perlu akui bahawa pemimpin UMNO yang terlibat dalam perbicaraan di mahkamah lebih lantang dan aktif berkempen di Johor berbanding pemimpin UMNO yang pro-PN. Jadi adakah PRN Johor menjadi penentu hidup mati kluster UMNO-Mahkamah?
Oleh,
Cikgu Syazmir HN