Ledakan pelbagai aplikasi media sosial dalam dunia moden hari ini telah mengubah kiblat mahupun strategi yang digunakan oleh ahli-ahli politik untuk menawan hati para pengundi. Dengan kaedah yang lebih canggih, mudah dan cepat untuk digunakan dan sampai ke sasaran, kelihatan ramai ahli politik telah berani dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk menggajikan ‘content creator’ bagi membolehkan ahli politik tidak ketinggalan dalam media sosial.
Ada pun situasi politik hari ini terus panas dan celaru akibat mainan tangan-tangan ahli politik yang menjayakan ‘Langkah Sheraton’ pada tahun 2020, kesemua parti-parti yang bertempur dalam PRU ke-15 sedang berusaha untuk melihatkan imej baik mereka kepada umum. Oleh itu dapat kita fahami kali ini, selain daripada menyantuni rakyat secara fizikal dan menyelesaikan masalah yang menempa rakyat, usaha untuk membentuk persepsi baik kepada masyarakat menjadi keutamaan.
Bayangkan kelompok anak muda hari ini yang diberikan mandat bersama rakyat senior untuk memilih pemimpin, bagaimanakah mereka memilih seorang pemimpin? Apa kriteria untuk memilih pemimpin bagi mereka? Dan apakah kehendak dan kemahuan yang mereka perlukan apabila telah memilih seorang pemimpin? Kesemua persoalan ini sedang diteliti satu persatu oleh pasukan think tank parti politik masing-masing. Mana tidaknya, peningkatan mendadak apabila anak muda daripada umur 18 sehingga 20 tahun diberikan peluang mengundi, pastinya ia mampu mempengaruhi keputusan dalam PRU kelak.
Oleh sebab itu, bagi pihak penyandang dan pencabar, kedua-duanya dilihat sedang bermain propaganda untuk menawan hati para pengundi. Kesedaran bahawa pengundi hari ini benar-benar pantas mendapat maklumat dan mampu mempengaruhi keputusan pengundi, maka kedua-dua pihak sedang cuba bertarung persepsi mereka. Propaganda ialah satu proses komunikasi pemujukan supaya pihak sasaran(dipujuk) akan bersama dengan si pemujuk.
Bagi pihak penyandang, mereka akan cuba untuk mewajahkan kekuatan dan peningkatan prestasi mereka di mata umum, malah apabila diserang pencabar, setiap dakyah perlu dijawab segera. Benar kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak bahawa setiap serangan pembangkang perlu dijawab dalam tempoh 3 jam oleh pihak UMNO. Strategi itu benar-benar berkesan untuk mematikan dakwaan pencabar jika dijawab dalam tempoh yang singkat.
Malah Ismail Sabri sendiri dan pasukan kabinetnya cuba meningkatkan sebarang proses pemasaran dalam menyatakan bahawa setahun Keluarga Malaysia terbentuk adalah satu kejayaan terbesar. Rakyat akan di berikan berbagai-bagai berita dan teguhan bahawa sokongan kepada Keluarga Malaysia meningkat. Namun hakikatnya mungkin boleh dipersoalkan apabila minggu lalu, sekumpulan anak muda melancarkan Gerakan Kerajaan Gagal di sebuah restoran. Jika benar kerajaan Keluarga Malaysia berjaya, mengapa adanya gerakan tersebut yang menyatakan satu per satu kegagalan Keluarga Malaysia yang sedang berlaku.
Bagi pihak pencabar pula, mereka terpaksa memastikan rakyat umum melihat mereka kembali kuat dan mampu duduk di kerusi penyandang. Kelebihan penyandang yang mempunyai pelbagai aset, kuasa dan jentera perlu diatasi secara maksima oleh pihak pencabar. Bagi penulis, kelebihan penyandang sedikit terjejas akibat kewujudan media sosial. Maklumat tanpa tapisan memnyebabkan penyandang dan pencabar kini bertarung dengan kedudukan yang sama kuat.
PH yang sebelum ini ditimpa berbaga-bagai musibah setelah runtuhnya kerajaan PH cuba bangkit daripada kecederaan itu. Pasukan media PH juga berjaya dibentuk dengan jaya sekali untuk kembali menyatakan kepada rakyat bahawa PH kembali teguh sebagai satu pasukan dan mahu menawan semula Putrajaya. Lebih-lebih lagi sebulan dua ini, PH begitu rancang membongkar segala isu kecurangan dalam kerajaan BN. Maka serangan itu benar-benar memberi tamparan hebat buat BN.
Anwar Ibrahim tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada idealisme dan prinsipnya sahaja, namun lebih penting berjaya menguasai medan tempur hari ini iaitu media sosial dengan bahan propaganda yang tulus dan ikhlas, ia akan berjaya mempengaruhi umum. Pastinya dengan penyatuan PH yang kembali kuat dan serangan bertubi-tubi PH kepada kerajaan boleh membentuk imej baik mereka kepada rakyat. Sokongan yang cuba dijana akan bertambah dalam kalangan pengundi atas pagar.
Sementara itu, bagi pihak PN pula, arah tuju yang kurang jelas gagal memastikan mereka bersedia dengan kelengkapan propaganda yang baik. Mereka menyerang BN yang terlibat dalam pelbagai skandal tetapi mereka duduk bersama dalam kerajaan yang ada BN. Di Selangor PAS ingin bertempur dengan PH tetapi di Pahang, PAS mengajak PH bersama menumbangkan BN. Kecelaruan PN ini benar-benar membantutkan usaha mereka untuk membentuk imej baik pada rakyat. Reputasi bekas Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin juga kembali merundum dan gagal untuk menjadi dahan mereka bepaut. Apa yang dilihat, PN semakin celaru.
Benarlah bahawa PRU ke 15 ini, pertarungan yang berlaku bukan sahaja pertarungan ideologi, kuasa dan kelompok. Ia pertarungan propaganda antara ahli-ahli politik tersebut. Siapa yang mampu menguasai media dan mampu mengolah seni propaganda dengan baik, akan menang dalam PRU kali ini.
Cikgu Syazmir HN