SelangorToday

MEJA PENGARANG | PRU KE-15, SIAPA BAKAL BERTEMPUR DI GOMBAK?

Sejak beberapa siri Pilihan Raya Umum yang lalu kerusi Parlimen Gombak merupakan kerusi yang sering menjadi pertempuran. Bukan dikategorikan kerusi pertempuran tokoh-tokoh besar, namun ia tetap menjadi perhatian penganalisis politik dalam dan luar negara memandangkan sejak tahun 2008, kerusi Parlimen Gombak ini disandang oleh pemimpin politik besar iaitu Azmin Ali. Azmin Ali yang sebelum ini dikenali sebagai orang kanan Anwar Ibrahim menapak ke puncak kepimpinan KEADILAN sehinggalah dipilih sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.

Dalam lipatan sejarah, Parlimen Gombak diwujudkan setelah proses persempadanan semula kerusi-kerusi Parlimen dan DUN pada tahun 1995. Sebelum PRU ke-9, pengundi dikawasan Gombak berada dibawah Parlimen Selayang. Sejak kewujudan Parlimen Gombak, Barisan Nasional melalui UMNO berjaya menawan kerusi ini sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1995, 1999 dan 2004, begitu juga melalui pembangkang atau parti anti-BN, mereka berjaya memenangi kerusi Gombak sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2008, 2013 dan 2018.

Dalam tempoh hampir 3 dekad ini, Gombak telah pun mempunyai 3 orang wakil rakyat. Selain nama Azmin Ali yang hebat selaku bekas Menteri Besar Selangor, bekas Menteri Ekonomi dan kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, Zaleha Ismail juga merupakan tokoh besar yang menjadi ahli Yang Berhormat bagi Parlimen Gombak. Bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat tahun 1995 hingga 1999 itu merupakan ahli parlimen Gombak yang pertama. Dengan keberadaan Zaleha Ismail selaku ahli politik wanita bertaraf menteri di Gombak, membuat kerusi Gombak kekal menjadi perhatian umum. Zaleha Ismail meninggal dunia pada 14 November 2020.

Gelombang reformasi yang melanda negara menyebabkan Zaleha Ismail berjaya mengekalkan kerusi Gombak hanya dengan majoriti 800 undi sahaja, ini mendorong pimpinan UMNO/BN meletakkan muka baru sebagai calon. Akhirnya Dr. Rahman Ismail pakar perubatan dipilih sebagai Ahli Parlimen Gombak dengan majoriti 13,000 undi. Namun gelombang reformasi yang dicetuskan pada tahun 1999 itu kembali meledak pada tahun 2008 menyebabkan Said Anuar Said Ahmad (muka baru BN)tersungkur di tangan Azmin Ali. Dr. Rahman Ismail dan calon bebas (Said Nazar) pernah mencuba untuk mencabar Azmin pada tahun 2013, namun gagal dengan hanya perbezaan 4000 undi sahaja.

Kedudukan yang dimenangi Azmin Ali pada tahun 2013 amat membimbangkan mendorong BN meletakkan calon muka baru iaitu Abd Rahim Kamaruddin (pemimpin UMNO Bahagian). PAS pula yang baru bercerai dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat juga meletakkan Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin bertembung dengan Azmin Ali. Malangnya startegi pecah undi PAS untuk membantu kemenangan BN memakan diri apabila Azmin Ali berjaya bertahan di Gombak dengan majoriti hampir 50,0000 undi.

Kini aliran politik sama sekali berubah, meski pertandingan 3 penjuru sering berlaku, penyandang kerusi dilihat selesa mempertahankan kedudukannya. Sebaliknya, adakah penyandang kerusi Azmin Ali akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU ke-15 memandangkan peristiwa Langkah Sheraton yang memperlihatkan Azmin dan pasukannya meninggalkan KEADILAN telah merobek hati pengundi beliau di Gombak. Adakah selepas pengkhianatan ini, Azmin akan kekal berada di kerusinya atau berpindah ke kerusi yang lebih selamat (pendalaman).

Perlu diakui, selain ketokohan Azmin sebagai tokoh pelapis Anwar Ibrahim, faktor kepembangkangan atau ant-BN itu sangat mengakar di Gombak menyebabkan Azmin berjaya bertahan selama 3 penggal. Namun, Langkah Azmin Ali berpakat dengan BN untuk membentuk kerajaan pintu belakang, benar-benar mengguris hati pengundi. Maka bagaimana nasib Azmin jika ia tetap bertempur dalam PRU ke-15 di Gombak atau Azmin akan memberikan laluan kepada PAS sekutunya untuk menawan kerusi tersebut daripada tangan HARAPAN. Jika Gombak menyingkirkan Azmin daripada kerusi empuknya dalam PRU akan datang, terbuktilah bahawa pengundi Gombak benci akan sebarang pengkhianatan dan tergores dengan langkah Azmin.

Bagi UMNO/BN pula, PRU kali ini menjadi titik penting untuk mereka menawan kerusi Parlimen Gombak dan kerusi-kerusi lain melalui formula Muafakat Nasional. Sentimen melayu yang dipasakkan melalui pembentukan MN didakwa mampu menobatkan UMNO/BN sebagai kerajaan di Selangor. Melalui Megat Zulkarnain yang sedang cuba memposisikan diri di Parlimen Gombak buat kali kedua (setelah gagal di Gombak Setia pada tahun 2018), BN dilihat optimis atas cita-citanya itu. Apa yang merunsingkan BN adalah sahabatnya PAS yang kecelaruan untuk memilih sama ada bersama BERSATU mahupun UMNO/BN. Keputusan PAS itu boleh mempengaruhi pencapaian BN di Gombak mahupun Selangor.

Selaku penyandang kerusi yang dirampas mandatnya, HARAPAN akan mencuba melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kerusi mereka. Melalui KEADILAN, HARAPAN dilihat lebih bermaya untuk mengekalkan kedudukanya di Gombak memandangkan dua kerusi DUN yang menjadi faktor penyumbang kepada undi di Parlimen Gombak iaitu Hulu Kelang dan Sungai Tua berpihak kepada HARAPAN. Cuma HARAPAN perlu menitik beratkan soal calon yang akan diperturunkan di Gombak memandangkan seperti penulis katakan diawal perbincangan ini, bahawa Gombak merupakan kerusi tumpuan, usaha untuk menenanginya akan dilakukan termasuk meletakkan calon yang popular, oleh itu HARAPAN juga perlu menimbangkan agar calon yang dipilih mempunyai populariti di peringkat nasional yang baik.

Sebelum ini ada ura-ura meletakkan Nurul Izzah untuk membenamkan Azmin di Gombak. Ia tidak mustahil memandangkan Parlimen Gombak pernah dipimpin oleh seorang tokoh politik wanita tanah air.  Setelah Rafizi Ramli membuat kemunculan, kerusi Gombak juga antara kerusi yang mungkin boleh disediakan kepadanya. Hal ini kerana Azmin dan Megat bukanlah calang-calang ahli politik. Mereka adalah politikus bertaraf nasional dan popular, oleh itu calon yang popular seperti Rafizi boleh diperturunkan di Gombak. Malah Menteri Besar Selangor sendiri, Amiruddin Shari yang kini Naib Presiden KEADILAN paling kanan (posisi yang pernah Azmin Ali duduki) layak untuk diberikan tanggungjawab untuk mempertahankan kemenangan HARAPAN di Gombak. Pengaruh sebagai Menteri Besar akan memudahkan langkah HARAPAN untuk memenangi kerusi Parlimen Gombak.

Jelaslah walaupun PRU ke-15 menjadi lebih sengit atas faktor undi18, namun usaha untuk memenanginya sudah pun bermula sekarang. HARAPAN, BN, PAS dan BERSATU sedang cuba menawar pelbagai kemudahan kepada pengundi Gombak supaya mereka dipilih sebagai wakil rakyat mereka. Kita mampu memerhati dan meramalkan keadaan yang bakal berlaku, namun hakikat sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan politikus serta kewarasan pengundi yang memilih.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version